oleh Dr. Jeyakumar Devaraj

Pada 15 Julai 2021, saya telah menemani sekumpulan petani dari Malim Nawar, Kampar, ke Ibupejabat Polis Kontingen Perak untuk mengemukakan aduan terhadap Polis Daerah Kampar yang gagal menghentikan pencerobohan tanah 10 orang petani oleh sebuah syarikat swasta. Petani yang terlibat telah mendapat Perintah Mahkamah Majistret Kampar yang mengatakan bahawa mereka berhak untuk terus mengusahakan tanah itu sehingga kes mereka diadili di Mahkamah, tetapi syarikat swasta itu terus memakai 4 buah jentolak untuk merobohkan pagar dan stor petani tersebut, dan pihak polis enggan menguatkuasakan Perintah Mahkamah.

Biasanya apabila PSM memuat naik kisah-kisah pengusiran petani Cina di media sosial, adanya netizen yang tidak begitu bersimpati. Kami mendapat banyak komen yang negatif, umpamanya – mereka adalah penceroboh kerana tidak memegang geran; mereka harus bersyukur kerana tidak dikenakan bayaran cukai tanah selama ini; mereka sudah jadi kaya raya dengan menggunakan tanah kerajaan; dan sebagainya.

Jika anda boleh meluangkan sedikit masa, saya ingin mengulas kisah petani Malim Nawar untuk membangkitkan beberapa isu penting untuk kita menganalisis bersama.

Kisah petani Malim Nawar

Tanah Lot HS(D) 11351, Mukim Kampar, merupakan kawasan bekas perlombongan yang seluas 250 ekar. Pada tahun 1980-an, sekumpulan petani kecil telah mula mengusahakan tanah di kawasan-kawasan yang terbiar di Lot HS(D) 11351. Selepas aktiviti perlombongan tamat, 10 keluarga petani ini telah memakai kolam-kolam perlombongan untuk membela ikan dan kawasan lain untuk menternak lembu dan menanam sayur serta kelapa sawit seperti yang digalakkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak pada tahun 1974. Dalam upcara melancarkan Pelan Buku Hijau pada 20 Disember 1974, Tun Razak telah mengatakan bahawa “perlu ditekankan di sini bahawa perkara yang dipentingkan dalam Rancangan Buku Hijau ialah penggunaan tanah dan bukan hak milik atas tanah itu.” Tuan Razak meneruskan ucapan beliau dengan menggesa Jawatankuasa Tindakan Daerah untuk menggalakkan aktiviti pertanian di atas bidang-bidang tanah yang lapang.

Beberapa tahun yang lalu, Lot HS(D) 11351, Mukim Kampar, telah dilupuskan (alienated) kepada Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP), sebuah syarikat milik Kerajaan Negeri (GLC). PPPNP telah ditubuhkan pada tahun 1973 dan objektifnya adalah untuk membangunkan sektor pertanian untuk menjamin negeri Perak mendapat bekalan bahan-bahan makanan yang mencukupi. PPPNP mempunyai Lembaga Pengarah seramai 12 orang ahli dengan YAB Menteri Besar sebagai Pengerusi Lembaga. Adalah dicatat dalam laman web PPPNP bahawa GLC ini mempunyai 21 buah anak syarikat dan memiliki tanah seluas 40,000 hektar (setakat tahun 2017). Ada juga dicatat bahawa keuntungan bersih PPPNP untuk tahun 2018 adalah berjumlah RM 16.1 juta.

Pada 30 April 2018, PPPNP telah memeteraikan persetujuan pajakan dengan Syarikat Suria Fisheries Sdn Bhd. Keseluruhan Lot HS(D) 11351, Mukim Kampar telah dipajak kepada Suria Fisheries yang mempunyai dua orang pemegang saham – En. Ng Seng Joo dan En. Cheah Kim Swee. Kedua-dua pemegang saham itu bukan orang tempatan dan tidak pernah memainkan sebarang peranan dalam pemulihan kawasan bekas perlombongan ini sehingga ianya menjadi sumber ikan, susu, sayur-sayuran dan kelapa sawit. Yang amat pelik adalah, kenapa PPPNP tidak terlebih dahulu menawarkan pajakan kepada petani yang telah berusaha di atas Lot HS(D) 11351, Mukim Kampar, untuk 40 tahun yang lalu?

Pada bulan Jun 2021, Suria Fisheries Sdn Bhd telah mengupah seorang kontraktor dan memulakan kerja “membersihkan” kawasan dengan merobohkan pagar dan bangunan kecil yang didirikan oleh para petani. 10 orang petani telah mencuba berbincang dengan Suria Fisheries untuk sewa tanah dan kolam daripadanya, tetapi tidak dilayani. Selepas itu, petani ini telah menulis surat kepada PPPNP dan meminta perjumpaan supaya dapat memohon pajakan untuk diberikan kepada mereka. Mereka sedia membayar pada kadar yang dipersetujui oleh Suria Fisheries. Sampai sekarang, mereka belum mendapat maklum balas untuk surat dihantar oleh mereka pada 18 Jun 2021. Oleh kerana pihak Suria Fisheries tidak mahu berdialog dan bertindak agresif, petani Malim Nawar telah meminta pada peguam PSM untuk memfailkan kes di bawah Seksyen 99 Kanun Acara Jenayah untuk memohon “status quo” dikekalkan sehingga pertikaian terhadap tanah ini diputuskan oleh Mahkamah Tinggi. Inilah perintah yang kami perolehi pada 9 Julai 2021 – “adalah diputuskan bahawa pengadu-pengadu mempunyai milikan bagi tanah yang menjadi pertikaian tersebut dan berhak menyimpan milikan itu sehingga disingkir dengan cara undang-undang. Apa-apa gangguan terhadap milikan mereka pada masa ini adalah ditegah.” Malangnya, pihak polis Kampar enggan mengambil tindakan apabila kontraktor Suria Fisheries melanggar perintah tersebut dan meneruskan kerja “pembersihan kawasan”.

Gambaran besar

PSM menerima baik keputusan Kerajaan Negeri Perak untuk mengekalkan kawasan Lot HS(D) 11351 sebagai kawasan pertanian supaya dapat terus menghasilkan makanan untuk rakyat Malaysia. Ini adalah amat penting untuk jaminan makanan (food security) negara. Kami juga mengalu-alukan kaedah memajakkan tanah kepada petani, penternak ikan dan penternak tempatan. Kaedah pajakan lebih baik daripada kaedah melupuskan tanah kepada para petani kerana ada kemungkinannya bahawa pada satu masa petani itu akan menjual tanah itu kepada seorang pemaju. Kaedah pajakan dapat mengekalkan tanah ini sebagai tanah untuk menghasilkan makanan bagi rakyat kita.  

Tetapi perkara yang kami tidak faham adalah, mengapa pajakan tidak ditawarkan kepada petani yang telah bertungkus lumus untuk membangunkan kawasan ini sebagai satu sumber pertanian yang memanfaatkan negara? Jika PPPNP menawarkan tanah kepada pihak ketiga seperti Suria Fisheries kerana petani asal degil dan tidak mahu membayar sebarang sewa, kami tidak akan mengritik keputusan itu. Ini kerana adalah munasabah untuk pengusaha tanah kerajaan membayar sewa pada Kerajaan Negeri. Tetapi dalam kes Malim Nawar, petani asal tidak dihubungi oleh PPPNP sebelum tanah yang diusahakan mereka itu dipajak kepada Suria Fisheries Sdn Bhd.

Kami berharap Kerajaan Negeri Perak akan menjalankan satu siasatan terhadap caranya PPPNP mengendalikan pemberian pajakan bagi Lot HS(D) 11351, Mukim Kampar. Mengapakah pajakan diberikan kepada pihak ketiga? Mengapa petani tempatan tidak ditawar pajakan terlebih dahulu? Adakah wujudnya unsur-unsur penyelewengan kuasa? Apakah mekanisme yang harus dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri untuk memastikan kelemahan dalam pengurusan tanah seperti ini tidak diulangi oleh PPPNP?

Kami juga tiada bantahan jika Kerajaan Negeri Perak ingin memakai syarikat GLC seperti PPPNP untuk mengendalikan tanah kerajaan yang diusahakan oleh petani kecil. Tetapi cara kerja (SOP) PPPNP harus adil dan telus, dan sebahagian besar daripada pulangan pajakan harus disalurkan kepada Tabung Kerajaan Negeri supaya dapat digunakan untuk program-program yang membantu rakyat. Pulangan daripada tanah merupakan sumber kewangan terbesar untuk setiap Kerajaan Negeri. Apakah mekanisme semak dan imbang yang sedang diamalkan di negeri Perak untuk memastikan pulangan daripada tanah kerajaan digunakan untuk kebajikan rakyat Perak dan tidak dirampas oleh individu-individu berkuasa ataupun saudara-mara dan kroni mereka? Adakah akaun PPPNP dan GLC lain di Perak dibentang setiap tahun di Dewan Undangan Negeri Perak supaya dapat diteliti dan disoal oleh ADUN Perak?

Bagi PSM, inilah isu-isu yang penting – kebajikan petani kecil, jaminan makanan untuk rakyat Malaysia dan penyaluran pulangan daripada tanah kerajaan kepada program-program yang memanfaatkan rakyat marhaen di Perak. Adalah harapan PSM bahawa orang ramai akan mengambil pendirian yang rasional dan berprinsip dalam menganalisis isu-isu masyarakat yang timbul dari semasa ke semasa ini, dan elak daripada reaksi yang bersifat sentimen etnik. Kita hanya akan berjaya mewujudkan masyarakat yang adil dan harmoni jika kita mengasaskan analisis dan tindakan kita atas pemikiran objektif dan prinsip-prinsip kemanusiaan.   

==========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s