Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah mengemukakan pelan tindakan alternatif “Pemulihan Nasional: Haluan Baru untuk Malaysia” untuk menggesa pembaharuan yang dapat menjamin kesejahteraan masyarakat. Siri rencana ini akan menyenaraikan tuntutan yang terkandung dalam 5 teras pelan tindakan yang bertemakan “Permintaan Rakyat Mudah Je” ini.

**********

Teras 3: Perumahan hak rakyat

Perumahan adalah hak asasi manusia sejagat yang perlu dititikberatkan oleh setiap kerajaan yang memerintah negara ini. Penyediaan rumah mampu milik adalah kewajipan kerajaan dan tidak seharusnya diperlekehkan atau diabaikan.

Kerja-kerja PSM berkaitan isu perumahan dan tuntutan-tuntutan selama ini boleh disimpulkan dan dikategorikan seperti di bawah untuk memberi satu gambaran jelas tentang perjuangan kita.

Tuntutan untuk kempen ini adalah seperti berikut:

  • Perumahan sewa untuk golongan miskin bandar B20
  • Keluarkan penjualan rumah mampu milik dari pasaran bebas
  • Hentikan pengusiran paksa – rumah ganti rumah atau lot, hentikan lelong rumah B40
  • Tubuhkan amanah yang tidak bermotifkan keuntungan (non-profit trust) untuk bekalkan perumahan bagi B40/M40
  • Pemulihan rumah pangsa kos rendah

Perumahan sewa untuk golongan miskin bandar B20

PSM cadangkan untuk pembinaan rumah sewa di setiap kawasan Parlimen di Malaysia (bilangan unit mengikut nisbah penduduk B40) dan menyewakannya berdasarkan skim perumahan mampu sewa. Ini membolehkan masyarakat yang terpinggir mampu hidup berbumbung dengan kadar sewa yang paling minimum.

Kuota rumah majlis (council housing) khas untuk gelandangan (homeless) juga harus disediakan. Sewanya mestilah antara RM100 hingga RM200 sebulan agar keluarga B20 tidak tertekan untuk mengurangkan perbelanjaan keperluan asas mereka yang lain. Saiz rumah mestilah dibina dengan ukuran minimum 900 kaki persegi untuk memenuhi keselesaan keluarga yang mendiami rumah tersebut.

Keluarkan penjualan rumah mampu milik dari pasaran bebas

PSM sedar rakyat jelata berhak untuk ditawarkan perumahan yang tidak cenderung kepada keuntungan kaum pemodal. Pihak kapitalis dan kerajaan boneka pemodal selalunya menentang idea-idea perumahan untuk rakyat biasa yang tidak menguntungkan mereka. Kemudahan perumahan rakyat biasa tidak harus dijadikan komoditi untuk keuntungan golongan pemodal. Maka ianya harus dikeluarkan dari pasaran.

Keluarkan penyediaan perumahan rakyat dari pasaran

Kerajaan perlu menggubal polisi perumahan negara untuk memastikan perumahan yang sesuai disediakan. Kerajaan seharusnya mengambil alih tanggungjawab menyediakan rumah pertama untuk rakyat daripada pihak swasta. Maka segala pengaruh faktor pasaran seperti harga tanah, evaluasi nilai tanah dan sebagainya dielakkan daripada menentukan kos dan harga rumah yang akan didirikan untuk warga B40. Kos tanah harus diserap oleh kerajaan negeri.

Perumahan untuk golongan miskin mesti ada jaminan pinjaman bank yang munasabah dengan faedah yang amat rendah oleh pihak berkuasa supaya rakyat mampu beli rumah kos rendah yang ditawarkan kepada mereka. Insurans rumah “Mortgage Reducing Term Assurance” (MRTA)

mesti diwajibkan untuk semua rumah yang dijual sebagai perlindungan jika pembeli kehilangan punca pendapatan untuk membayar ansuran rumah.

Hentikan spekulasi perumahan dengan mengenakan cukai yang lebih tinggi untuk pemilikan rumah ketiga dan selebihnya. Jika sesebuah rumah tersebut dibiarkan kosong lebih daripada tiga (3) bulan, maka satu denda (penalty) harus dikenakan. Hal ini demikian untuk mengurangkan pembelian rumah semata-mata demi pelaburan (investment) dan bukannya untuk didiami.

Hentikan pengusiran – tawarkan lot/rumah ganti rumah

Hentikan Lelong rumah B40

Kerajaan harus mengiktiraf peneroka bandar dan perkampungan yang diduduki oleh mereka. Sekiranya tanah tersebut adalah hak milik kerajaan, maka hak milik tanah tersebut sepatutnya ditawarkan kepada penduduk dan bukannya dijual kepada pemaju untuk keuntungan.

Gubal satu enakmen atau akta di mana kerajaan negeri atau kerajaan pusat harus menyediakan skim perumahan atau lot tanah alternatif secara automatik sekiranya peneroka terpaksa diusir keluar kerana pembangunan kerajaan.

Untuk pembangunan swasta pula, kos perumahan peneroka harus dikongsi bersama oleh pemaju sebagai ganti rugi. Sementera itu, projek pembangunan swasta tersebut harus ditunda sehingga pemaju menunaikan kos tersebut. Skim Perumahan Sendiri Tun Abdul Razak untuk pekerja ladang harus digubal sebagai undang-undang. Pengusiran pekerja ladang yang telah mencecah usia persaraan wajar dihentikan dan skim perumahan ladang perlu disediakan. Selain itu, langkah melelong rumah rakyat perlu dihentikan sehingga pandemik ini berakhir. Sementara itu, sistem

penstrukturan semula untuk membolehkan peminjam membayar pada tahap yang mereka mampu hendaklah disediakan oleh pihak bank. Pembeli harus ditawarkan penstrukturan semula pembayaran balik pinjaman yang lebih fleksibel.

Tubuhkan amanah yang tidak bermotifkan keuntungan (non-profit trust) untuk bekalkan perumahan B40/M40

Kerajaan digesa untuk menubuhkan sebuah Amanah yang tidak bermotifkan keuntungan (non-profit trust) untuk membekalkan perumahan B40/M40 ini. Amanah ini akan bertanggungjawab untuk mengenalpasti keperluan perumahan untuk rakyat, mengelola permintaan dan membina rumah untuk rakyat dengan dana kerajaan.

Rumah yang dibina tidak harus digunakan untuk permodalan keuntungan tetapi untuk mengisi

keperluan perumahan rakyat.

Rumah tersebut tidak boleh dijual kepada pasaran dan jika perlu, dijual balik dengan harga asal kepada amanah untuk dibekalkan kepada mereka yang memerlukan.

Spekulasi harga rumah juga perlu dikawal. Jika gagal dijual balik, maka perlu diwujudkan undang-undang yang membolehkan kerajaan membuat pengambilalihan rumah tersebut agar boleh diperuntukkan kepada semua pemohon B40 yang seterusnya.

Pemulihan rumah pangsa kos rendah

Majlis Perbandaran disarankan untuk mengambil alih fungsi Badan Pengurusan Bersama (Joint

Management Body) (JMB). Penghuni rumah pangsa kos rendah hanya perlu membayar dua jenis cukai, iaitu Cukai Tanah (setahun sekali) dan Cukai Pintu (enam bulan sekali) sepertimana rumah teres kos rendah.

Bayaran harus dibuat terus kepada Majlis Perbandaran dan Pejabat Tanah. Bayaran harus meliputi kutipan sampah, pembersihan koridor, pembersihan longkang, taman permainan, lampu jalan dan jalan raya di dalam kawasan flat. Tindakan ini boleh menyelesaikan masalah penyelenggaraan perumahan flat B40 di seluruh negara.

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

4 thoughts on “Perumahan hak rakyat (Siri pengenalan teras “Permintaan Rakyat Mudah Je” – 03)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *