9 Julai 2011 ialah satu hari yang penuh bermakna dalam sejarah perjuangan demokrasi di Malaysia.

Pada 9 Julai 2011, puluhan ribu rakyat Malaysia turun ke jalanan di Kuala Lumpur, walaupun dihalang oleh pihak pemerintah dengan pelbagai cara yang keji. Rakyat berhimpun untuk menuntut pilihanraya yang bersih dan adil.

Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) pada masa itu menganjurkan perhimpunan BERSIH 2.0 untuk mendesak kerajaan supaya melakukan pembaharuan terhadap sistem pilihanraya di negara kita yang penuh dengan kelemahan. Tuntutan yang dikemukakan oleh BERSIH 2.0 pada masa itu ialah:

  1. Membersihkan senarai pemilih;
  2. Merombak semula pengundian secara pos;
  3. Penggunaan dakwat kekal;
  4. Tempoh kempen minimum 21 hari;
  5. Akses yang bebas dan adil kepada media arus perdana;
  6. Memperkukuhkan institusi awam;
  7. Hentikan korupsi; dan
  8. Hentikan politik kotor.

Rejim UMNO-BN pada masa itu telah cuba menggunakan pelbagai cara untuk menghalang rakyat daripada berhimpun pada 9 Julai 2011, termasuklah penangkapan secara besar-besaran. Lebih 150 orang ditangkap polis sebelum 9 Julai 2011, kerana terlibat dalam aktiviti yang berkaitan dengan himpunan BERSIH 2.0, termasuklah mereka yang hanya memakai baju berwarna kuning.

2 minggu sebelum berlangsungnya himpunan BERSIH 2.0, 30 orang anggota Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah ditahan polis di Seberang Perai, Pulau Pinang, semasa menjalankan kempen jelajah “Udahlah BN, bersaralah…”. Mereka telah direman dengan alasan yang tidak masuk akal, iaitu “melancarkan perang terhadap Yang Di-Pertuan Agong” dan “menghidupkan fahaman komunis”. 6 orang antaranya kemudian ditahan di bawah Ordinan Darurat (EO) dengan alasan mereka ialah “penggerak BERSIH”. 6 orang anggota PSM yang ditahan di bawah EO ini ialah Dr. Jeyakumar Devaraj PSM, M. Sarasvathy, Choo Chon Kai, M. Sukumaran, A. Letchumanan dan R. Saratbabu. Mereka ini digelar sebagai EO6. Mereka kemudiannya dibebaskan selepas ditahan hampir sebulan di bawah EO, hasil daripada kempen menuntut pembebasan tahanan yang giat berjalan selepas Himpunan BERSIH 2.0. (Baca lebih lanjut mengenai kisah perjuangan membebaskan EO6 di sini.)

Walaupun pelbagai taktik kotor digunakan oleh pihak berkuasa untuk menghalang rakyat daripada berhimpun, 50,000 orang rakyat Malaysia yang berani telah turun ke jalanan di Kuala Lumpur, untuk menuntut pilihanraya bersih. Walaupun dilayan dengan meriam air dan gas pemedih mata serta penangkapan polis, semangat berjuang yang ditunjukkan oleh rakyat pada hari tersebut amat hebat.

1,667 orang ditangkap pada 9 Julai 2011, namun dibebaskan pada malam hari itu juga.

Semangat hebat yang ditunjukkan dalam perhimpunan BERSIH 2.0 telah menterjemah kepada kekuatan rakyat yang akhirnya membawa kepada pembebasan EO6, dan memaksa kerajaan pada masa itu berkompromi dengan memansuhkan akta zalim seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat yang membenarkan penahanan tanpa bicara. Momentum BERSIH 2.0 telah diteruskan dalam perhimpunan raksasa BERSIH 3.0 yang lebih besar lagi pada 28 April 2012, aksi-aksi perhimpunan rakyat lain yang berterusan dan juga kehilangan lebih banyak kerusi UMNO-BN dalam PRU-13. Momentum BERSIH masih diteruskan selepas itu. Antara faktor-faktor yang menyumbang kepada kejatuhan rejim UMNO-BN dalam PRU-14, memang kita tidak boleh mengecualikan kuasa rakyat yang dibangkitkan dalam perhimpunan BERSIH, khususnya perhimpunan BERSIH 2.0 yang menjadi titik tolak penting untuk kebangkitan rakyat dalam perjuangan menuntut demokrasi dan keadilan sosial.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *