Parti Sosialis Malaysia (PSM) amat kecewa bahawa tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) menjadi tajuk utama berita sekali lagi dengan kejadian kren gantri terjatuh pada 22 Mac 2021 yang meragut nyawa 3 orang pekerja pembinaan dan menyebabkan seorang pengguna jalanraya cedera parah. Peristiwa semalam merupakan kejadian kemalangan ketiga yang melibatkan tapak pembinaan Lebuhraya SUKE dalam tempoh 6 bulan yang lalu.

Geetha A., Penyelaras Biro Pekerja Parti Sosialis Malaysia (PSM), berkata dalam satu kenyataan yang dikeluarkannya, “Lebuhraya SUKE telah mengundang pelbagai kontroversi sejak ia mula beroperasi pada tahun 2016. Ia bukan sahaja memotong melalui kawasan hutan Bukit Sungai Putih, malah juga menimbulkan bantahan daripada ramai penghuni di kawasan perumahan yang dilaluinya. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ia menjadi semakin jelas bahawa pihak kontraktor yang bertanggungjawab terhadap pembinaan Lebuhraya SUKE (seperti Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd) begitu cuai dalam mengambil langkah-langkah keselamatan. Kontraktor utama dan subkontraktor hanya dikenakan denda dengan jumlah wang RM180,000 selepas kejadian sebuah kepingan konkrit terjatuh dan menghempap sebuah kereta pada tahun 2020 (nasib baik nyawa pemandu itu terselamat tetapi dia mengalami kecederaan pada lengan kirinya) yang juga berlaku di tapak pembinaan SUKE. PSM berpandangan bahawa denda yang dikenakan itu jelas adalah tidak cukup untuk mengelakkan kejadian sebegini daripada berlaku lagi.”

Oleh itu, PSM menggesa Kerajaan supaya membuat pertimbangan yang serius untuk menggantung atau memecat pihak berkenaan yang bertanggungjawab terhadap kematian ini dan lebih ketat lagi dalam mengawalselia syarikat-syarikat pembinaan. Denda yang dikenakan ke atas syarikat-syarikat pembinaan yang mengancam nyawa pekerja dan pengguna jalanraya juga perlu lebih tinggi jumlahnya di samping mengeluarkan arahan berhenti kerja pembinaan untuk menjalankan penyiasatan.

“Kami menggesa pihak berkuasa yang bertanggungjawab terhadap kematian dan kecederaan ini untuk memberi pampasan kepada keluarga mangsa dan membuat permohonan maaf secara terbuka atas kesalahan dan kecuaian mereka dalam memastikan keselamatan pekerja-pekerja dan pengguna-pengguna jalanraya,” kata Geetha.

PSM juga menyeru pada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan agar melaksanakan langkah-langkah keselamatan yang lebih ketat lagi untuk operasi pembinaan untuk memberi amaran kepada syarikat-syarikat pembinaan lain supaya jangan mengulangi perkara yang pernah berlaku. “Nyawa pekerja-pekerja pembinaan dan pengguna-pengguna jalanraya tidak harus dipandang ringan,” tegas Geetha.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *