Isu pegawai perubatan kerajaan kontrak di hospital kerajaan yang menuntut penukaran status kepada jawatan tetap telah menjadi hangat baru-baru ini, dengan kempen tanda pagar #CodeBlackMy menular di media sosial.

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) telah menyeru pada orang ramai supaya menyokong protes “Kod Hitam” (Code Black) yang bertujuan untuk bersolidariti dengan doktor-doktor kontrak yang menghadapi masalah ketidakjaminan kerja. Protes Kod Hitam secara atas talian ini diadakan pada 1-12 Julai 2021. MMA juga menyeru untuk aksi “Hari Isnin Hitam” (Black Monday) yang menggalakkan orang ramai untuk menunjukkan sokongan mereka kepada perjuangan doktor-doktor kontrak dengan memakai baju hitam pada 12 Julai 2021, di samping menyatakan solidariti melalui hantaran media sosial dengan tanda pagar #CodeBlackMY, #saveMYcontractHCW dan #BlackMondayMY.

Menurut Dr Subramaniam Muniandy, Presiden MMA, terdapat sebanyak 23,077 orang doktor kontrak sejak tahun 2016 tetapi hanya 789 orang ditawarkan jawatan tetap dalam sektor perkhidmatan kesihatan awam. Doktor-doktor yang berkhidmat selama 5 tahun sebagai doktor kontrak di bawah Kementerian Kesihatan tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk mereka menjadi doktor pakar, maka doktor-doktor yang tidak diambil sebagai doktor tetap dalam perkhidmatan kesihatan awam hanya boleh bekerja sebagai pengamal perubatan umum (GP); tetapi sektor GP telah pun dipenuhi dengan lebih 7,000 orang doktor yang berdaftar dan keadaan menjadi sukar untuk mereka.  

MMA menggesa Kerajaan supaya mengambil tindakan berikut:

  • Mewujudkan jalan kerjaya yang jelas kepada doktor kontrak untuk menjadi doktor pakar.
  • Mengemukakan kriteria yang terperinci dan telus untuk pengambilan jawatan tetap di sektor perkhidmatan kesihatan awam.
  • Layanan dan kebajikan yang samarata dan saksama untuk semua kakitangan kesihatan sama ada kakitangan kontrak ataupun kakitangan tetap.
  • Mewujudkan jaminan kerja kepada semua doktor dan kakitangan kesihatan.

Forum Kesihatan Rakyat juga menyatakan sokongannya kepada doktor-doktor kontrak dalam perkhidmatan kesihatan awam yang tidak mempunyai jaminan kerja.

Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang juga merupakan Pengangur Bersama Forum Kesihatan Rakyat, berkata dalam satu kenyataannya, “Masalah ini bermula lebih 15 tahun dahulu. Kerajaan Persekutuan pada masa itu membenarkan terlalu banyak kolej swasta untuk menawarkan kursus yang melatih doktor, jururawat, ahli fisioterapi, juruteknik X-ray, kakitangan makmal dan sebagainya. Lebih daripada 20 buah kolej swasta diberi kebenaran untuk melatih doktor, dan mereka memohon untuk kuota pengambilan yang besar bagi kursus-kursus ini, didorong secara utamanya oleh pertimbangan komersial. Perluasan sekolah-sekolah perubatan ini sebahagiannya dipermudahkan oleh pegawai-pegawai kanan yang bersara daripada Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan yang terus menerajui kebanyakan institusi-institusi swasta ini. Perkembangan ini diiringi dengan keluluasan kuota yang sangat besar untuk pengambilan pelajar dan juga pinjaman PTPTN kepada ribuan pelajar yang hendak belajar perubatan. Sudah terlambat, satu moratorium 5 tahun telah dikenakan ke atas kursus perubahan yang baharu di Malaysia pada tahun 2011, dan dilanjutkan untuk 5 tahun lagi pada tahun 2016. Walaupun adanya moratorium ini, dalam tempoh 10 tahun yang lepas, masih terdapat sesetengah kolej swasta diluluskan kursus perubatan.”

“Ini merupakan kegagalan serius dalam perancangan sumber manusia untuk sistem kesihatan. Sumber manusia yang diperlukan dalam negara ini tidak dinilai dengan tepat oleh agensi-agensi kerajaan yang mengawasi dan mengawalselia pendidikan tinggi. Kapasiti Kementerian Kesihatan untuk memberikan latihan kepada graduan perubatan, juga tidak diambil kira. Begitu juga dengan isu jawatan tetap selepas menyempurnakan latihan, juga tidak dinilai. Dalam senario sebegini, apabila kepentingan komersial kolej-kolej swasta diutamakan, kawalseliaan pertumbuhan sekolah-sekolah perubatan swasta gagal mengejarnya,” begitu katanya Dr. Jeyakumar. “Sekarang ini, kerajaan nampaknya cuba mencuci tangannya daripada masalah ini.”

“Doktor-doktor kontrak muda patut diberikan jalan kerjaya yang sesuai oleh kerajaan, kerana kerajaan yang membenarkan semua kolej perubatan swasta untuk beroperasi dan menawarkan pinjaman PTPTN untuk permohonan semua pelajar. Adalah tidak adil untuk meminta doktor-doktor ini menanggung kesan kegagalan perancangan kerajaan,” tegas Dr. Jeyakumar.

Forum Kesihatan Rakyat mengemukakan cadangan berikut:

  • Pelanjutan segera kontrak untuk selama 10 tahun supaya membolehkan doktor-doktor yang terkesan mempunyai masa yang mencukupi untuk mendapatkan kelayakan kepakaran. Doktor-doktor kontrak harus diberikan peluang yang adil untuk membangunkan kerjaya kepakaran mereka.
  • Pengurangan segera pengambilan pelajar di kolej perubatan swasta – mungkin pengurangan sebanyak 50% atau lebih berasaskan unjuran keperluan sumber manusia. Jika perlu, kolej-kolej perubatan ini patut digabungkan. Juga perlu kawalan yang lebih ketat terhadap bilangan pelajar yang belajar perubatan di luar negara, dengan pemahaman jelas bahawa graduan yang pulang dari luar negara tidak dijamin posisi latihan secara automatik tetapi perlu lulus dalam Peperiksaan Pendaftaran Sementara (EPR) yang dianjurkan oleh Majlis Perubatan Malaysia. Ini adalah perlu untuk menjamin kualiti doktor yang memasuki sistem kesihatan.
  • Peningkatan belanjawan kesihatan supaya lebih banyak jawatan tetap untuk pegawai perubatan boleh diwujudkan. Perkhidmatan perubatan kerajaan memikul beban berlebihan pada masa kini. Kita perlukan lebih banyak hospital awam dan kakitangan perubatan awam. Sehubungan ini, Kerajaan harus mempertimbangkan penubuhan sebuah suruhanjaya perkhidmatan kesihatan yang berasingan, bukannya dikekang oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).
  • Perancangan yang lebih komprehensif berkenaan dengan keperluan sumber manusia harus diwujudkan. Keputusan-keputusannya tidak patut didorong oleh kepentingan korporat, tetapi harus berasaskan bukti dan berkhidmat untuk manfaat sektor kesihatan dan kepentingan awam.
  • Harus wujudnya perundingan yang serius dengan profesional perubatan, pihak-pihak yang terkesan, dan juga kumpulan masyarakat yang prihatan, berkenaan dengan semua isu ini sebelum keputusan muktamad diambil.

Forum Kesihatan Rakyat menyeru pada Kementerian Kesihatan untuk mengadakan perbincangan dengan doktor-doktor muda, untuk mengelakkan gangguan terhadap perkhidmatan kesihatan khususnya pada ketika sektor perubatan awam kita sedang dibebankan dengan cabaran yang hebat untuk berdepan dengan ancaman pandemik.

“Masalah ini adalah nyata dan ia harus ditangani secara keseluruhan. Cubaan untuk ‘membuli’ doktor-doktor muda ini harus ditentang. Mereka bukannya punca kepada masalah ini. Walaupun masalah ini timbul kerana kelemahan urus tadbir kerajaan sebelum ini, tetapi kerajaan sekarang harus menanganinya secara bertanggungjawab dan adil,” kta Dr. Jeyakumar.

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

3 thoughts on “#CodeBlackMY: Solidariti bersama dengan doktor kontrak yang tuntut jaminan kerja

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *