1 JULAI 2021: Jawatankuasa Bertindak Wilayah dan Adat Orang Asli Pos Lanai Pahang melancarkan kempen petisyen atas talian untuk membantah rancangan perlombongan lantanid di kawasan tanah adat Orang Asli di Pos Lanai, Kuala Lipis, Pahang. Kempen ini dilancarkan dalam satu sidang media yang dianjurkan secara atas talian pada hari ini.

Kempen petisyen “Selamatkan Orang Asli daripada perlombongan lantanid” ini mendapat sokongan daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM), MISI: Solidariti, Sahabat Alam Malaysia, Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) dan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM).

Kerajaan Negeri Pahang telah meluluskan rancangan perlombongan lantanid di kawasan Hutan Simpanan Kekal Ulu Jelai dan kawasan kampung Orang Asli Pos Lanai pada tahun 2019. Projek perlombongan ini sedang berada pada peringkat penyediaan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA). Konsesi untuk perlombongan lantanid di situ telah diberikan kepada 3 buah syarikat dengan jumlah keluasan tanah yang mencecah 660 hektar. Rancangan perlombongan lantanid ini mendatangkan ancaman kepada kehidupan masyarakat Orang Asli suku Semai di situ.

Lantanid ialah sejenis galian unsur nadir bumi yang wujud dalam konsentrasi yang rendah di dalam tanah. Sebelum ini, pernah tercetusnya kontroversi dan bantahan masyarakat yang hebat terhadap operasi kilang pemprosesan unsur nadir bumi di Malaysia, termasuk kilang pengekstrakan nadir bumi Asia Rare Earth di Bukit Merah, Perak, dan kilang Lynas di Kuantan, Pahang. Kilang Lynas memproseskan unsur-unsur nadir bumi termasuk lantanid, yang dilombong di Australia. Sekarang ini, adanya pula syarikat cuba melombong lantanid di negeri Pahang.

Menurut A. Sivarajan, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), yang bercakap dalam sidang akhbar pelancaran kempen petisyen, kawasan yang terbabit ialah kawasan yang sangat sensitif terhadap pencemaran alam sekitar kerana ia terletak di tengah-tengah hutan simpanan, kawasan tumpuan sungai-sungai dan kawasan tanah adat Orang Asli. Ini juga kali pertamanya di Malaysia satu perlombongan nadir bumi dilakukan di dalam hutan simpanan. “Inilah sebabnya perlombongan ini patut dibantah dan dielakkan,” kata Sivarajan.

Sivarajan mengatakan bahawa teknik larut resap in situ (in-situ leaching) yang akan digunakan untuk melombong lantanid di situ akan mendatangkan kesan buruk kepada alam sekitar seperti pencemaran sumber air bawah tanah oleh bahan kimia ammnonia dan risiko tanah runtuh di kawasan sekitar tapak perlombongan. “Apakah berlaku jika bahan-bahan kimia yang disimpan di situ melimpah keluar?” tanya Sivarajan. Sivarajan juga mempertikaikan kenyataan bahawa projek perlombongan ini tidak akan melibatkan penebangan hutan, kerana projek perlombongan itu memerlukan pembukaan jalan akses, penyediaan tapak simpanan biojisim, pengwujudan kolam-kolam dan sebagainya, yang semuanya pasti akan melibatkan penebangan hutan.

Menurut Sarah Irdina daripada MISI:Solidariti yang terlibat dalam usaha bersolidariti dengan masyarakat Orang Asli di Pos Lanai, petisyen atas talian “Selamatkan Orang Asli daripada perlombongan lantanid” yang dilancarkan pada hari ini bertujuan untuk meraih sokongan orang ramai dalam isu ini dan membantu dalam mencapai tuntutan untuk menyelamatkan perkampungan Orang Asli di Pos Lanai. Petisyen ini akan dikemukakan kepada pihak kerajaan selepas mendapatkan sokongan yang mencukupi. “Jika adanya lebih suara yang membantah, maka lebih besar kemungkinan untuk projek ini dibatalkan,” kata Sarah Irdina.

Jeffry Hassan, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Wilayah dan Adat Orang Asli Pos Lanai, berkata, “Kami di Pos Lanai dengan tegasnya membantah sebarang perlombongan lantanid di sini, kerana perlombongan lantanid tidak memanfaatkan Orang Asli. Projek ini hanya menguntungkan syarikat besar. Yang kami dapat hanyalah kemusnahan kepada hutan dan sungai, bencana alam seperti tanah runtuh dan sebagainya… Banyak hidupan liar juga akan terjejas sehingga masuk ke kebun Orang Asli dan merosakkan tanaman maka mengganggu rezeki Orang Asli.”

Tuntutan utama kempen “Selamatkan Orang Asli daripada perlombongan lantanid” ialah:

  • Hentikan segera rancangan perlombongan lantanid di Pos Lanai
  • Hentikan semua aktiviti pembalakan di kawasan Hutan Simpanan Hulu Jelai dan tanah adat Orang Asli
  • Tunaikan tanggungjawab Kerajaan Negeri dan mewartakan tanah berkenaan sebagai tanah rizab Orang Asli bersesuaian dengan hak-hak masyarakat Orang Asli daripada suku Semai seperti yang termaktub dalam Akta Orang Asli 1954.

Petisyen “Selamatkan Orang Asli daripada perlombongan lantanid” boleh ditandatangani di sini.

Dapatkan maklumat lebih lanjut mengenai kempen ini di sini.

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *