(Rencana khas ulangtahun ke-10 kempen pembebasan EO6)

oleh Dr. Jeyakumar Devaraj

Sepuluh tahun dahulu, 30 orang ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah ditahan oleh Polis DiRaja Malaysia di Plaza Tol Sungai Dua, Seberang Perai, Pulau Pinang, semasa kami menjalankan kempen “Udahlah tu, Bersaralah BN!” Ini merupakan kempen yang menjemput rakyat memilih kerajaan baru dalam PRU-13 yang kami jangka akan dipanggil tidak lama lagi pada masa itu. PSM telah memobilisasi dua buah bas untuk pergi dari bandar ke bandar dan mengedarkan risalah, di mana sebuah bas telah mula berkempen di Johor Bahru pada 24 Jun 2011, sementara bas yang saya ikuti telah melancarkan kempen ini di Perlis pada hari yang sama.

Pihak berkuasa tidak selesa dengan kempen PSM dan sejak permulaannya, telah cuba untuk menghentikan kami. Polis dikerahkan untuk mengekori dan memantau kami. Kami telah diberhentikan dan disoal di beberapa tempat. Pada 25 Jun 2011, polis telah menahan kedua-dua bas kami – pasukan Selatan di Tangkak, Johor dan pasukan Utara di Plaza Tol Sungai Dua, Pulau Pinang. Kumpulan Selatan dilepaskan selepas beberapa jam, tetapi kumpulan Utara telah dibawa ke Mahkamah Majistret Butterworth pada hari keesokannya dan direman 7 hari atas dakwaan kami terlibat dalam kegiatan dengan niat untuk “melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong” – Seksyen 122 Kanun Keseksaan – satu tuduhan berat yang membawa hukuman penjara seumur hidup! Selepas tujuh hari, sekumpulan enam orang daripada pihak kami, termasuk saya, dipindahkan ke Kuala Lumpur dan ditahan di bawah Ordinan Darurat (Emergency Ordinance – EO). EO memberi kuasa kepada polis untuk menahan sesiapa untuk jangka masa 60 hari untuk disoal siasat, dan selepas itu, untuk dua tahun tanpa perlunya dibicara di mahkamah.

Untuk tempoh masa 35 hari, pihak berkuasa telah berusaha untuk menggambarkan PSM sebagai sebuah kumpulan politik ekstremis yang berhasrat untuk mencetuskan perjuangan bersenjata untuk menggulingkan Kerajaan Malaysia. Dalam soal siasat enam orang yang ditahan di bawah EO, pihak Cawangan Khas begitu berazam untuk mencari hubungan PSM dengan parti-parti kiri yang lain termasuk Parti Komunis Malaya. Polis Diraja Malaysia memang mengetahui dakwaan terhadap kami adalah palsu kerana PSM bukan sebuah parti yang baru muncul pada tahun 2011. Kami telah bergerak sejak tahun 1998 dengan memperjuangkan isu-isu masyarakat ladang, peneroka bandar (setinggan) dan juga petani kecil di beberapa buah negeri di Semenanjung Malaysia. Cawangan Khas Polis adalah amat hebat dan mereka telah memantau segala aktiviti PSM sejak 1998 sehingga Jun 2011, dan mereka tahu, tiada satu insiden pun di mana PSM telah menggunakan kekerasan untuk memajukan perjuangan rakyat.

Hakikatnya adalah penahanan kami pada bulan Jun-Julai 2011 adalah sebahagian daripada rancangan sinis pihak tertinggi PDRM untuk menghentikan perhimpunan BERSIH 2.0 yang dirancang untuk diadakan pada 9 Julai 2011. Pihak PDRM telah mencipta satu pelan untuk menakutkan rakyat biasa dengan dakwaan bahawa PSM ialah kumpulan ekstremis dan memakai alasan PSM rapat dengan kepimipinan BERSIH 2.0 untuk menangkap penyelaras Bersih dan menghentikan perhimpunan BERSIH 2.0. Tetapi mereka gagal. Perhimpunan BERSIH 2.0 telah berlangsung dengan penglibatan beribu-ribu rakyat daripada berbilang kaum, dan selepas kempen hebat yang dilancarkan oleh PSM dan penyokongnya, kami, EO6 telah dibebaskan tanpa syarat pada 29 Julai 2011.

Walaupun ramai dalam kalangan rakyat tidak percaya pada propaganda polis pada tahun 2011 terhadap PSM, mungkin ada sebahagian rakyat Malaysia yang masih mempunyai sedikit keraguan. Saya mahu menjemput kumpulan ini untuk mengambil peluang ulangtahun ke-10 penahanan EO6 untuk mengimbas kembali kegiatan PSM dalam sepuluh tahun yang lalu untuk mempertimbangkan semula sama ada dakwaan polis pada bulan Jun 2011 adalah berasas ataupun sebaliknya.

PSM telah melibatkan diri dalam perjuangan lebih daripada 300 komuniti yang telah dipinggirkan oleh proses “pembangunan” ekonomi negara sejak bulan Julai 2011. Kami telah membantu puluhan komuniti ladang, peneroka bandar, petani kecil, penghuni rumah pangsa murah, kampung Orang Asal dan peniaga kecil untuk mengemukakan tuntutan mereka kepada pihak berkuasa dan mengadakan dialog dengan pihak yang menekan mereka. Dalam kes-kes di mana penyelesaian tidak dapat dicapai melalui rundingan, PSM telah membantu komuniti yang terlibat untuk melawan di mahkamah.

PSM juga telah berusaha menggembleng tenaga rakyat dengan menubuhkan jaringan dan kesatuan untuk mengutarakan kepentingan rakyat – Gabungan Pemandu Lori yang berkempen untuk memastikan caruman KWSP bagi pemandu lori dibayar dengan kadar yang betul, Jaringan Pekerja Pembersihan Kontrak di Sekolah Kerajaan yang baru berjaya menghentikan rancangan untuk memotong gaji pekerja kontrak semasa tempoh pelaksanaan PKP, Kesatuan Pekerja Kontrak di HospitalKerajaan yang telah berjaya menandatangani Persetujuan Kolektif pertama bersama majikan, Jaringan Penternak Lembu yang berjaya menghentikan pengusiran penternak lembu dari ladang-ladangSime Darby dan beberapa lagi perjuangan. PSM percaya bahawa rakyat biasa harus diperkasakan untuk menyuarakan dan menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi mereka, dan kami menggunakan semua saluran yang sedia ada dalam sistem demokratik negara kita untuk mengutarakan masalah rakyat, termasuk persidangan akhbar, penyerahan memorandum, kempen tandatangan terhadap isu spesifik, tunjuk perasaan jika perlu dan tindakan mahkamah. 

Selain daripada memperkasakan komuniti-komunitiakar umbi dalam memperjuangkan isu-isu mereka, dalam 10 tahun yang lalu, PSM juga telah melibatkan diri dalam pelbagai kempen untuk mempertahankan kepentingan am rakyat. Kami telah berkempen untuk membantah

  • usaha-usaha yang hendak menswastakan sistem kesihatan negara
  • pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)
  • Perjanjian Perdagangan Perdagangan Bebas Antarabangsa Trans-pasifik (TPPA)
  • Yuran tinggi untuk pendidikan tinggi

Kami bersama MTUC dan kumpulan-kumpulan lain juga telah berjaya membawa Skim Gaji Minimum yang mula dilaksanakan pada tahun 2013 dengan gaji minimum RM 900 sebulan pada masa itu. Skim ini telah banyak membantu pekerja yang bergaji rendah. PSM juga memainkan peranan yang penting dalam pelaksanaan Skim Insurans Pekerjaan yang membayar pampasan selama 6 bulan kepada pekerja yang kehilangan kerja. Pada tahun 2019 pula, PSM telah melancarkan kempen untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (green house gases) yang sedang menyebabkan pemanasan dunia. Kempen ini masih berterusan tetapi fokus PSM dalam tahun yang lalu telah beralih kepada memastikan semua keluarga di Malaysia dapat makanan dan keperluan asas yang lain semasa pandemik COVID-19. Kami juga sedang mengesyorkan pencen RM300 sebulan untuk setiap warga emas di negara kita dan sedang memohon pada kerajaan untuk melancarkan program ekonomi hijau demi memulihkan alam sekitar kita sambil menawarkan lebih banyak kerja kepada anak muda kita yang kini mengalami kadar pengangguran yang tinggi.

Walaupun sebuah parti politik yang kecil, dengan keahlian beberapa ribu sahaja, kami aktif dalam pelbagai bidang. Adanya beberapa kes perjuangan dalam kalangan akar umbi yang dapat kami menang, dan ada beberapa perjuangan am (seperti gaji minimum) yang mana kita mendapat penyelesaian yang menguntungkan rakyat biasa. Tetapi memang ada kes-kes akar umbi dan juga isu dasar am di mana kami belum mencapai matlamat kami.    

Tetapi – dan ini adalah penting dipertimbangkan oleh sesiapa yang masih ragu sedikit terhadap PSM – adakah anda pernah dengar insiden di mana ahli PSM telah menggunakan kekerasan terhadap pihak yang kami tentang? Memang ada kes di mana kami membantu rakyat tertindas dengan berdemonstrasi untuk memberi tekanan kepada pihak tertentu dan untuk mengutarakan masalah mereka. Dan juga ada beberapa insiden di mana ahli PSM ditahan oleh polis kerana menghalang perobohan rumah orang miskin ataupun berkumpul di kawasan awam (seperti pada 23 Mac 2015 di Pejabat Kastam untuk menentang pelaksanaan GST). Tetapi dalam semua kegiatan kami, tiada satu insiden pun di mana ahli PSM ataupun komuniti yang diorganisasi oleh PSM didapati telah memukul atau memecahkan harta benda orang.

Seperti yang saya nyatakan di atas, PSM sentiasa bertindak dalam ruang demokratik yang dibenarkan dalam Perlembagaan Persekutuan dalam usaha-usaha kami untuk memperjuangkan isu-isu rakyat, dan kami mengalu-alukan lebih ramai rakyat pelbagai kaum untuk menyertai perjuangan PSM supaya mewujudkan sebuah masyarakat yang adil dan harmoni yang berasaskan solidariti antara rakyat dan kelestarian alam sekitar.

==========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *