Pekerja kontrak perkhidmatan pembersihan dan kawalan keselamatan di bangunan kerajaan (seperti sekolah dan hospital) sepatutnya diserap mula sebagai pekerja tetap kerajaan. Ini ialah tuntutan utama yang dibawa oleh Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK).

Namun begitu, JPKK juga mengemukakan cadangan-cadangan yang boleh diambil sebagai langkah segera supaya hak pekerja seperti gaji minimum, caruman KWSP, caruman PERKESO, caruman Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) dan cuti, lebih terjamin.

1. Cadangan penambahbaikan sebelum pemberian tender

a. Siapa yang layak mendapat tender?

Disarankan bahawa hanya syarikat jenis pemilikan Sdn. Bhd., Berhad atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dibenarkan untuk mengambil bahagian dalam proses mendapatkan tender bagi perkhidmatan pembersihan dan kawalan keselamatan. 

b. Senaraihitamkan syarikat yang bermasalah

i. Senaraihitamkan mana-mana syarikat yang menyumberkan luar kontrak (subkontrak) kepada syarikat lain dan digantikan dengan kontraktor yang baharu.

ii. Senaraihitamkan syarikat yang dimiliki oleh ahli politik serta syarikat dengan pengarah atau pemegang saham syarikat yang ada hubungan dengan syarikat yang telah disenaraihitamkan. Individu yang disenaraihitamkan tidak harus dibenarkan untuk mengambil bahagian dalam proses mendapatkan tender.

c. Tetapan nilai sekuriti (Cagaran)

Tetapkan nilai sekuriti bon (cagaran) bagi setiap pemberian tender dalam lingkungan RM200,000 – RM300,000 untuk menggalakkan penglibatan syarikat-syarikat kecil dan menghalang monopoli oleh syarikat besar.

d. Pengurusan wang cagaran secara rasional

i. Bon digunakan untuk membayar gaji pekerja-pekerja sekiranya syarikat gagal bayar gaji.

ii. Bon dilupuskan sekiranya syarikat yang menerima tender terlibat dalam aktiviti pemberian atau penerimaan rasuah.

iii. Bon dilupuskan jika syarikat memberi maklumat atau kelayakan palsu semasa memohon tender.

2. Cadangan penambahbaikan semasa proses pemilihan penerima tender

a. Mengawalselia Jabatan Urus Setia

  • Mengawalselia semua aktiviti Jabatan Urus Setia dalam semua Kementerian atau agensi kerajaan. 
  • Sistem semak imbang perlu dilaksanakan untuk memantau dan mengawalselia aktiviti semua ahli jabatan yang berkaitan.
  • Membentuk jawatankuasa pemantauan untuk memantau proses perolehan dan juga mengatur jadual untuk pembuat keputusan dalam tempoh masa tertentu untuk  mengelakkan mereka menjadi arif dengan perjalanan proses.

b. Memantau perlantikan Ahli Lembaga Pengarah bagi Jabatan Perolehan dan ahli jawatankuasa

  • Menetapkan syarat pemilihan Ahli Lembaga Pengarah dan ahli Jawatankuasa untuk menjaga integrity.
  • Memeriksa latar belakang mereka sebelum dilantik, untuk memastikan calon yang mempunyai hubungan politik atau memegang jawatan dalam parti politik tidak dilantik. 
  • Melibatkan agensi luar seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan masyarakat sivil untuk mereka mengganggotai jawatankuasa bebas dan berfungsi sebagai badan pemantau. 

c. Pemberian projek atau kontrak harus transparen dan telus

  • Semua keputusan pemberian kontrak harus diberitahu kepada masyarakat umum dan mesti menjelaskan sebab pemberian kontrak tersebut, termasuk menjelaskan sebab-sebab penolakan tender bagi syarikat yang tidak mendapat kontrak. 
  • Nama syarikat, kandungan dan maklumat penting yang digunakan semasa mengambil keputusan mestilah mudah diakses orang awam.

3. Pembaharuan undang-undang

a. Mansuhkan undang-undang kerahsiaan

Undang-undang kerahsian seperti Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) harus dimansuhkan bagi membolehkan perkongsian maklumat mengenai proses perolehan selepas kontrak diberikan.

b. Semua rekod dijadikan sebagai dokumen umum

Menjadikan maklumat, arahan atau dokumen rasmi yang digunakan oleh Menteri semasa proses perolehan sebagai dokumen umum dan jika gagal dikemukakan, maka ia dianggap sebagai satu kesalahan.

c. Libatkan pihak luar sebagai badan pemantau

Harus menetapkan syarat undang-undang dalam melibatkan agensi luar seperti badan bukan kerajaan atau SPRM sebagai ahli jawatankuasa dan/atau sebagai badan pemantau semasa proses perolehan.

4. Pembaharuan institusi

a. Kuasa pendakwaan

SPRM harus diberi kuasa pendakwaan yang bebas daripada Jabatan Peguam Negara untuk mengelakkan Jabatan Peguam Negara menolak pendakwaan terhadap kes-kes yang berkaitan dengan politik atau hubungan pengaruh politik.

b. Perlantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM 

Pemilihan untuk jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM harus bebas daripada campur tangan pemerintah, dan jawatan ini harus dipilih melalui satu sistem pilihanraya bagi tempoh yang ditetapkan dan hanya boleh dilucutkan jawatan oleh Yang Di-Pertuan Agong.

c. Semua tender bagi GLC atau GLIC mesti telus (transparensi)

Proses tender bagi projek kerajaan mesti dilakukan secara telus dan transparensi dengan penglibatan orang awam dalam perbincangan dan proses. Semua projek harus melalui proses perolehan yang telus.

5. Penambahbaikan hak pekerja kontrak

a. Hak-hak pekerja

Kami menuntut kerajaan untuk menetapkan syarat dan terma seperti di bawah dalam dokumen tender bagi menjamin hak pekerja. Jika kontraktor gagal mematuhi syarat dan terma tersebut, maka kontraktor dianggap telah melanggari perjanjian dengan kerajaan dan patut dikenakan denda dan disenaraihitamkan.

  • Hak pekerja dalam menikmati cuti tahunan dan cuti sakit adalah berdasarkan Akta Kerja 1955.
  • Waktu kerja harus dipatuhi seperti yang ditetapkan dalam Akta Kerja 1955.
  • Hak untuk bekerja lebih masa seperti tertakluk dalam Akta Kerja 1955.
  • Gaji harus diberi mengikut tahun perkhidmatan dan bukannya hanya mengikuti gaji minimum.
  • Menyediakan polisi insurans dan memberikan faedah-faedah lain seperti mana yang diamalkan di persekitaran kerja yang lain.
  • Memastikan alat perlindungan yang mencukupi dibekalkan kepada pekerja dalam keadaan pandemik.

Syarat-syarat dan terma ini harus ditetapkan dalam pemberian kontrak dan mesti dijadikan sebagai kandungan utama kontrak.

6. Penambahbaikan selepas pemberian tender

a. Pemantauan tender

Membentuk jawatankuasa audit dan memilih perwakilan daripada perkhidmatan awam dan badan bukan kerajaan untuk menjalankan audit berdasarkan prestasi syarikat, KPI perkhidmatan syarikat, dan penjagaan kebajikan pekerja, selepas tender diberi.

b. Pastikan kontrak tidak diberikan kepada pihak yang tidak dikenali atau tidak layak.

Audit dijalankan sekerap mungkin atau dijalankan setiap 6 bulan – Laporan audit harus diberitahu kepada umum untuk mengamalkan konsep ketelusan.

IMBAS KOD QR DI GAMBAR DIATAS UNTUK BACA HASIL KAJIAN & TANDATANGANI PETISYEN

Untuk huraian mengenai bagaimana dan kenapa cadangan ini diusulkan, sila baca laporan penuh hasil kajian JPKK di sini.

Sekiranya anda sokong supaya tuntutan untuk menjadikan pekerja pembersihan dan pengawalan keselamatan yang merupakan frontliner itu menjadi pekerja tetap kerajaan, sila tandatangani petisyen sokongan di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *