Tahun 2022 menandakan tahun ketiga dunia dilanda pandemik koronavirus. Selepas lebih dua tahun penularan di seluruh dunia, lebih 280 juta orang telah dijangkiti virus SARS‑CoV‑2 dan lebih 5.4 juta orang meninggal dunia kerana penyakit COVID-19. Negara Malaysia juga tidak dapat berkecuali daripada ancaman krisis kesihatan awam sedunia ini, dengan angka jangkitan terkumpul melebihi 2.7 juta dan terdapat lebih 31 ribu kes kematian setakat penghujung tahun 2021. Walaupun negara Malaysia telah mencapai kadar vaksinasi COVID-19 yang tinggi, tetapi dengan penularan wabak masih berterusan di seluruh dunia dan kemunculan varian koronavirus yang baharu, kita masih belum lagi bebas sepenuhnya daripada ancaman pandemik.

Penularan pandemik COVID-19 telah mendedahkan pelbagai kepincangan sistem kapitalis dan kegagalannya dalam menjamin kesihatan rakyat. Sistem sosio-ekonomi kapitalis yang berlandaskan motif keuntungan korporat terbukti tidak mampu menyediakan perlindungan kesihatan awam yang menyeluruh kepada rakyat dunia untuk menghadapi ancaman pandemik, sama ada apa yang berlaku sekarang ataupun pada masa akan datang. Pandemik COVID-19 juga mendedahkan lebih ketara lagi ketidaksamarataan dan ketidakadilan yang wujud di peringkat global, di mana walaupun vaksin sudah dibangunkan dan diedarkan secara besar-besaran, tetapi pengagihannya adalah begitu tidak seimbang sehingga banyak negara yang miskin masih susah memperolehinya. Inilah apa yang dikenali sebagai “apartheid vaksin” di bawah sistem kapitalis global hari ini.

Selain pandemik yang menular di seluruh dunia, masyarakat dunia turut diancam oleh pelbagai krisis lain yang juga disebabkan oleh sistem sosio-ekonomi kapitalis. Ini termasuklah krisis ekonomi yang menyebabkan kehidupan rakyat bawahan semakin susah dan krisis iklim yang boleh membawa kepada kepupusan umat manusia di muka bumi. Krisis ekonomi yang menyebabkan pekerja kehilangan kerja, golongan miskin semakin miskin dan kehidupan rakyat menjadi semakin tidak terjamin, merupakan akibat yang logik daripada sistem sosio-ekonomi kapitalis yang hanya mengutamakan keuntungan korporat untuk memastikan kelangsungan pengumpulan modal yang berterusan. Pandemik COVID-19 bukannya punca sebenar kepada krisis ekonomi global pada masa ini. Ia hanyalah pemangkin kepada krisis ekonomi dan memburukkan lagi kesannya. Punca krisis ekonomi ialah percanggahan yang sentiasa wujud dalam ekonomi kapitalis.

Menurut Laporan Ketidaksamarataan Dunia 2022 yang diterbitkan baru-baru ini, golongan 10% terkaya di dunia memperoleh 52% daripada jumlah pendapatan dunia pada tahun 2021 yang dikira pada parti kuasa beli, dan menguasai 76% kekayaan isi rumah; sementara golongan 50% terbawah hanya memperoleh 8% daripada jumlah pendapatan dunia dan memiliki 2% daripada jumlah kekayaan. Laporan yang sama juga menunjukkan bahawa walaupun negara-negara di dunia menjadi semakin kaya dalam tempoh masa 40 tahun yang lalu ini, tetapi kerajaan-kerajaan negara ini menjadi lebih semakin miskin. Keadaan ini wujud kerana kekayaan semakin tertumpu dalam tangan sektor swasta, hasil daripada dasar neoliberal yang mengurangkan cukai terhadap golongan terkaya dan korporat besar. Kekurangan dana dalam tangan sektor awam mewujudkan kekekangan kewangan kerajaan dan kekurangan kapasiti untuk melaksanakan program-program awam yang menjamin kesejahteraan rakyat dan menangani masalah seperti krisis iklim. Rakyat bawahan merupakan golongan yang paling terkesan dan menanggung impak terbesar akibat daripada ketidaksamarataan ekonomi ini, lebih-lebih lagi apabila dilanda krisis yang teruk.

Ketidaksamarataan ekonomi bukan sahaja wujud antara negara yang kaya dengan negara yang miskin di dunia, tetapi juga wujud dalam negara-negara masing-masing, khususnya di negara yang masih berpegang kuat kepada dasar ekonomi neoliberal yang mengutamakan kepentingan korporat. Ketidaksamarataan juga wujud dari segi gender, di mana walaupun terdapatnya peningkatan perwakilan wanita merentasi sektor-sektor, tetapi jurang gaji antara gender di dunia tidak berubah banyak. 30 tahun dahulu, pada tahun 1990, wanita memperoleh lebih kurang 31% daripada pendapatan buruh sedunia; 30 tahun kemudian, pada tahun 2020, wanita hanya memperoleh lebih kurang 35% daripada pendapatan buruh sedunia, satu peningkatan angka yang boleh diabaikan.

Walaupun kita sedang menghadapi krisis demi krisis pada hari ini, tetapi banyak kerajaan yang masih hendak berjinak dengan sistem kapitalis dan terus memainkan peranan mereka untuk melindungi kepentingan golongan kapitalis dalam dan luar negara, tanpa mempedulikan kemelut rakyat biasa. Malah, adanya golongan elit pemerintah sanggup menggunakan pelbagai cara yang keji untuk mengekalkan kekuasaan, termasuklah tipu helah, amalan yang anti-demokratik, penindasan terhadap mereka yang mengkritik golongan berkuasa, dan juga pendekatan yang mengapi-apikan sentimen perkauman ataupun xenofobia untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu sebenar.

Namun demikian, rakyat yang tertindas tidak akan berdiam begitu sahaja dan perjuangan tetap diteruskan. Kita dapat menyaksikan perjuangan masyarakat yang hebat di merata tempat di dunia sepanjang tahun 2021, walaupun wujudnya pelbagai kekangan untuk mobilisasi. Kemenangan petani India hasil daripada perjuangan selama lebih setahun untuk membantah undang-undang yang anti-petani, sudah pasti akan memberi rangsangan dan inspirasi kepada gerakan masyarakat di tempat-tempat lain seluruh dunia. Begitu juga perjuangan rakyat di Myanmar dan Sudan, yang gigih melawan kekuasaan tentera dan memperjuangkan demokrasi, menunjukkan bahawa kita tidak harus berputus asa dalam memajukan perjuangan demi pembebasan masyarakat yang sebenar.

Di Malaysia, walaupun kita sudah melalui 3 kali pertukaran pemerintahan di peringkat Persekutuan dalam tempoh 3 tahun yang lalu, tetapi masalah sistemik yang wujud. Kita perlukan kerajaan yang mampu berfikir di luar kotak kapitalis dan melangkaui kerangka politik perkauman untuk membawa perubahan sebenar kepada negara kita, demi mewujudkan jaminan kesejahteraan masyarakat yang berkekalan dan keharmonian yang sebenar. Inilah sebabnya Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengemukakan pelan tindakan alternatif “Permintaan rakyat mudah je” yang menawarkan paradigma baharu untuk Malaysia melangkah ke arah pembangunan yang adil, lestari dan saksama. Kita harus menggembleng tenaga rakyat untuk membina sebuah alternatif yang dapat menjamin masa hadapan yang lebih baik untuk semua, melalui organisasi dan mobilisasi kuasa rakyat marhaen dari bawah.  

Sudah pasti krisis mendalam yang sedang melanda dunia akan berterusan selagi sistem kapitalis masih mendominasi, tetapi perjuangan rakyat demi pembebasan masyarakat, keadilan, kesamarataan dan kesejahteraan bersama juga akan diteruskan.

Marilah kita menyambut Tahun Baharu 2022 dengan semangat perjuangan yang lebih kental!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *