Dari pengusiran paksa terhadap penduduk Palestin di Baitulmuqaddis Timur sehingga serangan udara ke atas Gaza, Kerajaan Israel mengganas lagi terhadap rakyat Palestin baru-baru ini dan menjadikan konflik Palestin-Israel memuncak ke tahap yang paling serius sejak Perang Gaza 2014.
Pergolakan terbaru tercetus apabila Kerajaan Israel hendak mengusir keluarga Palestin yang tinggal di kawasan kejiranan Sheikh Jarrah yang terletak di Baitulmuqaddis Timur. Kawasan kejiranan yang dikatakan dibeli oleh amanah Yahudi daripada pemilik tanah Arab pada tahun 1870-an itu, telah diduduki oleh Jordan berikutan Perang Arab-Israel 1948. Kerajaan Jordan membangunkan di situ petempatan untuk pelarian Palestin yang kehilangan kampung halaman mereka ketika Nakba. Namun, kawasan tersebut ditawan oleh Kerajaan Israel semasa Perang Enam Hari pada tahun 1967. Di bawah undang-undang tanah dan harta Israel yang bersifat rasis, penduduk Yahudi Israel diberikan hak untuk menuntut harta mereka di Baitulmuqaddis Timur yang dimiliki masyarakat Yahudi sebelum Perang Arab-Israel 1948, tetapi tiadanya apa-apa peruntukan undang-undang untuk membenarkan warga Palestin yang juga kehilangan harta mereka menuntut semula hak mereka di kawasan yang diduduki oleh Israel. Undang-undang negara yang bersifat rasis sebegitu telah digunakan oleh golongan Zionis untuk merampas tanah yang diduduki oleh warga Palestin.
Pertembungan antara warga Palestin dengan peneroka Israel mula tercetus di Sheikh Jarrah pada 6 Mei 2021. Golongan pelampau kanan Israel melancarkan serangan terhadap warga Palestin yang cuba mempertahankan keluarga yang bakal diusir secara paksa. Pasukan polis Israel mencampurtangan, bukannya untuk meredakan keadaan, sebaliknya menyerang warga Palestin yang tidak bersenjata. Warga Palestin merespon terhadap serangan Israel dengan penentangan yang berani. Puluhan ribu orang warga Palestin bangkit melawan pengusiran paksa terhadap keluarga Palestin di Sheikh Jarrah. Petembungan kemudiannya merebak ke Masjid Al-Aqsa, di mana pihak berkuasa Israel menggunakan gas pemedih mata dan peluru getah untuk menyerang warga Palestin di situ.
Pasukan bersenjata Israel menyerbu Masjid Al-Aqsa pada 7 dan 9 Mei 2021 dengan menggunakan kekerasan yang hebat, sehingga mencederakan ratusan orang di situ. Penyerbuan pada 9 Mei 2021 berlaku sejurus sebelum perarakan sambutan “Hari Jerusalem” yang dianjurkan oleh golongan nasionalis pelampau kanan Israel di Kota Lama Baitulmuqaddis. Sambutan “Hari Jerusalem” itu bertujuan untuk meraikan penguasaan Kerajaan Israel terhadap Kota Lama Baitulmuqaddis selepas Perang Enam Hari pada tahun 1967, satu detik sejarah yang perit bagi warga Palestin. Demonstrasi menentang kezaliman Israel tercetus di bandar-bandar di dalam Israel dan Tebing Barat, termasuk Tel Aviv, Nablus, Bethlehem dan Ramallah. Pasukan keselamatan Israel di Tebung Barat menggunakan kekerasan yang hebat untuk mematahkan protes jalanan.
Pengusiran terhadap penduduk Palestin di Sheikh Jarrah telah ditangguhkan selama 30 hari selepas satu keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Agung Israel pada 10 Mei 2021, tetapi penangguhan pengusiran tersebut sudah tidak dapat lagi membendung keadaan konflik daripada menjadi lebih teruk.
Berikutan serangan terhadap Masjid Al-Aqsa, kumpulan militan Hamas telah mengemukakan tuntutan kepada Kerajaan Israel untuk mengundurkan pasukan bersenjatanya dari Masjid Al-Aqsa pada waktu petang 10 Mei 2021. Sejurus selepas tamat tempoh yang diberikan kepada Kerajaan Israel, Hamas mula melancarkan serangan roket dari Gaza ke Tel Aviv. Kerajaan Israel pula bertindak balas dengan melancarkan serangan udara terhadap Gaza. Serangan udara oleh Israel terhadap Gaza telah membunuh seramai 35 orang setakat 12 Mei 2021.
Tor Wennesland, Penyelaras Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Proses Damai Timur Tengah, telah menyeru untuk menghentikan serangan dan memberi amaran bahawa situasi sedang bertambah buruk menuju peperangan berskala penuh. “Pemimpin-pemimpin di semua pihak harus mengambil tanggungjawab untuk meredakan keadaan. Kos untuk perang di Gaza adalah amat dahsyat dan sedang ditanggung oleh rakyat biasa. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sedang bekerjasama dengan semua pihak untuk memulihkan ketenangan. Hentikan keganasan sekarang.” Namun, kemungkinan besar seruan daripada pegawai PBB ini tidak dipeduli langsung oleh Kerajaan Israel yang tidak pernah memandang serius terhadap pengorbanan nyawa, sama ada warga Palestin atau Israel, selama ini.
Pergolakan Palestin-Israel yang meruncingkan ini berkaitan rapat dengan sejarah pendudukan ketenteraan Israel yang sudah lebih setengah abad di tanah Palestin dan cengkaman yang semakin hebat terhadap kehidupan warga Palestin, khususnya di Tebing Barat. Dengan beberapa peristiwa yang berlaku pada masa hampir sama baru-baru ini, telah membarakan lagi kemarahan rakyat Palestin sehingga tercetusnya penentangan yang terbaru.
Kerajaan Israel ialah sebuah kerajaan rasis yang disokong oleh kuasa imperialis Amerika Syarikat (AS). Semasa Donald Trump menjadi Presiden AS, sokongan Kerajaan AS kepada Israel semakin kuat lagi, dengan tindakan seperti mengiktiraf Baitulmuqaddis (Jerusalem) sebagai ibu negara Israel dan mengemukakan pelan pendamaian yang merampas hak rakyat Palestin dengan lebih lanjut lagi. Pilihanraya umum Israel yang diadakan pada 23 Mac 2021, telah memberi kekuatan kepada golongan pelampau kanan Israel apabila sebuah parti ultra-nasionalis Yahudi, Otzma Yehudit, menang kerusi dalam Parlimen Israel. Otzma Yehudit merupakan kumpulan pelampau kanan yang menyerang warga Palestin yang cuba mempertahankan keluarga Sheikh Jarrah daripada pengusiran baru-baru ini. Golongan pelampau kanan Israel juga bersorak apabila pasukan bersenjata Israel menyerang Masjid Al-Aqsa.
Rakyat Palestin juga tidak berpuas hati dengan keputusan Mahmoud Abbas, Presiden Pihak Berkuasa Palestin, yang menangguhkan lagi pilihanraya Majlis Perundangan Palestin baru-baru ini. Pilihanraya badan perundangan Palestin yang terakhir sebelum ini ialah pada tahun 2006, sudah 15 tahun yang lalu. Ramai orang berpandangan bahawa Mahmoud Abbas menangguhkan pilihanraya kerana takut kekalahan partinya, Fatah, yang semakin tidak popular dalam kalangan rakyat Palestin kerana gagal memperjuangkan harapan rakyat Palestin untuk sebuah negara yang merdeka.
Kebanyakan kerajaan dan pemimpin politik di seluruh dunia sering menyeru kepada kedua-dua pihak Palestin dan Israel untuk menghentikan konfrontasi dan meredakan keadaan, seolah-olah “kedua-dua pihak” mempunyai tanggungjawab yang sama dalam menimbulkan konflik di Timur Tengah. Namun, seruan untuk pendamaian sebegini biasanya tidak berhasil kerana “dua pihak” yang berkonflik itu bukannya dua kuasa yang setara. Satu pihak ialah sebuah negara rasis yang mendapat sokongan kuat daripada kuasa imperialis terbesar di dunia, sementara satu lagi pihak ialah rakyat Palestin yang telah ditindas sejak pembentukan negara Israel.
Israel ialah punca utama kepada keganasan dan konflik ini. Serangan dan pendudukan ketenteraan di bumi Palestin selama berpuluh-puluh tahun kebelakangan ini, oleh sebuah tentera yang paling kuat dan berkelengkapan paling canggih di Timur Tengah, serta disokong oleh kuasa imperialis AS, telah menjejaskan setiap aspek kehidupan rakyat Palestin. Warga Palestin yang tinggal di Baitulmuqaddis Timur dan Tebing Barat, tidak boleh bergerak dari satu tempat ke tempat lain tanpa melalui sekatan jalan yang didirikan oleh Tentera Israel. Penduduk-penduduk di kampung-kampung dan kejiranan-kejiranan di Baitulmuqaddis Timur dan Tebing Barat semakin hari semakin diancam oleh pencerobohan dan serangan oleh “peneroka” Israel yang mendapat perlindungan daripada Tentera Israel. Warga Palestin di Gaza pula hidup dalam keadaan dikepung seperti penjara, di mana mereka boleh ditembak dan dibunuh oleh Tentera Israel sekiranya mendekati pagar sempadan yang mengurung mereka. Oleh itu, rakyat Palestin mempunyai sebab yang kukuh yang melawan balik keganasan negara Israel yang rasis itu, sama ada dengan cara demonstrasi aman ataupun serangan roket.
Penentangan rakyat Palestin terhadap keganasan negara Israel merupakan cabaran terhadap seluruh sistem imperialisme yang mendukung negara rasis seperti Israel ataupun pemerintahan kediktatoran di Timur Tengah seperti Arab Saudi. Oleh yang demikian, sesiapa yang menentang rasisme dan perang, harus bersolidariti dengan perjuangan rakyat Palestin.
2 thoughts on “Israel mengganas lagi terhadap rakyat Palestin”