Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

==========

oleh Karthiges Rajamanickam

Pandemik COVID-19 telah memberi impak yang besar kepada kemanusian dan memaksa satu perubahan besar dalam kehidupan massa rakyat. Selain menjejaskan kesihatan, krisis ini juga menghancurkan pendapatan rakyat marhaen sehingga ramai menghadapi masalah dalam menanggung perbelanjaan keluarga seperti sewa rumah. Kini, Parti Sosialis Malaysia (PSM) menerima banyak aduan daripada rakyat yang menyatakan kesusahan mereka untuk membayar sewa rumah. Ternyata kerajaan masih belum merangka usaha khusus untuk mengendalikan masalah ini.

Sejak tahun lepas, PSM telahpun menuntut kepada kerajaan untuk memberi moratorium terhadap pembayaran sewa perumahan awam, PPR dan sebagainya. Namun, isu penyewa swasta, iaitu mereka yang menyewa rumah kediaman daripada pihak ketiga (swasta) ialah isu khusus yang jarang dibawa bincang oleh semua pihak. Ramai penyewa rumah persendirian tidak lagi mampu untuk membayar sewa rumah sejak gelombang ketiga pandemik ini menyerang kita. Pada ketika ini, ada pemilik rumah yang bertolak ansur, namun sesetengah sudah mengambil keputusan untuk mengusir mereka yang tidak mampu bayar sewa. Apakah solusinya? Solusi ini mesti mengambilkira hakikat bahawa bukan semua tuan rumah kaya raya. Ada sebahagian daripada tuan rumah yang bergantung kepada kutipan sewa untuk menampung keperluan harian mereka sendiri. 

PSM mengesyorkan langkah-langkah yang berikut:

1. Mengisytiharkan bahawa pengusiran daripada rumah kediaman tidak dibenarkan untuk satu tahun yang akan datang. Jika tuan rumah dan penyewa tidak dapat menyelesaikan masalah mereka melalui perbincangan, masalah mereka harus dibawa ke sebuah Tribunal Sewa Rumah khas.

2. Kerajaan harus menubuhkan Tribunal Perumahan yang dianggotai oleh pegawai Kerajaan Tempatan serta beberapa wakil daripada penduduk setempat di setiap daerah untuk mengendalikan isu penyewa rumah swasta yang tidak mampu bayar sewa buat masa ini. Langkah ini adalah selaras dengan Akta 829, iaitu Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020; di mana Seksen 9 (Pengantaraan) yang antara lainnya menyatakan bahawa “apa-apa pertikaian dengan apa-apa ketidakupayaan mana-mana pihak melakukan apa-apa obligasi kontraktual boleh diselesaikan melalui pengantaraan”.

3. Tribunal tersebut harus diberi kuasa untuk memanggil pihak penyewa dan pemilik rumah untuk melakukan satu perundingan dan memutuskan:

  • Sama ada bayaran sewa harus dikurangkan, ataupun dimansuhkan, untuk satu tempoh masa tertentu;
  • Jumlah subsidi yang harus dibayar oleh kerajaan kepada tuan rumah. Keputusan ini harus berdasarkan pada status kewangan tuan rumah – seorang tuan rumah yang hanya menyewa sebuah rumah harus dibayar subsidi yang lebih – mungkin 50% jumlah sewa, manakala seorang tuan rumah dengan 5 buah rumah yang disewa boleh dibayar subsidi yang lebih kecil.

4. Tribunal-Tribunal ini harus memperuntukkan dana untuk membayar subsidi kepada pemilik rumah.

PSM menggesa supaya skim Subsidi Sewa ini dilaksanakan secepat mungkin kerana ratusan keluarga di seluruh negara sedang diancam oleh pengusiran dari rumah yang didiami mereka. Ini bukannya salah keluarga yang terlibat, pandemik serta Perintah Kawalan Pergerakan adalah punca masalah ini. Pengusiran dari rumah yang didiami mereka akan menambahkan kesusahan mereka dan membawa kesan negatif kepada pemakanan dan kesihatan ahli keluarga dan menjejaskan lagi pendidikan kanak-kanak di keluarga-keluarga terlibat. 

Adalah tidak mencukupi untuk pemimpin tumpang pakai cogankata rakyat “Kita Jaga Kita”. Slogan ini mesti diterjemahkan kepada polisi yang relevan dan pada takat ianya diperlukan. Adalah tanggungjawab kerajaan melaksanakan Skim Subsidi Sewa untuk mempertahankan kepentingan rakyat biasa. PSM percaya bahawa perumahan ialah hak asasi rakyat, dan tiada sesiapa pun yang boleh dinafikan hak tersebut kerana kemiskinan dan ketidakmampuan.

==========

Karthiges Rajamanickam ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Penyelaras Biro Perumahan PSM.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s