Selepas menjadi pembangkang selama 8 tahun, Parti Buruh (Arbeiderpartiet, Ap) bakal kembali membentuk kerajaan di Norway berikutan parti tersebut dan sekutunya berjaya memenangi majoriti dalam Pilihanraya Parlimen Norway baru-baru ini. Pemimpin Parti Buruh, Jonas Gahr Støre, bakal menjadi Perdana Menteri Norway baharu dengan cabaran untuk menangani jurang kekayaan masyarakat yang semakin melebar dan memulihkan sistem negara kebajikan yang mengagumkan di negara itu di samping mempercepatkan peralihan daripada ekonomi yang bergantung pada sumber minyak ke arah ekonomi hijau.

Keputusan Pilihanraya Parlimen Norway telah menunjukkan trend sokongan pengundi telah beralih kepada parti-parti berhaluan kiri yang memperjuangkan keadilan sosial dan kelestarian ekologi.

Pilihanraya Parlimen Norway telah diadakan pada 13 September 2021, untuk memilih kesemua 169 kerusi dalam Storting (iaitu Parlimen Norway). Pilihanraya Parlimen Norway menggunakan sistem pengundian perwakilan berkadar mengikut senarai parti untuk 19 buah kawasan pilihanraya multi-ahli (dengan 4 hingga 19 orang ahli parlimen mengikut saiz kawasan). Peratusan keluar mengundi dalam Pilihanraya Parlimen Norway kali ini ialah 77.1% daripada sejumlah hampir 3.9 juta orang pengundi.

Parti Konservatif (Høyre) yang dipimpin oleh penyandang jawatan Perdana Menteri, Erna Solberg, hanya mendapat 36 kerusi (dengan peratusan undian 20.5%), kehilangan sebanyak 9 kerusi berbanding pilihanraya lalu pada tahun 2017 (dengan undian yang diperolehinya menurun sebanyak 4.5 titik peratusan). Dalam kalangan parti-parti berhaluan kanan yang bersekutu dengan Parti Konservatif, Parti Kemajuan (Fremskrittspartiet) mendapat 21 kerusi (kurang 6 kerusi), Parti Liberal (Venstre) mendapat 8 kerusi (kekal sama), dan Parti Demokratik Kristian (Kristelig Folkeparti) hanya mendapat 3 kerusi (kurang 5 kerusi). Ini menjadikan blok parti berhaluan kanan yang memerintah sebelum ini hanya menguasai 68 kerusi dalam Parlimen Norway. Erna Solberg telah mengaku kekalahan partinya dalam pilihanraya sejurus keputusan awal pengundian diumumkan.

Jonas Gahr Støre, Pemimpin Parti Buruh Norway. (foto: Javad Parsa / Reuters)

Parti Buruh yang dipimpin oleh Jonas Gahr Støre, memenangi sebanyak 48 kerusi, dengan memperolehi lebih 782,000 undi (bersamaan dengan 26.3% undi). Walaupun kurang 1 kerusi berbanding pilihanraya lalu (dengan undian yang diperolehi menurun sebanyak 1.1 titik peratusan), tetapi oleh sebab parti-parti yang bersekutu dengannya memenangi lebih banyak kerusi, maka membolehkan Parti Buruh mempunyai kelebihan untuk membentuk sebuah kerajaan campuran yang baharu untuk menggantikan kerajaan campuran berhaluan kanan yang memerintah negara itu selama 8 tahun yang lalu.

Parti Tengah (Senterpartiet), sebuah parti sentris yang memperjuangkan dasar perlindungan bagi golongan petani luar bandar dan pernah menyertai kerajaan campuran pimpinan Parti Buruh pada tahun 2005-2013, meraih sebanyak 13.5% undi (meningkat sebanyak 3.3 titik peratusan), membolehkannya memenangi 28 kerusi (tambah sebanyak 9 kerusi). Sebuah lagi parti yang pernah menyertai kerajaan campuran pimpinan Parti Buruh pada tahun 2005-2013, iaitu Parti Kiri Sosialis (Sosialistisk Venstreparti, SV) yang berhaluan kiri, berjaya meraih sebanyak 7.6% undi (meningkat sebanyak 1.6 titik peratusan), membolehkannya memenangi sebanyak 13 kerusi (tambah 2 kerusi berbanding pilihanraya lalu).

Sekiranya Parti Buruh pimpinan Jonas Gahr Støre terus membentuk kerajaan campuran “Gabungan  Merah-Hijau” seperti tahun 2005-2013, gabungan antara Parti Buruh, Parti Tengah dan Parti Kiri Sosialis sudah menguasai sebanyak 89 kerusi, menjadikannya sebuah kerajaan campuran yang menguasai majoriti. Namun begitu, Parti Tengah dan Parti Kiri Sosialis mempunyai pandangan yang berbeza dalam persoalan mendapatkan sokongan atau penyertaan dua buah lagi parti berhaluan kiri yang lebih kecil ke dalam kerajaan campuran pimpinan Parti Buruh. Dua parti kiri tersebut ialah Parti Merah (Rødt) dan Parti Hijau (Miljøpartiet De Grønne, MDG), yang menguasai 8 dan 3 kerusi masing-masing, di mana terdapatnya peningkatan sokongan yang signifikan kepada kedua-dua buah parti ini.

Ada apa dengan Parti Buruh Norway?

Parti Buruh Norway yang ditubuhkan pada tahun 1887, boleh dijejak asal usulnya daripada gerakan pekerja yang revolusioner di negara Eropah Utara itu. Parti Buruh pernah menyertai Internasional Ketiga (Comintern) dengan menghantar 10 orang delegasi ke Kongres Comintern yang ke-2 pada tahun 1920, tetapi menarik diri keluar dari Comintern pada tahun 1923, menyebabkan golongan minoriti dalam Parti Buruh yang tidak bersetuju dengan keputusan itu menubuhkan Parti Komunis Norway (NKP). NKP sebagai sebuah parti Stalinis yang dogmatik, tidak memenangi apa-apa kerusi dalam pilihanraya sepanjang empat dekad lalu, dan hanya memperoleh 307 undi (0.0%) dalam Pilihanraya Parlimen 2021.

Parti Buruh mula memenangi kerusi Parlimen pada tahun 1903 dan menjadi kerajaan untuk kali pertama pada tahun 1928 (tetapi kerajaan minoriti yang diterajuinya hanya bertahan selama 2 minggu). Sejak Parti Buruh muncul sebagai parti yang menguasai kerusi Parlimen paling banyak (walaupun bukan majoriti) dalam Pilihanraya tahun 1927, Parti Buruh sentiasa merupakan parti terbesar dalam Parlimen Norway (dengan kerusi terbanyak), walaupun kadang-kadang menjadi pembangkang.

Parti Buruh mengubah penampilannya yang revolusioner kepada reformis pada tahun 1930-an, dan mula membentuk kerajaan yang stabil pada tahun 1935 hingga 1965 (dengan kebanyakan masanya merupakan kerajaan majoriti dan peratusan undi sentiasa melebihi 40%). Kerajaan yang diterajui Parti Buruh telah memainkan peranan yang penting dalam membentuk dasar negara kebajikan di Norway, menjadikan negara Skandinavia tersebut mempunyai masyarakat dengan jurang kekayaan yang agak kecil, sistem kebajikan yang komprehensif dan kadar pengangguran yang rendah berbanding kebanyakan negara.

Selepas zaman kegemilangannya tamat pada pertengahan tahun 1960-an, Parti Buruh masih sering kali kembali memerintah, pada tahun 1971-1972, 1973-1981, 1986-1989, 1990-1997, 2000-2001 dan 2005-2013, tetapi semuanya sama ada sebagai kerajaan minoriti ataupun kerajaan campuran yang bergabung dengan parti-parti lain. Sejak tahun 1980-an, di bawah pengaruh fahaman neoliberal yang semakin hebat di peringkat dunia, Parti Buruh mula memperkenalkan dasar penswastaan terhadap aset dan perkhidmatan milik kerajaan, serta mengurangkan cukai progresif.

Walaupun dalam tempoh 40 tahun kebelakangan ini, Parti Buruh telah meningkatkan sokongannya dalam kalangan golongan profesional kelas menengah, tetapi ia semakin kehilangan sokongan daripada pengundi kelas pekerja di kawasan perindustrian atau kawasan luar bandar yang merupakan penyokong tegarnya sebelum ini. Parti Buruh mencatatkan keputusan pilihanrayanya yang paling teruk pada tahun 2001, dengan hanya memperolehi 24.3% undi (walaupun masih kekal sebagai parti terbesar dalam Parlimen dengan 43 kerusi). Sejak itu juga, Parti Buruh hanya mampu memerintah dengan membentuk kerajaan campuran.

Pembentukan kerajaan campuran dengan parti sentris seperti Parti Tengah yang pernah menyertai kerajaan campuran yang diterajui Parti Konservatif, bermakna bahawa Parti Buruh perlu berkompromi dengan tuntutan populis yang dibawa oleh Parti Tengah untuk memenangi sokongan pengundi luar bandar yang lebih konservatif. Kepimpinan Parti Buruh yang semakin terpengaruh dengan fahaman pro-pasaran dan pro-Kesatuan Eropah (EU) yang neoliberal (Norway bukan anggota EU) pada asalnya hendak bekerjasama dengan lebih banyak parti yang berhaluan tengah, tetapi Konfederasi Kesatuan Sekerja Norway (LO), iaitu organisasi payung kesatuan sekerja yang terbesar di Norway, telah berusaha kuat untuk membawa masuk Parti Kiri Sosialis (SV) ke dalam kerajaan campuran pimpinan Parti Buruh, sebagai kuasa pengimbang untuk mengelakkan Parti Buruh daripada beralih terlalu jauh kepada politik berhaluan kanan.  

Dengan kewibawaan Parti Buruh terjejas berikutan dasar bersifat neoliberal yang dibawanya dalam tempoh 40 tahun kebelakangan ini, Parti Buruh masih tidak mendapat undi yang banyak dalam Pilihanraya Parlimen Norway kali ini, walaupun pengundi sudah mengalihkan sokongan mereka kepada politik kiri. 782,000 undi (26.3%) yang diperoleh Parti Buruh, jauh lebih rendah daripada 1 juta undi yang pernah diraihnya pada tahun 1969 dan 1985 (pada ketika Parti Buruh hanya menjadi pembangkang), apatah lagi berbanding undian sebanyak 48.3%, peratusan undi tertinggi dalam sejarah yang diperolehinya pada tahun 1957. Undi kepada Blok Kiri dalam Pilihanraya Parlimen Norway kali ini telah beralih kepada parti-parti berhaluan kiri yang lebih radikal dan lebih tegas dalam mempertahankan pembaharuan sosial yang dimenangi oleh gerakan pekerja selama ini.

Prestasi parti-parti kiri yang memberangsangkan

Parti Kiri Sosialis (SV) mencatatkan pencapaiannya yang terbaik dalam empat pilihanraya terdekat, dengan meraih sebanyak 227,483 undi (bersamaan 7.6%) dan memenangi 13 kerusi dalam Parlimen (bertambah sebanyak 2 kerusi). Undi yang diperolehi SV meningkat sebanyak 1.6 titik peratusan berbanding pilihanraya tahun 2017.

Parti Kiri Sosialis ditubuhkan pada tahun 1975, hasil daripada gabungan beberapa kumpulan kiri, termasuk Parti Rakyat Sosialis (SF) yang ditubuhkan pada tahun 1961 oleh ahli-ahli Parti Buruh yang tidak bersetuju dengan pendirian Parti Buruh yang pro-NATO.

Parti Kiri Sosialis merupakan pencabar utama kepada Parti Buruh di sebelah kiri sejak penubuhannya. Pencapaian terbaik Parti Kiri Sosialis dalam pilihanraya ialah pada tahun 2001, dengan perolehan undi sebanyak 12.5%. Parti Kiri Sosialis pernah menjadi sebahagian daripada kerajaan campuran “Gabungan Merah-Hijau” pada tahun 2005-2013. Sokongan undi kepada Parti Kiri Sosialis semasa ia menyertai kerajaan campuran merosot, kerana ia juga dipersalahkan untuk dasar kerajaan campuran yang tidak popular; namun sokongan kepada Parti Kiri Sosialis meningkat semula setelah ia kembali menjadi pembangkang.

Parti Kiri Sosialis telah mengekalkan identitinya yang tersendiri dalam kalangan golongan kiri Norway, dengan memberi penekanan yang kuat dalam menggabungkan dasar sosialis dengan dasar ekologi. Parti Kiri Sosialis menegaskan bahawa Norway harus membangunkan “Tawaran Baharu Hijau” (Green New Deal) versinya sendiri. Slogan baharu Parti Kiri Sosialis, “for det mange ikke for det få”, ialah terjemahan secara langsung daripada slogan Parti Buruh Britain semasa pimpinan Jeremy Corbyn yang berbunyi “for the many, not the few” (untuk yang terbanyak, bukannya segelintir kecil).

Parti Merah (Rødt), sebuah parti kiri radikal yang ditubuhkan pada tahun 2007 hasil daripada penggabungan “Perikatan Pilihanraya Merah” dengan Parti Komunis Pekerja (AKP), mencatatkan pencapaian pilihanraya yang terbaik sejak penubuhannya. Parti Merah meraih sebanyak 140,688 undi (bersamaan 4.7%), membolehkannya memenangi sebanyak 8 kerusi dalam Parlimen Norway. Parti Merah hanya menang 1 kerusi dalam pilihanraya tahun 2017 (dengan memperolehi 2.4% undian) dan tidak menang apa-apa kerusi dalam dua pilihanraya terdahulu. Undi kepada Parti Merah telah bertambah berlipat ganda dari 70,522 undi pada tahun 2017 kepada lebih 140,000 undi pada tahun 2021.

Walaupun Parti Merah berasal daripada golongan kiri yang berfahaman Maois, tetapi ia telah menegaskan bahawa ia hendak mencapai matlamatnya untuk sebuah masyarakat sejahtera melalui proses pilihanraya bukannya pemberontakan yang menggunakan kekerasan. Parti Merah mengemukakan idea untuk menentang “Forskjells-Norge” (“Norway yang terbahagi”), iaitu jurang kekayaan yang semakin melebar di negara yang pernah begitu berbangga dengan pengagihan kekayaan yang samarata di samping pertumbuhan ekonomi yang pesat. Pada masa kini, ramai dalam kalangan orang kaya di Norway memperolehi pendapatan mereka daripada kekayaan yang diwarisi mereka, dan hanya perlu membayar cukai untuk wang yang diperolehi mereka dalam setahun itu bukannya jumlah kekayaan yang dimiliki mereka. Impak wabak COVID-19 ke atas ekonomi Norway telah memburukkan lagi jurang kekayaan ini, dan kadar pengangguran di negara itu telah melebihi 5% (kadar pengangguran anak muda melebihi 12%).  

Parti Hijau (MDG) juga memperolehi pencapaian pilihanrayanya yang terbaik dalam pilihanraya kali ini, dengan meraih sebanyak 3.9% undi (meningkat 0.7 titik peratusan) dan memenangi 3 kerusi. Parti Hijau hanya menang 1 kerusi dalam dua pilihanraya sebelum ini. Parti Hijau yang memberi fokus kepada perlindungan alam sekitar dan kelestarian ekologi, telah mendesak kuat untuk mengurangkan pengektrakan petroleum yang merupakan sumber pendapatan utama Norway, dengan tuntutan memberhentikan semua pengeluaran minyak selewat-lewatnya pada tahun 2035 untuk menangani isu krisis iklim.

Sebuah parti baharu yang ditubuhkan pada bulan April 2021, Fokus Pesakit (Pasientfokus), telah memberi kejutan dengan memenangi 1 kerusi dalam Parlimen untuk wilayah Finmark (yang mempunyai 5 kerusi Parlimen). Fokus Pesakit merupakan sebuah parti yang dibentuk untuk memperjuangkan tuntutan hak kesihatan dan membina sebuah hospital di pekan Alta yang terletak di wilayah Finmark, bahagian utara Norway.  

Cabaran kepada Parti Buruh Norway

Ujian kepada Parti Buruh yang diberi mandat untuk membentuk kerajaan Norway sekarang ini adalah, sama ada ia akan memasukkan Parti Merah dan Parti Hijau ke dalam kerajaan campuran baharunya atau tidak. Penyertaan Parti Merah dan Parti Hijau dalam kerajaan campuran sudah pasti akan mengemudi kerajaan baharu itu lebih ke arah kiri: memulihkan sistem negara kebajikan yang menyeluruh, mengagihkan semula kekayaan dengan lebih adil untuk mewujudkan keadilan sosial, dan merealisasikan usaha perlindungan alam sekitar dengan mengalihkan ekonomi Norway keluar daripada kebergantungannya terhadap pengeluaran minyak.

Indeks Pembangunan Manusia (HDI) yang diterbitkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sering meletakkan Norway pada kedudukan yang tertinggi. Namun, sejak laporan HDI mengambil kira “tekanan planet” pada tahun 2020, walaupun masih berada di tangga teratas dari segi “kehidupan yang berpanjangan dan sihat, pengetahuan, dan taraf hidup yang baik”, tetapi apabila indeks tersebut memasukkan jejak karbonnya ke dalam pengiraan, Norway jatuh ke tangga ke-16. Ini mencerminkan penglibatan besar Norway dalam pengeluaran minyak dan gas di Laut Utara.

Norway merupakan negara pengeluar minyak terbesar di Eropah (jika tidak mengambil kira Rusia) dengan pengeluaran sebanyak 1.7 juta tong minyak mentah sehari (angka tahun 2020). Sektor minyak dan gas menyumbang sebanyak 18% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Norway, dan lebih kurang 60% daripada jumlah eksportnya. Kekayaan minyak ini menjadi asas ekonomi utama kepada pelaksanaan sistem negara kebajikan di Norway, dan membolehkan negara Norway memiliki dana mahsul atau dana kekayaan berdaulat yang terbesar di dunia (sebanyak hampir USD1.4 trilion). Oleh itu, beralih keluar daripada kebergantungan pendapatan negara terhadap pengeluaran minyak tanpa menjejaskan usaha mempertahankan sistem negara kebajikan, merupakan satu cabaran besar dan menjadi agenda utama kepada kerajaan Norway untuk beberapa tahun yang akan datang ini.

Jonas Gahr Støre, bakal Perdana Menteri Norway daripada Parti Buruh, telah menyeru untuk mewujudkan peralihan beransur-ansur keluar daripada ekonomi minyak ini. Namun, Parti Hijau telah menggesa untuk menghentikan serta-merta segala cari gali minyak di Laut Utara. Støre juga berjanji untuk menangani masalah jurang kekayaan yang melebar dengan meningkatkan kadar cukai ke atas golongan kaya sementara mengurangkan beban cukai isi rumah berpendapatan rendah dan menengah.

Peralihan sokongan pengundi kepada politik kiri dalam Pilihanraya Parlimen Norway kali ini, jelas menunjukkan aspirasi rakyat Norway untuk mempertahankan warisan negara kebajikan yang dibanggakan mereka selama ini di samping mendesak kerajaan untuk memainkan peranan lebih proaktif dalam menangani krisis iklim dunia. Ini merupakan cabaran yang bakal diharungi oleh kerajaan campuran yang berhaluan kiri di Norway.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *