IPOH, PERAK: Petani-petani di Malim Nawar, Perak, menyerahkan satu surat aduan kepada Ibupejabat Polis Kontinjen Perak pada 15 Julai 2021, berkenaan dengan masalah kegagalan polis di Ibupejabat Polis Daerah Kampar dalam penguatkuasaan perintah mahkamah yang melarang pengusiran paksa.

Turut hadir bersama dengan wakil petani semasa penyerahan surat aduan ini ialah Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

10 orang petani yang berkenaan telah menjalankan aktiviti pertanian di atas tanah Lot 50788 yang terletak di kawasan Malim Nawar, untuk tempoh sepanjang 3 hingga 4 dekad yang lalu. Beberapa bulan kebelakangan ini, petani-petani ini telah diganggu oleh sebuah syarikat swasta Suria Fisheries Sdn Bhd, yang mendakwa bahawa pihak syarikat telah mendapat pajakan tanah tersebut daripada Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP). Kontraktor yang diupah oleh syarikat Suria Fisheries membawa masuk jentolak setiap hari ke kawasan tanah Lot 50788 yang sedang diusahakan petani untuk merobohkan pagar dan bangunan papan yang dibina oleh para petani, serta menghalang laluan petani. Syarikat Suria Fisheries sudah mendirikan penghalang di jalan masuk ke kawasan tersebut.

Petani-petani yang berkenaan telah cuba mengadakan diskusi dengan pihak syarikat Suria Fisheries, tetapi syarikat itu enggan melayan petani-petani. Petani-petani Malim Nawar telah menghantar surat kepada PPPNP untuk meminta satu mesyuarat dengan mereka supaya mendapat tahu sama ada tanah tersebut dipajak kepada Suria Fisheries yang tidak pernah memain sebarang peranan dalam pembangunan kawasan bekas lombong ini sebagai sumber pertanian, perikanan atau penternakan. Petani-petani juga memohon supaya tanah bekas lombong yang dipulihkan dan diusahakan oleh mereka ini sejak 30 hingga 40 tahun dahulu diberi pajakan kepada mereka. Para petani masih menunggu jawapan daripada PPPNP.

Oleh kerana kontraktor Suria Fisheries menimbulkan gangguan terhadap petani-petani di Lot 50788 dengan merobohkan pagar dan bangunan yang dibina oleh petani serta menghalang laluan petani, maka 10 orang petani yang berkenaan telah memfailkan satu permohonan di Mahkamah Majistret di bawah Seksyen 99 Kanun Prosedur Jenayah. Para petani telah mendapat satu Perintah Mahkamah pada 12 Julai 2021 yang menyatakan bahawa pihak syarikat Suria Fisheries dan kontraktornya harus memberhentikan kerja mereka di dalam kawasan yang sedang diusahakan oleh petani-petani di situ.

Namun, pihak syarikat Suria Fisheries tidak mematuhi Perintah Mahkamah tersebut dan meneruskan kerjanya untuk membersihkan kawasan berkenaan. Petani-petani telah membuat beberapa aduan polis di Balai Polis Malim Nawar dan Kampar, tetapi pihak polis tidak mengambil tindakan tegas.

Oleh yang demikian, petani-petani Malim Nawar mengemukakan aduan kepada Datuk Mior Faridalathrash Wahid selaku Ketua Polis Negeri Perak, dengan seruan supaya pihak Ibupejabat Polis Kontinjen Perak dapat menyiasat kenapa polis di IPD Kampar begitu berpihak kepada syarikat Suria Fisheries Sdn Bhd. Para petani juga menggesa Ketua Polis Perak supaya mengarahkan polis di IPD Kampar untuk menguatkuasakan perintah mahkamah yang diperolehi oleh petani-petani di situ.

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

One thought on “Petani Malim Nawar gesa Polis Perak kuatkuasakan perintah mahkamah yang halang gangguan daripada syarikat swasta

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *