oleh Zulfiqar Mohd Yusof
Agamaku tercalar
kerana si korup
didewakan.
Agamaku tercalar
kerana tanpa silu
gelumang dengan korupsi.
Agamaku tercalar
kerana diktator
dijulang bak wira.
Agamaku tercalar
kerana si tolol diangkat sebagai
penguasa.
Agamaku tercalar
kerana ramai yang membisu
pabila penindasan bermaharajalela.
Agamaku tercalar
kerana ramai yang bangga menyebar
fitnah.
Agamaku tercalar
kerana ramai yang lali keji-mengeji.
Sungguh parah
pabila agamawanku
membutakan mata
menutup mulut
memekak telinga
ketika perbuatan terkutuk
menjadi norma baharu.
Sungguh parah
pabila agamawanku
selongkar segala dalil
demi selesa dengan norma baharu.
Ranaplah agamaku
bukan kerana ancaman luaran
tetapi
pabila agamawan dan penganutnya
semakin selesa dengan norma baharu.