2 JULAI 2021: Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia supaya jangan mengurangkan pembayaran kontrak perkhidmatan kebersihan bangunan dan kawasan (KBK) yang menyebabkan gaji pekerja pembersihan sekolah menurun dengan hebatnya pada ketika masyarakat kita sedang dilanda kesusahan di bawah pandemik. Seruan ini telah ditegaskan dalam satu sidang akhbar atas talian pada hari ini mengenai isu gaji pekerja pembersihan sekolah dikurangkan sebanyak 40%.

Menurut Danial Hakeem selaku Penyelaras JPKK, JPKK telah menerima banyak aduan daripada pekerja-pekerja pembersihan sekolah di seluruh negara melalui talian hotlinenya sejak bulan Jun 2021, yang mengadu bahawa majikan yang mengupah mereka hendak memotong gaji yang dibayar kepada pekerja. Pemotongan gaji pekerja pembersihan ini bermula sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pada bulan Jun 2021. Seramai 50,000 orang pekerja pembersihan menerima impak daripada pemotongan gaji ini.

JPKK telah mengadakan satu pertemuan dengan Persatuan Gabungan Kontraktor Kebersihan Bangunan dan Kawasan, dan diberitahu bahawa pihak kontraktor terpaksa memotong gaji yang dibayar kepada pekerja kerana keputusan Kementerian Pendidikan yang mengurangkan pembayaran kepada kontraktor perkhidmatan kebersihan di sekolah kepada hanya 60% daripada bayaran asal.

Mengikut arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, bayaran kepada kontraktor perkhidmatan KBK akan “dibuat mengikut pekerja kebersihan yang hadir dan skop perkhidmatan dilaksanakan pada hari tersebut”, iaitu maksimum 60% pekerja sahaja yang akan bekerja di sekolah, dan ini bermakna juga gaji yang diterima oleh pekerja pembersihan telah dikurangkan sebanyak 40%. Arahan daripada Kementerian Pendidikan ini bercanggah pula dengan arahan daripada Kementerian Sumber Manusia yang menyatakan bahawa “majikan wajib bayar gaji penuh”. “Pekerja bergaji hari harian perlulah dibayar mengikut kadar upahan yang telah dipersetujui di antara majikan dan pekerja di dalam surat tawaran/kontrak perkhidmatan/surat kenaikan gaji terkini. Untuk pekerja yang mana upahnya tidak tetap maka kadar hariannya hendaklah tidak kurang daripada gaji minimum seperti dalam Perintah Gaji Minimum 2020,” begitu katanya dalam jawapan kepada soalan lazim (FAQ) yang dikeluarkan oleh Kementerian Sumber Manusia mengenai PKP 3.0.

Semua pekerja pembersihan hanya menerima gaji sebanyak RM1,200 (di kawasan bandar) atau RM1,100 (di kawasan luar bandar), seperti yang ditetapkan di bawah Perintah Gaji Minimum 2020. Pengurangan gaji sebanyak 40% menjadikan gaji yang diterima oleh mereka hanya RM720 pada tahap maksimum. Pengurangan pendapatan bulanan yang hebat ini telah menjejaskan kehidupan pekerja bawahan B40 yang sudah cukup susah dalam keadaan krisis pandemik pada masa kini, dan meningkatkan lagi tekanan hidup mereka.

“Kerajaan sering berkata bahawa ia membela golongan B40, tetapi realitinya adalah keputusannya sebegini telah memangsakan golongan B40,” kata Danial Hakeem. “Kakitangan kerajaan yang bertugas di pejabat kerajaan juga dikurangkan semasa PKP, adakah gaji mereka juga dipotong? Kenapa pula pekerja B40 di premis kerajaan yang dipotong gaji?”

Haizal, seorang pekerja pembersihan di sebuah sekolah di Kelantan, berkata dalam sidang akhbar atas talian JPKK, “Kerja sebagai pekerja pembersihan sekolah ini merupakan satu-satunya punca pendapatan untuk penduduk kampung. Jika pendapatan kami hilang sebanyak 40%, kami perlu mencatu bekalan keperluan harian keluarga kami. Kami perlu kurangkan makanan dan sebagainya… Kerajaan harus turun padang dan lihat keadaan sebenarnya. Tolong lihat darjat mana yang paling terkesan. Tanpa gaji yang mencukupi, akan berlaku lagi lebih banyak masalah sosial!”

M. Sivaranjani, Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Penyelaras Biro Pekerja PSM, berkata bahawa ini bukannya kali pertama pekerja-pekerja perkhidmatan sokongan di sekolah dimangsakan oleh keputusan kerajaan. “Apabila kerajaan mengurangkan belanjawan kepada perkhidmatan sokongan di sekolah kerajaan pada tahun 2019, atas nama ‘penjimatan’ dana kerajaan, pekerja-pekerja pembersihan yang menerima padahnya. Ramai pekerja diberhentikan kerja kerana jumlah pekerja pembersihan di sekolah telah dikurangkan, sementara pekerja pembersihan yang masih bekerja pula berdepan dengan masalah beban kerja bertambah banyak kerana orang yang bekerja sudah kurang. Ini sudah menyusahkan pekerja sehingga kini. Sekarang ini, ketika kita menghadapi keadaan susah kerana pandemik, pekerja-pekerja pembersihan sekolah disusahkan lagi dengan keputusan Kementerian Pendidikan yang mengurangkan pembayaran kepada kontrak perkhidmatan pembersihan. Kenapa orang miskin yang dimangsakan setiap kali kerajaan melakukan ‘penjimatan’?” kata Sivaranjani. “Ini bukannya pendekatan kerajaan yang menjaga rakyat!”

S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi PSM, berkata bahawa tindakan kerajaan yang menyebabkan pengurangan gaji pekerja pembersihan di sekolah ini merupakan sesuatu yang tidak adil dan tidak berperikemanusiaan terhadap pekerja bawahan. “Kerajaan di satu pihak bercakap mahu membantu B40, tetapi di pihak yang lain pula melakukan perkara yang memiskinkan B40. Ini cukup tidak adil!”

JPKK mengemukakan tiga tuntutan utama kepada Kerajaan, iaitu:

  1. Pulihkan semula gaji pekerja pembersihan sekolah kepada bayaran upah 100%. Jangan memotong gaji pekerja pembersihan semasa PKP.
  2. Utamakan pekerja perkhidmatan sokongan (termasuk pekerja pembersihan) dalam proses vaksinasi. Jangan anaktirikan pekerja perkhidmatan sokongan di premis kerajaan.
  3. Pastikan arahan yang dikeluarkan oleh semua kementerian tidak bercanggahan antara satu sama lain.

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

2 thoughts on “Jangan miskinkan lagi pekerja pembersihan sekolah pada ketika pandemik

  1. Sy sendiri sbgai salah seorg perkerja pembersihan di sebuah sekolah luar bandar bersama suami berkerja di sekolah luar bandr ckup terkesan bila gaji kami di kira gaji harian..di mna kami kena berkira untuk membeli keperluan asas kami untuk membayar sewa rumah untuk kelangsngan hidup kami..kami kerja pun dlm tempoh pkp ini tetap mengikut waktu yg sama..gaji kami kecil bygkn bila di ptg kwsp socso berapa yg kami dpt tiap bulan ini pula di kira gaji harian..mmg ckup terkesan bg sy dan suami begitu juga pd yg lain2 kerajaan tolong dgr,fhm,dan bygkan kalau org2 yang bergaji beribu2 sbulan tu di tmpt kami..???dgn kos sara hidup skrng mmg terlalu tinggi ckup beri tekanan pada kami..#TolongDengarTolongByrGajiPenuhPdKami.

    Like

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s