Rakyat Palestin menyuarakan bantahan mereka terhadap pelan pendamaian konflik Palestin-Israel yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump baru-baru ini. Demonstrasi jalanan tercetus di Tebing Barat dan Gaza, dengan rakyat Palestin daripada aliran politik yang berbeza telah berprotes menentang cadangan perjanjian yang amat berat sebelah kepada Israel dan dibuat tanpa perwakilan Palestin ini. Protes turut tercetus di Jordan.
Trump mengumumkan rancangannya untuk penyelesaian konflik Palestin-Israel, yang digelarnya sebagai “Perjanjian Abad Ini” (Deal of the Centrury) pada 28 Januari 2020. Pelan pendamaian yang dicadangkan oleh Trump ini bukan sahaja tidak mengemukakan apa-apa yang baru untuk menyelesaikan konflik yang berlarutan lama di Timur Tengah, malah hanya menghidupkan semula sistem politik perkauman dan apartheid yang sepatutnya dibuang ke dalam tong sampah sejarah. Jika bukannya “Gurauan Terbesar Abad ini”, pelan pendamaian yang dikemukakan oleh Trump ini pastinya “Penipuan Terbesar Abad Ini”.
Mahmoud Abbas, Presiden Palestin, berkata selepas satu mesyuarat tergempar Pihak Berkuasa Palestin pada 29 Januari 2020, “Baitulmuqaddis (Jerusalem) bukan untuk dijual. Semua hak rakyat Palestin bukan untuk dijual dan bukan untuk tawar-menawar.” Mahmoud Abbas menyifatkan rancangan Trump itu sebagai “konspirasi”.
“Perjanjian Abad Ini” diumumkan oleh Trump pada 28 Januari 2020 di Rumah Putih, bangunan kediaman dan pejabat rasmi Presiden AS, dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berdiri di sisinya. Trump mengatakan bahawa perjanjian ini merupakan “penyelesaian menang-menang”, namun nampaknya hanya “menang-menang” untuk AS dan Israel, bukannya rakyat Palestin.
Di bawah pelan yang diumumkan oleh Trump, rakyat Palestin akan diberi autonomi yang terhad di dalam tanahair Palestin yang terdiri daripada beberapa enklaf (kawasan yang dikelilingi sepenuhnya oleh kawasan negara lain) yang disambung dengan lebuhraya atau terowong yang terselerak di Tebing Barat dan Gaza. “Negara” untuk rakyat Palestin dikatakan akan mempunyai saiz yang lebih besar berbanding di bawah Pihak Berkuasa Palestin sekarang ini, dengan syarat Palestin perlu mengiktiraf penguasaan Israel terhadap semua penempatan haram yang telah didirikan di Tebing Barat dan Jerusalem Timur. Kerajaan Israel akan mengekalkan kawalan keselamatan terhadap enklaf Palestin dan masih meneruskan kawalan terhadap sempadan, ruang udara, akuifer, perairan maritim dan spektrum elektromagnetik Palestin. Israel juga dibenarkan untuk mengilhakkan Lembah Jordan dan penempatan Yahudi di Tebing Barat. Rakyat Palestin dibenarkan untuk memilih pemimpin mereka di tanahair baru mereka, tetapi tiada hak politik di Israel, negara yang sebenarnya memerintah mereka. Rancangan kawalan dan pemisahan masyarakat sebegini pernah diamalkan oleh pemerintahan apartheid di Afrika Selatan. Oleh itu, “Perjanjian Abad Ini” yang dibawa Trump hanyalah menghidupkan kembali apartheid abad yang lalu.
Pengumuman pelan “pendamaian” yang sebenarnya rancangan apartheid ini telah ditangguhkan untuk beberapa bulan kerana pilihanraya di Israel. Namun, aspek ekonomi rancangan ini telah pun diumumkan pada bulan Jun 2019, di mana USD 50 bilion akan dilaburkan untuk “membantu” Palestin sekiranya “Perjanjian Abad Ini” diluluskan.
Untuk beberapa dekad yang lalu, rakyat Palestin telah menuntut penubuhan sebuah negara Palestin yang berasaskan sempadan sebelum tahun 1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya, dan hak untuk semua pelarian Palestin sejak Nakba tahun 1948 untuk pulang ke tanahair asal mereka. Pihak Palestin dan Israel pernah menandatangani perjanjian damai pada tahun 1994-95 yang mewujudkan kemungkinan untuk pendamaian yang berjangka pendek. Namun, sejak tahun 1994, kerajaan Israel telah mengambil pendekatan yang lebih agresif dalam mendirikan penempatan haram di mana mereka mendapat sokongan daripada Kerajaan AS.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Kerajaan AS telah beralih daripada komitmennya untuk membantu dalam mewujudkan negara Palestin berasaskan sempadan tahun 1967. Kerajaan AS pimpinan Trump telah mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu negara Israel pada tahun 2017. Kerajaan AS juga berhenti menyumbangkan bantuan kewangan kepada badan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang bekerja untuk pelarian Palestin. Pada bulan November 2019, Kerajaan pimpinan Trump mengubah pendirian AS terhadap penempatan Israel di Tebing Barat dan Jerusalem Timur, dengan mengiktiraf penempatan haram di situ sebagai kawasan Israel.
Mengikut resolusi PBB dan undang-undang antarabangsa, penguasaan Israel terhadap wilayah yang diduduki dan penempatan Yahudi di dalamnya adalah haram. Resolusi-resolusi PBB sejak tahun 1948, khususnya Resolusi Majlis Keselamatan PBB 242 yang diluluskan pada tahun 1967 selepas Perang Enam Hari, telah menggesa Israel untuk mengosongkan semua tanah yang didudukinya semasa perang. Resolusi Perhimpunan Agung PBB 194 yang diluluskan pada 11 Disember 1948, menyatakan hak untuk semua pelarian Palestin semasa Nakba 1948 untuk pulang ke kampung halaman mereka. Menurut Konvensyen Geneva yang Keempat, semua penempatan Israel di kawasan yang didudukinya secara ketenteraan dan “halangan keselamatan” atau dinding apartheid yang didirikan oleh Israel di seluruh wilyah yang didudukinya di Tebing Barat dan Jerusalem Timur juga adalah haram.
“Perjanjian Abad Ini” yang dicadangkan oleh Trump cuba menghalalkan pendudukan Israel dan semua kekejaman yang dilakukan oleh negara Israel terhadap rakyat Palestin. Kerajaan pimpinan Trump tidak pernah membincangkan apa-apa dengan wakil Palestin sebelum menyediakan “Perjanjian Abad Ini”. “Perjanjian Abad Ini” boleh disamakan dengan Deklarasi Balfour tahun 1917 di mana Kerajaan British menjanjikan tanah di bawah penguasaan Empayar Uthmaniyyah kepada kumpulan Zionis untuk mendapatkan sokongan kewangan daripada mereka bagi meneruskan perang.
“Perjanjian Abad Ini” menunjukkan keangkuhan imperialis AS dalam mengendalikan proses penyelesaian konflik di Timur Tengah. Kerajaan AS pimpinan Trump langsung tidak peduli pada pandangan rakyat Palestin dalam merangka apa-apa rancangan untuk rantau Timur Tengah. “Perjanjian Abad Ini” diumumkan pada ketika kedua-dua pemimpin tertinggi di AS dan Israel, Donald Trump dan Benjamin Netanyahu yang berdiri bersama-sama semasa pengumumannya, menghadapi cabaran politik di dalam negara masing-masing. Netanyahu telah didakwa secara rasmi di mahkamah Israel pada 28 Januari 2020, hari yang sama dengan pengumuman “Perjanjian Abad Ini”, atas pertuduhan rasuah dan pecah amanah. Netanyahu dan Parti Likud yang dipimpinnya kemungkinan besar tidak akan kembali berkuasa selepas pilihanraya awal Israel yang akan diadakan pada 2 Mac 2020. Namun, pembangkang utama di Israel yang zionis juga menyokong “Perjanjian Abad Ini”. Oleh itu, “Perjanjian Abad Ini” merupakan peluang untuk Netanyahu meninggalkan warisan zionisnya sebelum hilang kuasa. Sementara untuk Trump, dengan Pilihanraya Presiden AS akan berlangsung pada bulan November 2020, dan perbicaraan untuk melucutkan jawatannya di Senat yang boleh merosakkan usahanya untuk menang kali kedua, maka sebarang pengalihan tumpuan umum dari masalah domestik AS kepada isu konflik di peringkat antarabangsa boleh menguntungkan Trump.
“Perjanjian Abad Ini” bukan sahaja tidak akan membawa kedamaian dan keadilan kepada rakyat di Timur Tengah, sebaliknya hanya menghidupkan kembali sistem politik apartheid yang meneruskan rejim Zionis yang berasaskan penindasan kaum, dan merupakan sesuatu yang boleh dianggap sebagai jenayah menentang kemanusiaan di bawah Statut Rom. “Perjanjian Abad Ini” tidak harus dilaksanakan. Rakyat Palestin pasti akan terus berjuang untuk menuntut keadilan.
2 thoughts on “Rakyat Palestin tolak “Perjanjian Abad Ini” yang hidup semula apartheid”