Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

==========

oleh Gabungan Marhaen

Hampir semua ahli panel dan aktivis hak Orang Asli dan Asal (OA) yang berhujah dalam forum Himpunan Marhaen semalam (15 Oktober 2021) bersependapat bahawa hak dan kepentingan masyarakat OA dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan tetapi realitinya adalah pencerobohan terhadap tanah adat OA, salah guna kuasa dan rampasan tanah terus berleluasa. Colin Nicholas, seorang aktivis veteran daripada Centre for Orang Asli Concerns (COAC) pula menunjukkan dengan bukti yang jelas bahawa kerja pencerobohan dan pembalakan terus berlaku semasa negara kita berada dalam lockdown COVID-19.  

Isu tanah dan undang-undang tanah adalah isu utama yang dibincangkan dalam Forum Himpunan Marhaen semalam yang bertajuk “Rampasan Tanah Adat Orang Asli/Asal (OA) semasa Pandemik COVID-19: Berkurang atau Meningkat?”.

Ahli panel yang terdiri daripada Orang Asli dari Semenanjung dan aktivis Orang Asal dari Sabah dan Sarawak telah menghadiri forum maya yang disertai oleh hampir 80 orang peserta ini. Antara ahli panel yang berucap ialah Tijah Yok Chopil selaku Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM), Galus Ahtoi daripada Pacos Trust di Sabah, Yusri Ahon yang merupakan bekas Pengerusi Jaringan Orang Asal Se-Malaysia (JOAS), Nicholas Bawin yang merupakan bekas Timbalan Presiden Majlis Adat Istiadat Sarawak dan aktivis pejuang tanah adat OA, dan Shamila Ariffin selaku pegawai penyelidik dan media kanan untuk Sahabat Alam Malaysia (SAM). Turut menyuarakan pandangan pakar dalam forum ini ialah Colin Nicholas (aktivis daripada COAC) dan Siti Kasim (peguam hak asasi manusia).

Dua orang aktivis, Colin dan Galus, bersetuju bahawa pencerobohan wilayah adat OA berterusan dan giat berjalan ketika pandemik COIVD-19 walaupun Malaysia berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk hampir 45 % masanya sepanjang tahun 2020 dan 2021. Galus telah menerangkan mengikut pemerhatiannya, bahawa kerja-kerja pencerobohan berdasarkan pemilikan tanah yang diberikan sebelum COVID-19 masih diteruskan semasa penularan COVID-19. Colin pula telah berkongsi sebuah video yang menunjukkan hasil kayu balak sedia dibawa keluar dari kawasan pembalakan oleh lori-lori yang begitu banyak.

Perbincangan juga menjurus kepada tiga undang-undang pemilikan tanah adat yang berbeza dalam sebuah negara, iaitu di Semenanjung, Sarawak dan Sabah. Nicholas pula telah membawa perhatian forum kepada hakim-hakim Semenanjung yang tidak berpengalaman dan mereka juga memberi keputusan yang lalai dalam kes-kes berkaitan tanah adat di Sarawak.

Tijah dan Yusri pula telah menerangkan dengan jelas bahawa OA tidak boleh dipersalahkan atau disoal kenapa tidak memperjuangkan pencerobohan tanah adat. OA perlu didiskriminasi secara positif dengan merujuk kepada kekangan kewangan dan logistik. Seorang dua OA dalam kampung yang bekerjasama dengan penceroboh tanah adat tidak boleh disamakan dengan kumpulan besar OA yang menentang pencerobohan tanah adat. Adanya OA yang tamak tetapi adanya juga OA yang kehilangan punca pendapatan sehingga terpaksa bekerja di bawah penceroboh tanah adat untuk menyara keluarga.

Mengenai persoalan sama ada ladang durian memberikan peluang pekerjaan atau ia ialah satu ancaman, rata-rata aktivis OA di Semenanjung berpendapat bahawa ia membawa lebih keburukan kerana tanah hutan diceroboh dan membawa lebih banyak masalah kepada kehidupan mereka dan ekologi.

Shamila pula telah menjelaskan bahawa perkataan “adat” dalam “tanah adat” wujud kerana tanah tersebut diiktiraf melalui Undang-Undang Adat OA. Pencerobohan tanah adat bermula dengan pembalakan dan kemudian diikuti dengan perladangan atau perlombongan. Beliau juga menceritakan perjuangan hebat Orang Asal yang mempertahankan tanah adat di mana ramai dipenjarakan untuk tempoh masa yang lama tetapi tidak mendapat perhatian media. Beliau membuat perbandingan dengan aktivis BERSIH yang sering mendapat publisiti hebat walaupun dipenjarakan hanya seketika.

Forum Marhaen Orang Asli/Asal mengetengahkan semula isu paling kritikal dalam kehidupan masyarakat OA, iaitu hak tanah mereka. Masyarakat OA juga terus mengingatkan diri mereka bahawa hanya orang asli/asal boleh menjaga kepentingan mereka sendiri dan tidak boleh bergantung kepada mana-mana parti politik atau ahli politik untuk membela nasib mereka.

==========

Gabungan Marhaen ialah sebuah gabungan gerakan masyarakat yang terdiri daripada komuniti-komuniti akar umbi, kolektif-kolektif masyarakat, kesatuan-kesatuan sekerja, badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang progresif dan aktivis-aktivis masyarakat untuk memperjuangkan kepentingan rakyat terbanyak.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s