IPOH, PERAK – 15 APRIL 2021: Wakil daripada Jawatankuasa Perumahan Sungai Siput menyerahkan surat kepada Pejabat Menteri Besar Negeri Perak pada hari ini, untuk membawa kepada perhatian Kerajaan Negeri Perak mengenai isu projek perumahan bagi penduduk B40 di Sungai Siput. Turut hadir Bersama dengan wakil penduduk Sungai Siput semasa penyerahan surat tersebut ialah Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang juga merupakan mantan Ahli Parlimen Kawasan Sungai Siput.

Jawatankuasa Perumahan Sungai Siput telah meminta pada pihak Menteri Besar untuk menetapkan satu tarikh temujanji supaya berjumpa untuk membincangkan masalah perumahan yang dihadapi oleh golongan B40 di Sungai Siput dan mendapatkan penyelesaian.

Pada tahun 2016, 200 buah keluarga di Sungai Siput telah mengemukakan permohonan untuk pelaksanaan Projek Perumahan Rakyat B40 kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP).

Namun sehingga hari ini, Kerajaan Negeri Perak belum memutuskan untuk melaksanakan apa-apa skim perumahan bagi penduduk B40 di Sungai Siput kerana Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Kangsar  memaklumkan kepada LPHP bahawa tiada tanah kerajaan yang sesuai untuk Program Perumahan Rakyat (PPR).

“Ini amat menghairankan kerana ada puluhan ekar tanah kerajaan di kawasan Sungai Siput, seperti di Batu 1, Jalan Lintang. Sebahagian tanah ini telah diperuntukkan untuk skim perumahan bagi 33 orang bekas pekerja ladang dan penduduk Ladang Dovenby. Namun, masih ada sebahagian tanah kerajaan yang boleh diguna untuk skim PPR,” kata Dr. Jeyakumar berkenaan dengan tanah yang sesuai untuk pembinaan rumah PPR bagi golongan B40 di Sungai Siput.

Baru-baru ini, PSM Sungai Siput bersama-sama dengan penduduk-penduduk Sungai Siput telah membawa perkara ini kepada perhatian Pegawai Daerah Kuala Kangsar melalui surat-surat yang dihantar pada 4 Januari 2021 dan 1 Mac 2021, tetapi pihak Pegawai Daerah tidak memberi sebarang maklumbalas. Kemudiannya pada 11 Mac 2021, penduduk-penduduk Sungai Siput dan wakil PSM telah mengunjungi Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Kangsar tetapi masih tidak dapat berjumpa dengan Pegawai Daerah. Oleh itu, Jawatankuasa Perumahan Sungai Siput membawa isu ini kepada perhatian Pejabat Menteri Besar Negeri Perak untuk menuntut tindakan segera.

Penduduk-penduduk Sungai Siput tidak berpuas hati dengan Pejabat Daerah dan Tanah yang menjadi penghalang kepada usaha membangunkan projek pembinaan rumah PPR di kawasan Sungai Siput. Mereka berpendapat bahawa Pejabat Daerah dan Tanah nampaknya lebih berminat untuk meluluskan projek pemaju swasta yang membina rumah mewah sedangkan keperluan rakyat bawahan B40 diabaikan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *