Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

==========

oleh Dr. Jeyakumar Devaraj

Negara-negara kaya telah menempah dos vaksin COVID-19 yang jauh lebih banyak daripada yang diperlukan untuk penduduk mereka – 5 kali ganda bagi Kanada, 2 kali ganda bagi Amerika Syarikat (AS), 3.6 kali bagi UK dan 2.7 kali ganda bagi Kesatuan Eropah. Sementara itu, 85 buah negara yang termiskin di dunia tidak dapat mengakses vaksin COVID-19.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah melancarkan inisiatif COVAX yang mensasarkan untuk menyampaikan 2 bilion dos vaksin dalam tahun 2021. Namun, COVAX masih belum menerima sebahagian besar sumbangan yang dijanjikan oleh negara-negara yang lebih kaya, dan hanya dapat mengagihkan 70 juta dos Vaksin COVID-19 setakat 27 Mei 2021 (3.5% daripada jumlah yang disasarkan). Aktivis-aktivis kesihatan dan hak asasi manusia telah mengkritik ketidakseimbangan dalam akses kepada vaksin ini dengan mengatakannya sebagai “Apartheid Vaksin”.

Ketidakseimbangan yang hebat dalam pengagihan satu sumber yang serba kekurangan ini adalah disebabkan utamanya oleh wang. Negara-negara terkaya di dunia menyumbangkan berjuta-juta dolar kepada syarikat-syarikat farmaseutikal yang berlainan untuk membangunkan vaksin COVID-19 dengan anggapan (yang diwujudkan dalam bentuk kontrak terikat) bahawa negara-negara ini akan mendapat keutamaan untuk membeli “X” juta dos vaksin tersebut jika ia dipasarkan. Negara-negara berpendapatan menengah seperti Malaysia tidak membuat kontrak ke hadapan sebegini kerana wujudnya risiko kewangan – jika vaksin tidak berkesan atau ia mempunyai terlalu banyak kesan sampingan, wang yang dilaburkan itu akan dihapus kira. Itu ialah sebahagian daripada perjanjian itu. Jadi, negara-negara berpendapatan menengah seperti Malaysia memilih untuk tunggu dan lihat sama ada vaksin-vaksin itu sesuai untuk kegunaan seluruh negara atau tidak sebelum membuat tempahan. Oleh itu, negara kita berada dalam peringkat kedua dalam kalangan pembeli, bersaing dengan sumber yang terhad dengan negara-negara berpendapatan menengah lain yang mengambil strategi yang lebih kurang sama.

Ini juga sebabnya kenapa PSM secara tegasnya membantah fragmentasi program vaksinasi COVID-19 di negara kita yang didukung oleh beberapa orang pemimpin politik. Jika kita membenarkan negeri-negeri yang lebih kaya untuk memperoleh vaksin secara sendiri, bagaimana pula dengan negeri-negeri yang lebih miskin dalam Persekutuan Malaysia? Adakah nyawa rakyat di negeri-negeri lebih miskin itu kurang bernilai berbanding dengan penduduk-penduduk di Selangor, Pulau Pinang dan Sarawak? Dan jika kita membenarkan kilang-kilang besar untuk memperoleh vaksin bagi kakitangan-kakitangan mereka, bagaimana pula dengan mereka yang bekerja dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pekerja-pekerja yang menerima upah harian dan juga pekebun-pekebun kecil? Adakah perlindungan untuk mereka ini bukan keutamaan? Bukankah ini sama dengan apartheid vaksin yang kita kritikal terhadapnya itu apabila ia diamalkan oleh negara-negara kaya? Pendirian PSM sentiasa ialah kita harus menangani pandemik ini berasaskan solidariti. Kita jaga kita!

Jika kita membenarkan fragmentasi program vaksinasi, ia akan membawa kepada peningkatan harga vaksin kerana negeri-negeri yang berlainan dan pihak-pihak lain akan membuat tawaran dengan harga lebih tinggi untuk memperoleh sumber yang serba kekurangan ini (dan mungkin juga untuk tujuan menaikkan nama secara politik). Saya teringat Andrew Cuomo, Gabenor Negeri New York yang mengeluh (dalam perbualannya dengan orang awam dalam televisyen) mengenai bagaimana harga kelengkapan perlindungan diri (PPE) dan alat pernafasan meningkat dengan hebat kerana sifat fragmentasi untuk pemerolehan di AS pada ketika itu.

PSM menyokong sepenuhnya penglibatan hospital-hospital swasta dan doktor-doktor pengamal am di sektor swasta dalam pelaksanaan program vaksinasi kebangsaan, tetapi ia harus melalui satu program bersepadu kebangsaan yang diselaraskan oleh Kementerian Kesihatan, berdasarkan keperluan (kerentanan terhadap jangkitan) dan bukannya kapasiti untuk membayar. Tidak harusnya berkompromi dalam prinsip ini. Vaksin COVID-19 harus diberikan secara percuma kepada rakyat berdasarkan profil risiko mereka.

Untuk memudahkan kerjasama seluruh masyarakat dalam usaha melawan COVID-19, adalah berguna jika kerajaan dapat memperjelaskan beberapa isu yang belum dijelaskan lagi mengenai pemerolehan vaksin yang boleh menjejaskan kredibiliti kerajaan. Salah satu isu telah dibawa oleh Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman. Beliau mencelah Menteri Kewangan dengan bertanyakan siapa yang akan mendapat komisen sebanyak RM500 juta untuk pembelian vaksin COVID-19. Terdapat satu video tersebar yang menunjukkan Menteri Kewangan kelihatan bingung dan tidak tahu bagaimana merespon kepada “serangan pihak sendiri” (friendly fire) ini.

Dengan adanya sebilangan besar warga Malaysia yang masih berasa syak wasangka bahawa wujudnya sesuatu yang tidak betul dalam pemerolehan vaksin, Kerajaan harus memberi penjelasan. Kami difahamkan daripada kenyataan Khairy Jamaluddin selaku Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi bahawa syarikat-syarikat farmaseutikal yang utama telah menekan pada klausa-klausa yang tidak mendedahkan kandungan perjanjian kontrak pembelian vaksin, dan oleh sebab keadaan pembekalan yang ketat, negara-negara seperti Malaysia tidak berada dalam posisi yang kuat untuk menolaknya. Namun, tiada apa-apa yang boleh menghalang kerajaan daripada menubuhkan sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada individu-individu yang ternama untuk bertindak sebagai sebuah badan pemantauan dalam pembelian vaksin COVID-19. Jawatankuasa yang mengangkat sumpah kerahsiaan ini boleh merangkumi beberapa orang Ahli Parlimen Pembangkang, seorang bekas Presiden Majlis Peguam Negara, seorang Pesuruhjaya SUHAKAM dan seorang hakim bersara, dan mereka harus diberi mandat untuk bertanyakan dan menyemak semua dokumen yang perlu. Mereka juga harus diberikan satu sekretariat yang khusus. Ini akan membenarkan proses semak-dan-imbang yang efektif sementara mematuhi syarat-syarat dalam perjanjian kerajaan dengan syarikat farmaseutikal besar.

Satu lagi isu yang patut disemak oleh jawatankuasa pemantauan ini ialah dakwaan bahawa Pharmaniaga silap menangani sejumlah besar bahan vaksin Sinovac yang menyebabkan kerugian sebanyak puluhan juta ringgit. Ini merupakan satu tuduhan yang serius dan harus diberi perhatian oleh jawatankuasa sebegini. Pharmaniaga “mewarisi” kakitangan dan kapasiti teknikal daripada sayap pemerolehan perubatan Kementerian Kesihatan sebelum fungsi itu diswastakan kepada Remedi Pharmaceuticals pada tahun 1993. Remedi Pharmaceuticals kemudiannya berubah menjadi Pharmaniaga yang membotolkan vaksin-vaksin yang digunakan oleh Kementerian Kesihatan sepanjang 20 tahun kebelakangan ini, maka mereka seharusnya mempunyai kepakaran yang tinggi dalam melakukan perkara ini. Namun, adalah berkemungkinan Pharmaniaga cuai dalam tugasan dengan vaksin Sinovac ini. Jawatankuasa pemantauan harus menyemak isu ini.

Jelasnya, jawatankuasa pemantauan perlu mematuhi syarat-syarat yang tidak mendedahkan kandungan kontrak antara Kerajaan Malaysia dengan syarikat farmaseutikal yang membekalkan vaksin. Namun, ini tidak seharusnya menjadi penghalang kepada memberi ringkasan mengenai hasil penemuannya kepada orang awam. Sekiranya jawatankuasa ini mendapati wujudnya penyelewengan yang serius, maka ia harus dipanjangkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan yang wajar.

Satu lagi inisiatif yang harus diambil oleh Kerajaan untuk menangani persoalan dan kerisauan yang sah daripada rakyat mengenai vaksin, adalah menganjurkan siri sesi pertemuan town hall secara atas talian, dengan memfokuskan pada topik-topik seperti bagaimana Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) memutuskan vaksin yang mana satu sesuai untuk Malaysia, kesukaran yang dihadapi oleh negara-negara berpendapatan menengah seperti negara kita dalam memperoleh vaksin, langkah-langkah yang telah diambil untuk melibatkan sektor swasta dalam penyampaian vaksin kepada orang awam, strategi kerajaan untuk mengurangkan keraguan dalam mendapatkan suntikan vaksin, dan isu-isu lain yang berkaitan dengan usaha vaksinasi. Kita mempunyai seorang Menteri yang pintar dan pandai bercakap bertanggungjawab dalam pemerolehan vaksin – beliau pasti akan dapat mengendalikan sesi town hall sebegini. Jawapan-jawapan kepada soalan-soalan yang ditanya oleh peserta boleh dimuat naik ke dalam laman web supaya lebih ramai orang akan dapat memahami proses ini dengan lebih baik.

Kita sedang berada dalam satu situasi yang sukar. Nyawa sudah hilang dan punca rezeki telah dimusnahkan. Kita sedang berperang dengan virus dan sekarang ini kita sedang menjadi mangsanya! Kita perlukan pendekatan yang melibatkan seluruh masyarakat untuk mengharungi tempoh masa yang mencabar ini. Kerajaan harus memainkan tanggungjawabnya untuk menghilangkan keraguan yang sedang timbul. Pada masa yang sama, masyarakat umum juga harus lebih berwaspada untuk membezakan fakta dengan cereka. Marilah kita berusaha secara bersama untuk memastikan setiap orang melalui krisis ini dengan selamatnya.

==========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM). Beliau merupakan mantan Ahli Parlimen Kawasan Sungai Siput.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *