Selepas lebih 10 bulan tercetusnya gelombang protes besar-besaran melawan keganasan polis dan rasisme di Amerika Syarikat (AS) berikutan pembunuhan George George Floyd di Minneapolis, berlakunya satu lagi kejadian warga Amerika Afrika dibunuh oleh pegawai polis di negeri Minnesota di mana Floyd dibunuh, dan mencetuskan protes terbaru yang merebak ke tempat lain di AS.
Daunte Wright, seorang warga Amerika Afrika berumur 20 tahun yang tidak bersenjata, telah ditembak mati oleh seorang pegawai polis, Kim Potter, pada 11 April 2021, di bandar Brooklyn Center, Minnesota. Wright yang memandu kereta diberhentikan di jalanraya oleh polis pada masa itu, dan berlakunya pertengkaran. Pegawai polis mengugut untuk menggunakan senjata renjat (taser) terhadapnya tetapi menembaknya dengan peluru hidup. Kejadian pembunuhan Wright itu berlaku tidak jauh (hanya lebih kurang 16 km) dari bangunan mahkamah di mana Derek Chauvin, pegawai polis yang membunuh George Floyd itu, dibicarakan.
Selepas kejadian penembakan polis itu, demonstrasi mula diadakan di Brooklyn Center untuk menuntut keadilan bagi Daunte Wright. Aksi protes jalanan yang pada awalnya agak aman itu dilayan dengan tembakan gas pemedih mata oleh pihak polis yang hendak menyuraikan demonstran. Gabenor Minnesota, Tim Walz, mengisytihar perintah kurung di beberapa buah daerah, tetapi tidak diendahkan oleh ratusan demonstran, dengan ada orang yang melontar botol, bata dan bunga api ke arah polis dan Pengawal Nasional yang dikerahkan ke situ.
Aksi protes berikutan kematian Wright, merebak ke bandar yang berdekatan di negeri Minnesota, seperti Minneapolis dan St. Paul. Darurat dan perintah kurung turut diisytihar di bandar-bandar tersebut. Bandar-bandar lain di luar negeri Minneapolis, seperti Los Angeles, New York, Philadelphia, Oakland, Chicago, Louisville, Seattle, Washington DC dan sebagainya, juga adanya aksi protes yang menuntut kebertanggungjawaban polis terhadap kematian orang awam dalam tangan mereka.
Kim Potter, pegawai polis yang menembak mati Wright, dan Tim Gannon, Ketua Polis Brooklyn Center, meletak jawatan mereka pada 13 April 2021, dua hari selepas berlakunya kes penembakan mati Wright. Biro Penangkapan Jenayah (BCA) Minnesota akan meneruskan penyiasatannya terhadap kematian Wright. Sebelum itu, Gannon mengatakan dalam satu sidang akhbar pada 12 April 2021 bahawa Potter melepaskan tembakan secara “tidak sengaja”, tetapi alasan tersebut tidak dapat diterima oleh keluarga Wright. Aubrey Wright, bapa kepada si mati, berkata bahawa dia tidak boleh menerima kematian Daunte Wright itu satu “kesilapan” semata-mata, kerana pegawai polis yang melakukan “kesilapan” itu mempunyai pengalaman 26 tahun dalam pasukan polis.
Negara AS telah dilanda gelombang protes Black Lives Matter, sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan memuncak pada tahun 2020, dengan demonstran yang beraksi di jalanan mengetengahkan isu rasisme secara sistemik terhadap warga berkulit hitam di AS dalam bentuk keganasan polis. Gelombang protes ini mencerminkan bahawa masalah ketidakadilan sosial dan keganasan pihak berkuasa bersenjata yang sudah lama berlarutan di AS masih belum diselesaikan sehingga kini walaupun pelbagai usaha telah diambil. Protes sebegini akan berterusan sekiranya kejadian keganasan polis masih berlaku dan tiadanya pembaharuan yang sebenar terhadap seluruh sistem kepolisan di negara AS.