Tanjung Rambutan, Perak – 17 September 2021: Pekerja-pekerja pembersihan di Hospital Bahagia Ulu Kinta mengadakan tindakan perusahaan dengan cara berpiket di hadapan hospital tersebut pada hari ini, untuk menggesa pihak majikan mereka, Edgenta UEMS, supaya menghentikan segala penindasan terhadap pekerja-pekerja pembersihan yang diupahnya dan memperbaiki keadaan kerja untuk semua pekerja perkhidmatan sokongan di bawahnya.

Aksi piket ini diadakan berikutan masalah-masalah yang dihadapi oleh pekerja-pekerja pembersihan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, atau juga dikenali sebagai Hospital Tanjung Rambutan, masih berterusan walaupun pelbagai aduan sudah dibuat dan pihak majikan enggan mengambil tindakan untuk menyelesaikannya.

Kontrak perkhidmatan pembersihan di hospital-hospital kerajaan di negeri Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis telah diambilalih oleh syarikat Edgenta UEMS Sdn. Bhd. yang merupakan subsidiari kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), UEM Edgenta, pada 01 Januari 2020. Sejak itu, pekerja-pekerja pembersihan, termasuk pekerja-pekerja di Hospital Tanjung Rambutan, menghadapi pelbagai masalah daripada pihak syarikat. Edgenta UEMS masih enggan menyelesaikan masalah-masalah berkenaan sehingga hari ini walaupun banyak aduan telah dibuat.

Antara masalah yang dihadapi oleh pekerja-pekerja pembersihan yang diupah oleh Edgenta UEMS, ialah:

  1. Kenaikan gaji bagi tahun 2021 yang tidak adil dan diberi secara pilih kasih;
  2. Tiada bayaran bonus kepada pekerja;
  3. Pekerja tidak diberikan elaun-elaun seperti elaun dobi, elaun kedatangan dan elaun syif;
  4. Tiada peningkatan jumlah hari untuk cuti tahunan;
  5. Cuti umum dikurangkan (sebelum Edgenda UEMS mengambilalih, pekerja-pekerja pembersihan berkenaan menikmati 15 hari cuti umum setahun; selepas Edgenta UEMS mengambilalih, cuti umum bagi pekerja telah dikurangkan kepada 11 hari setahun);
  6. Faedah perubatan telah dikurangkan daripada RM1,000 (sebelum Edgenta UEMS mengambilalih) kepada RM200 (selepas Edgenta UEMS mengambilalih)
  7. Pembekalan pakaian seragam yang tidak mencukupi (di mana setiap orang pekerja hanya diberi 2 pasang pakaian seragam, sedangkan mereka dibekalkan pakaian seragam yang mencukupi sebelum ini);
  8. Pemberian sagu hati secara pilih kasih dan hanya berdasarkan penilaian prestasi yang dibuat secara sewenang-wenangnya;
  9. Seorang pekerja dipaksa untuk bekerja di 2-3 lokasi;
  10. Penyelia Edgenta UEMS pilih kasih dalam pemberian kerja lebih masa (OT), di mana kerja OT dengan bayaran tambahan hanya diberikan kepada pekerja-pekerja yang disukai mereka;
  11. Tiada elaun COVID-19 kepada pekerja-pekerja pembersihan yang bekerja setiap hari di wad COVID-19.

Edgenta UEMS telah mengeluarkan memo mengenai kenaikan gaji bagi tahun 2021 pada awal bulan Julai 2021. Dalam memo itu, adalah dinyatakan bahawa kenaikan gaji hanya akan diberi kepada pekerja yang layak berdasarkan kepada Penilaian Prestasi yang dibuat pada tahun 2020. Ia juga menyatakan bahawa tarikh berkuatkuasa kenaikan gaji berkenaan ialah pada 1 Julai 2021 dan bayaran akan dibuat dalam penggajian bulan Julai.

Menurut Menurut M. Sarasvathy, Setiausaha Eksekutif Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital-hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (atau juga dikenali sebagai Kesatuan Pekerja Swasta Hospital Kerajaan, KPSHK), pihak Kesatuan dimaklumkan bahawa pekerja yang layak mendapat kenaikan gaji telah mendapat surat makluman pada 29 Julai 2021 (dengan surat tersebut bertarikh 22 Julai 2021) dan surat tersebut mengatakan gaji baru selepas kenaikan gaji ialah RM1,230 (iaitu kenaikan sebanyak RM30 sahaja). Akan tetapi, lebih 90 orang pekerja di Hospital Bahagia Ulu Kinta tidak dinaikkan gaji.

Sarasvathy berkata, “Kesatuan berpandangan bahawa kenaikan gaji dan pemberian sagu hati yang berdasarkan Penilaian Prestasi merupakan tindakan yang berat sebelah dan pilih kasih. Kenaikan gaji hanya sebanyak RM30 adalah sesuatu yang tidak boleh diterima, kerana ia amat rendah sedangkan syarikat Edgenta UEMS mempunyai kemampuan untuk membayar gaji yang lebih tinggi kepada semua pekerjanya. Pihak Kesatuan menegaskan bahawa kenaikan gaji ini boleh dibuat dengan lebih adil dan bukannya hanya berdasarkan Penilaian Prestasi yang dibuat secara sewenang-wenangnya yang bermungkinan dimanipulasi oleh pihak yang membuat penilaian.”

Walaupun Kesatuan telah menghantar surat aduan kepada syarikat Edgenta UEMS beberapa kali (pada 9 Ogos 2021, 16 Ogos 2021 dan 25 Ogos 2021), tetapi pihak syarikat Edgenta UEMS masih enggan menyelesaikan masalah-masalah yang dibangkitkan oleh pekerja-pekerja. Sebaliknya, pihak syarikat Edgenta UEMS membalas surat Kesatuan dengan penuh angkuhnya dan enggan bertanggungjawab terhadap masalah-masalah yang dihadapi oleh pekerja-pekerjanya.

Edgenta UEMS memberikan alasan bahawa kenaikan gaji dan bonus adalah hak mutlak pengurusan (management prerogative), dan perkara berkenaan dibuat berdasarkan penilaian prestasi kerja individu. Kesatuan mempertikaikan tindakan syarikat ini kerana penilaian sebegini boleh menjadi berat sebelah dan mewujudkan diskriminasi terhadap pekerja yang tidak disukai oleh penyelia-penyelia yang membuat penilaian.

Sebelum ini, pekerja-pekerja di Hospital Tanjung Rambutan pernah menyuarakan ketidakpuasan hati mereka kepada Ketua Operasi sejak tahun 2020 lagi, tetapi masalah mereka masih tidak diselesaikan sehingga hari ini. Para pekerja sangat tidak berpuas hati dengan cara pengendalian oleh syarikat Edgenta UEMS.

Oleh itu, pekerja-pekerja mengambil keputusan untuk mengadakan tindakan perusahaan, dengan cara berpiket, untuk mempertahankan hak mereka dan menyuarakan tuntutan mereka.

Sarasvathy berkata, “Pekerja-pekerja ini berpiket hari ini kerana syarikat Edgenta UEMS masih meminggirkan pekerja-pekerjanya dan mengabaikan kebajikan pekerja-pekerja yang berhadapan dengan risiko yang tinggi pada ketika pandemik ini. Tindakan perusahaan ini terpaksa diambil kerana Edgenta UEMS gagal dalam mengendalikan masalah yang dihadapi pekerja-pekerja di Hospital Bahagia Ulu Kinta sehingga kini!”

“Edgenta UEMS seharusya bersikap secara profesional, proaktif dan bertanggungjawab, dengan mengadakan perbincangan dengan Kesatuan demi mencari penyelesaian bagi masalah-masalah yang dihadapi oleh pekerja-pekerja di Hospital Bahagia Ulu Kinta dengan kadar segera bagi menjamin keharmonian industri,” tegas Sarasvathy.

Pekerja-pekerja pembersihan di Hospital Bahagia Ulu Kinta menuntut kenaikan gaji yang adil untuk semua pekerja, peningkatan semula cuti umum kepada 15 hari setahun, pengembalian faedah perubatan kepada RM1,000, pembekalan pakaian seragam yang mencukupi, elaun tambahan untuk kerja di wad COVID-19, elaun-elaun lain, layanan yang samarata daripada pihak pengurusan, dan sebagainya.

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *