SHAH ALAM, SELANGOR: Penduduk-penduduk dari Kampung Jenjarom menyerahkan satu memorandum pada 23 November 2021 di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, untuk menggesa Menteri Besar Selangor dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor supaya membatalkan rancangan pembukaan semula kilang bateri plumbum Federal Power Holdings Sdn Bhd yang terletak di Kampung Jenjarom, Kuala Langat, Selangor.

Dalam memorandum yang ditujukan kepada Amirudin Bin Shari selaku Menteri Besar Selangor, penduduk-penduduk Kampung Jenjarom menyatakan kebimbangan mereka tentang ancaman terhadap kesihatan dan keselamatan penduduk sekitar daripada aktiviti kilang bateri plumbum Federal Power Holdings Sdn Bhd ini. Kebimbangan penduduk ini bukannya sesuatu yang baharu ataupun direka-reka, tetapi berasaskan pengalaman mereka daripada insiden pencemaran yang pernah berlaku di tapak kilang yang sama.

Kilang bateri berkenaan sebelum ini dimiliki oleh Leoch Accupower (M) Sdn Bhd. Kilang tersebut pernah dikompaun dan didakwa kerana tidak mematuhi syarat pengurusan sisa terkawal di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Pada tahun 2017, berlakunya satu kebakaran di kilang bateri tersebut dan memusnahkan bahan mentah seberat hampir 1,200 tan (termasuk asid sulfurik dan lebih kurang 700 tan plumbum), menyebabkan masalah pencemaran plumbum yang serius. Malangnya, tiada langkah-langkah evakuasi atau tindakan untuk memindahkan penduduk ke kawasan yang selamat semasa kebakaran. Menurut kajian pakar, pencemaran plumbum di udara akan kekal untuk jangkamasa yang lama dan boleh tersebar sehingga jarak 5 km dari punca pencemaran. Kekhilafan yang telah berlaku adalah apabila penduduk dan kanak-kanak yang tinggal berhampiran tidak diberi amaran tentang kebahayaan kebakaran bahan-bahan toksik ini dan cara-cara pencegahan daripada pendedahan kepada pencemaran plumbum.

Walaupun kilang bateri tersebut telah diambilalih oleh syarikat Federal Power Holdings Sdn Bhd, namun penduduk Kampung Jenjarom mendapati bahawa pemilik kilang baharu ini mempunyai kaitan dengan pemilik kilang lama yang bermasalah itu. Lebih-lebih lagi, Pengerusi Federal Power Holdings Sdn Bhd, Noorha Wisma Hisham Abdul Wahab, pernah dituduh di mahkamah pada tahun 2018 kerana menerima rasuah sebanyak RM58,000.

Menurut memorandum yang diserahkan oleh penduduk-penduduk Kampung Jenjarom, industri bateri dan sel kering dikategorikan sebagai industri berat yang berisiko tinggi dalam Rancangan Tempatan Kuala Langat 2030. Oleh itu, industri seperti ini tidak sepatutnya dibenarkan untuk beroperasi di atas lot tanah yang diwartakan sebagai industri sederhana, terutamanya untuk kilang yang pernah melanggar undang-undang dan mencemarkan kawasan di sekitarnya.

Para penduduk Kampung Jenjarom juga amat kecewa apabila dimaklumkan semasa satu sesi libat urus anjuran Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) pada 24 September 2021 bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor telah meluluskan permohonan lesen perniagaan kilang bateri Federal Power Holdings Sdn Bhd walaupun pembukaan semula kilang tersebut mendapat bantahan yang keras daripada penduduk-penduduk setempat.

Antara kebimbangan yang dibangkitkan oleh penduduk-penduduk Kampung Jenjarom adalah, tiadanya apa-apa jaminan bahawa kecuaian pihak pengurusan kilang dan kekhilafan jabatan kerajaan yang berkaitan tidak akan berulang lagi selepas pembukaan semula kilang bateri di situ. Penduduk-penduduk Kampung Jenjarom juga mengetengahkan isu lokasi kilang yang terlalu dekat dengan sekolah, tempat beribadat dan kawasan perumahan.

Tuntutan yang dikemukakan oleh penduduk-penduduk Kampung Jenjarom kepada Kerajaan Negeri Selangor ialah:

  1. Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor patut berketetapan untuk tidak memberikan lesen operasi kepada pembukaan kilang bateri Federal Power Holdings Sdn Bhd di kawasan Kampung Jenjarom atau mana-mana lokasi yang berhampiran dengan kawasan penempatan penduduk.
  2. Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor harus mengemukakan semua laporan hasil kajian daripada 6 buah agensi kerajaan pada tahun 2019, yang membawa kepada keputusan membatalkan lesen kilang bateri Leoch Accupower (M) Sdn Bhd sebelum ini.

Penyerahan memorandum yang mengandungi tuntutan penduduk-penduduk Kampung Jenjarom ini telah diserahkan oleh wakil daripada Badan Bertindak Isu Pencemaran Plumbum Kampung Jenjarom dan Persatuan Tindakan Alam Sekitar Kuala Langat. Organisasi-organisasi yang menyerahkan memorandum ini mengatakan bahawa mereka bukannya membantah pembangunan ekonomi, tetapi mereka berharap pihak kerajaan dapat mengutamakan kesihatan dan keselamatan penduduk. Penduduk-penduduk Kampung Jenjarom bertekad untuk meneruskan perjuangan ini sehingga Kerajaan Negeri Selangor membuat keputusan yang bijak untuk memindahkan kilang bateri ke lokasi yang bersesuaian.

2 thoughts on “Penduduk Kampung Jenjarom bantah pembukaan semula kilang bateri

Leave a Reply to Briantc Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *