(foto: Getty Images)

Amerika Syarikat (AS), Britain (UK) dan Australia telah mengumumkan untuk membentuk sebuah pakatan ketenteraan tiga-hala yang baharu pada 15 September 2021, di mana AS dan UK akan membantu Australia untuk membangunkan kapal selam berkuasakan nuklear. Pakatan ketenteraan yang dibentuk oleh tiga buah kuasa besar anglo-saxon ini telah diberikan satu nama singkatan yang pelik, AUKUS.

Pengumuman pembentukan AUKUS yang dibuat dalam satu sidang kemuncak yang diadakan antara Joe Biden (Presiden AS), Boris Johnson (Perdana Menteri UK) dan Scott Morrison (Perdana Menteri Australia) ini, jelasnya bertujuan untuk menyekat pengaruh negara China di rantau Asia-Pasifik yang dianggap sedang menggugat kekuasaan imperialis Barat yang diterajui oleh AS. Pembentukan AUKUS boleh dilihat sebagai usaha terbaru kuasa besar Barat yang diterajui oleh AS untuk melancarkan “Perang Dingin” terhadap China.

Sebelum wujudnya AUKUS, kuasa-kuasa Barat sudah pun mempunyai pakatan ketenteraan yang bertujuan untuk melindungi kepentingan mereka. Ketiga-tiga buah negara AS, UK dan Australia sudahpun merupakan sekutu yang rapat sejak zaman Perang Dingin. Ketiga-tiga buah negara ini ialah anggota kepada pakatan perisikan yang dikenali sebagai “Lima Mata” (Five Eyes), yang termasuk juga Kanada dan New Zealand, dengan tujuan untuk berkongsi maklumat perisikan dalam kalangan mereka sejak zaman Perang Dingin. Adalah pelik kenapa Kanada dan New Zealand, yang kedua-duanya juga berada di rantau Asia-Pasifik dan merupakan negara penutur Bahasa Inggeris, ditinggalkan dalam pakatan ketenteraan terbaru ini.

AUKUS akan membolehkan Australia menjadi negara ketujuh di dunia (selepas AS, Rusia, Perancis, UK, China dan India) yang mempunyai kapal selam berkuasakan nuklear. Australia juga bakal menjadi negara pertama yang tidak mempunyai senjata nuklear tetapi memiliki kapal selam berkuasakan nuklear. Walaupun Kerajaan Australia mengatakan bahawa ia tidak berniat untuk membangunkan senjata nuklear dan akan mematuhi Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) yang ditandatanganinya sejak tahun 1973, tetapi pembangunan kapal selam berkuasakan nuklear (yang tidak membawa senjata nuklear) itu sendiri sudah pasti akan mendorong persaingan senjata di rantau Asia-Pasifik, khususnya di Laut China Selatan yang menjadi tumpuan pertembungan geopolitik kuasa-kuasa besar dunia pada masa kini.

Perjanjian AUKUS juga akan merangkumi kerjasama antara tiga kuasa Barat tersebut dalam bidang ketenteraan yang penting, seperti kecerdasan buatan (AI), perang siber, keupayaan bawah air dan keupayaan serangan jarak jauh.

Pembentukan AUKUS ini muncul pada ketika keadaan yang sudah pun semakin tegang di Laut China Selatan sejak pelaksanaan dasar “pusing ke Asia” (pivot to Asia) oleh Kerajaan AS pada zaman kepresidenan Barack Obama. Baru-baru ini, pada bulan April 2021, AS mengerahkan kumpulan pengangkut tempur tambahan ke rantau ini untuk meningkatkan kekuatan ketenteraannya di Laut China Selatan. Sementara itu, pada bulan Julai 2021, Kerajaan UK mengerahkan kapal pengangkut pesawatnya, HMS Queen Elizabeth, ke Laut China Selatan, satu rantau di mana UK pernah menjajah tetapi tidak lagi mempunyai apa-apa penguasaan wilayah langsung pada masa kini.

AS sudah mempunyai ratusan pangkalan tentera dan ratusan ribu anggota ketenteraan di rantau Indo-Pasifik yang mengepung China pada masa kini. Oleh itu, satu lagi perjanjian kerjasama ketenteraan seperti AUKUS yang jelasnya mensasarkan China ini akan memperhebatkan lagi persaingan geopolitik dan ketenteraan antara kuasa-kuasa besar di rantau ini, menjadikan rantau ini semakin tidak selamat kerana “pakatan keselamatan” antara kuasa besar.

Mana-mana pihak yang mencintai keamanan sudah pasti tidak ingin melihat perlumbaan persenjataan berlaku di rantau Asia-Pasifik. Sehari selepas pengumuman AUKUS, pada 16 September 2021, Jacinda Ardern, Perdana Menteri New Zealand yang merupakan sekutu kepada AS, berkata bahawa Kerajaan New Zealand tidak mahu menjadi sebahagian daripada projek ini, dan tidak akan membenarkan kapal selam nuklear melalui perairannya sejajar dengan dasar negara itu untuk mengekalkan wilayahnya sebagai zon bebas-nuklear.

Satu lagi sekutu AS, Perancis, juga tidak senang dengan tindak tanduk pembentukan AUKUS, atas sebab kepentingannya sendiri, kerana pelaksanaan perjanjian AUKUS bermakna Australia akan membatalkan projek pembelian kapal selam dengan Perancis yang dipersetujui sebelum ini. Kerajaan Perancis memanggil balik dutanya di Australia dan AS, sebagai bantahan terhadap tindakan “tikam belakang” oleh sekutunya ini.

Perdana Menteri Malaysia, Ismail Sabri, turut menyatakan kegusaran negara kita terhadap pembentukan AUKUS, kerana ia bakal memangkin perlumbaan persenjataan nuklear di rantau Indo-Pasifik dan pada masa sama, memprovokasi kuasa lain bertindak lebih agresif di rantau ini terutama di Laut China Selatan. Kerajaan Malaysia yang merupakan negara anggota Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) memang harus menegaskan pendiriannya yang tidak berpihak kepada mana-mana blok kuasa besar dan membantah segala cubaan yang mewujudkan “Perang Dingin” baharu khususnya di rantau Asia-Pasifik.

Pembentukan “pakatan keselamatan” antara kuasa besar yang bersifat provokasi, di samping penambahan jumlah kapal perang yang berkeliaran di perairan Laut China Selatan, bakal meningkatkan risiko tercetusnya konflik ketenteraan di rantau ini dan sudah pastinya umat manusia sejagat yang akan menderita sekiranya berlaku apa-apa peperangan antara kuasa besar.

Kita harus membantah secara tegas sebarang cubaan yang mewujudkan “Perang Dingin” dan provokasi oleh mana-mana kuasa besar dunia yang boleh mencetuskan ancaman perang di rantau ini (dan mana-mana rantau yang lain di dunia).

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

One thought on “AUKUS mengancam keamanan Asia-Pasifik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *