Pada 18 hingga 24 April 1955, pemimpin kerajaan dari 29 buah negara yang baharu merdeka di Asia dan Afrika pada masa itu, telah berkumpul di bandar Bandung, Indonesia, dengan semangat yang begitu tinggi untuk membincangkan alternatif kepada dunia yang dihantui oleh Perang Dingin pada ketika itu. Isu-isu seperti kewujudan bersama secara aman, anti-imperialisme, dekolonisasi, dan pembangunan ekonomi negara yang baru merdeka ini secara berdikari, telah dibincangkan demi mencari jalan pembebasan yang sebenar untuk rakyat negara-negara Dunia Ketiga.

Semangat Bandung merupakan hasil usaha daripada Persidangan Asia-Afrika yang julung kali diadakan ini. Semangat Bandung melambangkan hasrat negara yang baharu merdeka daripada penjajahan pada masa itu, termasuklah:

  1. Kewujudan bersama antara negara-negara di dunia secara aman;
  2. Membebaskan diri daripada dominasi sebarang kuasa besar dunia, penjajahan dan imperialisme;
  3. Mewujudkan solidariti antara golongan yang lemah, yang miskin, yang dijajah, yang ditindas dan mangsa kepada sistem susunan dunia;
  4. Merealisasikan pembebasan rakyat bawahan.

Persidangan Bandung merupakan persidangan antarabangsa pertama yang tidak disertai oleh negara-negara negara Eropah dan juga kuasa penjajah. 23 buah negara Asia dan 6 buah negara Afrika yang menyertai Persidangan Bandung, semuanya pernah dijajah dan dizalimi oleh kuasa-kuasa imperialis. Dalam tempoh satu dekad selepas Perang Dunia Kedua, gerakan pembebasan nasional berkembang hebat di rantau Asia dan Afrika. Banyak negara Asia dan Timur Tengah mendapat semula kedaulatan mereka, manakala banyak lagi negara Afrika sedang menuntut kemerdekaan pada masa itu.

Negara baharu mahu menentukan nasib sendiri

Antara pemimpin politik yang menghadiri Persidangan Bandung 1955 ialah Zhou Enlai (Perdana Menteri Republik Rakyat China), Sukarno (Presiden Republik Indonesia), Josip Broz Tito (Presiden Republik Persekutuan Sosialis Yugoslavia), Gamal Abdel Nasser (Pengerusi Majlis Perintah Revolusi Mesir, yang kemudiannya menjadi Presiden ke-2 Mesir), Ho Chi Minh (Presiden Republik Demokratik Vietnam), Jawaharlal Nehru (Perdana Menteri India), U Nu (Perdana Menteri Burma), Kwame Nkrumah (Perdana Menteri Gold Coast, yang kemudiannya menjadi Presiden pertama Ghana yang merdeka) dan Ahmed Ben Bella (pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Algeria). Kesemua mereka ini merupakan pemimpin perjuangan pembebasan nasional yang disanjungi ramai di negara masing-masing.

Walaupun negara-negara yang mengambil bahagian dalam Persidangan Bandung amat berbeza antara sesama sendiri dari segi struktur penduduk, persekitaran geografi, latar belakang agama, budaya dan sejarah, begitu juga dengan bukan semuanya pemimpin yang hadir ke Persidangan Bandung itu berideologi haluan kiri, tetapi semua negara tersebut menolak penjajahan baharu yang hendak dipaksakan ke atas mereka oleh kedua-dua blok kuasa besar semasa Perang Dingin, iaitu blok imperialis barat yang diketuai oleh Amerika Syarikat dan Blok Timur yang diterajui oleh Kesatuan Soviet. Para pemimpin negara-negara yang baharu merdeka ini mengharapkan supaya solidariti antara negara-negara Dunia Ketiga dapat membebaskan diri mereka daripada kongkongan kuasa besar, dan menentukan nasib mereka sendiri tanpa campurtangan kuasa luar.

10 Prinsip Asas Bandung

Hasil perbincangan dalam Persidangan Bandung telah ditulis dalam satu dokumen yang dipanggil “Dasasila Bandung”, di mana 10 prinsip asas telah digariskan adalah seperti berikut:

  1. Menghormati hak-hak asasi manusia dan tujuan-tujuan serta asas-asas yang termaktub dalam piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
  2. Menghormati kedaulatan dan keutuhan kawasan semua negara bangsa.
  3. Mengakui kesamarataan semua suku bangsa dan persamaan semua bangsa, besar mahupun kecil.
  4. Tidak melakukan campurtangan atau intervensi dalam isu-isu dalaman negara yang lain.
  5. Menghormati hak setiap bangsa untuk mempertahankan diri sendiri secara bersendirian mahupun secara kolektif, yang bersesuaian dengan Piagam PBB.
  6. Tidak menggunakan peraturan-peraturan daripada pertahanan kolektif untuk bertindak bagi kepentingan khusus dari salah satu negara besar; mana-mana negara pun tidak boleh menekan negara yang lain.
  7. Tidak melakukan tindakan ataupun ancaman pencerobohan mahupun penggunaan kekerasan terhadap keutuhan wilayah atau kemerdekaan politik sesebuah negara.
  8. Menyelesaikan segala pertikaian antarabangsa secara damai, seperti perundingan, persetujuan, timbang tara, atau penyelesaian masalah hukum, ataupun lain-lain cara damai, menurut pilihan pihak-pihak yang bersangkutan, sesuai dengan Piagam PBB.
  9. Memajukan kepentingan bersama dan kerjasama antarabangsa.
  10. Menghormati hukum dan kewajipan antarabangsa.

Walaupun Dasasila Bandung tidak menyatakan tentangan terhadap sistem kapitalis global, tetapi jalan pembebasan yang diterokai oleh negara-negara yang baharu merdeka pada masa itu yang bebas daripada cengkaman hegemoni imperialis telah memberikan banyak inspirasi kepada perjuangan rakyat, dan mencabar kuasa-kuasa besar yang bersaing sesama sendiri dalam Perang Dingin.

(Dari kiri ke kanan) Jawaharlal Nehru, Kwame Nkrumah, Gamal Abdel Nasser, Sukarno dan Josip Broz Tito.

Pergerakan Negara-negara Berkecuali

Persidangan Bandung dan 10 prinsip yang lahir daripadanya telah menjadi asas kepada pembentukan Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM). NAM ditubuhkan pada tahun 1961 di Belgrade, Yugoslavia. Tito, Sukarno, Nehru, Nasser dan Nkrumah merupakan pemimpin negara yang giat menggerakkan usaha mewujudkan blok yang berkecuali daripada dua pihak yang bertembung dalam Perang Dingin.

Deklarasi yang dikeluarkan semasa Persidangan Ketua Negara NAM yang pertama telah menegaskan pendirian yang berasaskan Semangat Bandung, termasuklah menentang segala bentuk penjajahan dan imperialisme; menghapuskan ketidakseimbangan ekonomi; menyokong pelucutan senjata. NAM juga dengan jelasnya menyatakan sokongan kepada gerakan pembebasan nasional di negara-negara Dunia Ketiga seperti Algeria dan Angola.

Negara Malaysia hanya menyertai NAM pada tahun 1970. Namun, Semangat Bandung sudah pun semakin pudar pada masa itu. Persidangan NAM kemudiannya menjadi sekadar medan untuk pemimpin-pemimpin negara anggotanya beretorik kosong tetapi gagal membangunkan semula Semangat Bandung yang bersifat pembebasan.

Eksperimen Kiri yang digagalkan

Projek Bandung boleh dikatakan salah satu daripada tiga eksperimen yang utama untuk golongan kiri pada abad ke-20. Dua eksperimen yang lain ialah Revolusi Rusia 1917 (yang melahirkan Kesatuan Soviet dan memberi ilham kepada revolusi yang dipimpin oleh parti komunis di banyak negara, termasuklah Revolusi China, Revolusi Vietnam, Revolusi Kuba dan sebagainya), dan juga usaha pembentikan sistem negara kebajikan yang dibawa oleh parti-parti demokratik sosial di Eropah. Ketiga-tiga eksperimen ini telah melalui perkembangan yang penuh dengan liku-liku dan dugaan atas faktor-faktor yang rumit. Namun, nampaknya eksperimen Projek Bandung digagalkan dengan lebih cepat berbanding dengan yang lain.

Idea-idea murni yang dibawa dalam Persidangan Bandung tidak dapat diteruskan selepas itu, disebabkan beberapa faktor. Salah satu faktornya adalah tahap pembangunan ekonomi perindustrian dalam negeri yang sangat rendah untuk negara-negara yang baharu mencapai kemerdekaan pada masa itu. Mereka tiada kapasiti ekonomi yang cukup untuk membangunkan negara mereka. Banyak negara terpaksa meminjam wang daripada negara maju ataupun institusi kewangan antarabangsa yang dikuasai oleh negara maju, menjadikan mereka dijajah oleh hutang yang bertimbunan. Ada pula yang terpaksa membuka ekonomi negara mereka kepada pelaburan asing, dengan kesannya adalah menggadaikan hasil usaha mereka untuk berdikari secara ekonomi.

Satu lagi faktor adalah kuasa-kuasa imperialis yang menjadi dalang di sebalik penghalang kepada negara-negara Dunia Ketiga untuk menentukan nasib diri mereka sendiri. Sebelum Persidangan Bandung lagi, pada tahun 1953, Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) dan Perkhidmatan Perisikan Rahsia Britain (MI6) telah merancang untuk melakukan rampasan kuasa yang menggulingkan Perdana Menteri Iran Mohammad Mosaddegh, hanya kerana Mossadegh menasionalisasikan industri petroleum di negaranya sehingga menggugat kepentingan hegemoni kapitalis Barat.

Di Indonesia, CIA menyokong rampasan kuasa ketenteraan yang dipimpin oleh Suharto untuk menggulingkan kerajaan pimpinan Sukarno pada tahun 1965. Ramai orang dibunuh secara kejam, hanya kerana pihak berkuasa Indonesia yang bersubahat dengan CIA pada masa itu hendak menghancurkan ancaman terhadap kekuasaan imperialis Barat di rantau Asia Tenggara. Suharto yang menghancurkan Semangat Bandung dengan darah mangsa kezaliman kediktatoran tenteranya, telah menjadi Pengerusi NAM pada tahun 1992, satu ironi yang mencerminkan betapa jauhnya NAM telah menyimpang daripada Semangat Bandung yang asal.

Kerajaan Mesir juga semakin mengubah haluan politiknya ke arah kanan dan pro-imperialis, khususnya selepas kekalahannya dalam perang dengan Israel pada tahun 1967. Selepas Perjanjian Kem David pada tahun 1978, Mesir telah menjadi sekutu rapat kepada kekuasaan Amerika Syarikat.

Sementara itu, negara-negara lain yang memainkan peranan penting dalam Persidangan Bandung 1955, seperti Yugoslavia, telah berpecah-belah pada tahun 1990-an; Burma tersangkut di bawah pemerintahan kediktatoran tentera sejak tahun 1962; manakala negara China menghidupkan kembali sistem ekonomi kapitalis di dalam negaranya sejak penghujung tahun 1970-an.

Bandung 2.0?

Selepas lebih enam dekad berlangsungnya Persidangan Bandung, semua negara Asia dan Afrika sudahpun mencapai kemerdekaan politik. Pencerobohan dan penjajahan secara langsung dengan menggunakan ketenteraan telah hampir “pupus” (kecuali di negara-negara yang dibom oleh tentera Amerika Syarikat dan sekutunya atas nama memerangi keganasan). Perang Dingin juga telah berakhir untuk lebih tiga dekad, tetapi dunia kita tidak menjadi lebih damai, masyarakat sedunia juga tidak bertambah lebih adil. Kolonialisme atau penjajahan telah muncul dengan wajah baharu, menerusi globalisasi neo-liberal yang menjejaskan kehidupan rakyat biasa di seluruh dunia dengan penswastaan, liberalisasi ekonomi dan penghapusan kawalselia terhadap modal demi menjaga keuntungan golongan korporat besar. Rakyat bawahan di seluruh dunia terus menentang ketidakadilan sosial dan mencari alternatif untuk membebaskan diri daripada sistem kapitalis global.

Negara-negara Asia dan Afrika pada hari ini mempunyai syarat kebendaan dan kebolehan yang lebih sesuai untuk merealisasikan idea-idea murni yang dibawa dalam Persidangan Bandung 1955. Namun malangnya sekali, kebanyakan pemimpin negara NAM telah kehilangan keazaman untuk sebuah dunia yang berbeza selepas ditenggalamkan arus globalisasi neo-liberal untuk bertahun-tahun lamanya. Lebih-lebih lagi, Kerajaan Malaysia beria-ia hendak menandatangani Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA) beberapa tahun dahulu (sekarang dikenali sebagai CPTPP), yang merupakan satu perjanjian perdagangan bebas untuk memenuhi kerakusan korporat transnasional. Kebanyakan perjanjian perdagangan bebas yang wujud pada hari ini membuka ruang kepada penjajahan ekonomi yang baharu, amat jauh berbeza dengan agenda yang dibincangkan dalam Persidangan Bandung 1955.

Kejatuhan Blok Timur yang diketuai oleh Kesatuan Soviet telah membolehkan kapitalis global bertindak dengan lebih agresif lagi untuk menghakis sistem kebajikan sosial dan mengekploitasi peluh darah rakyat biasa demi menjana lebih keuntungan bagi korporat besar. Apa yang diperlukan oleh rakyat bawahan di negara-negara sedang membangun pada hari ini, seperti negara kita Malaysia, bukanlah perjanjian perdagangan bebas yang menggadaikan kepentingan rakyat untuk keuntungan berlipat ganda bagi golongan mahakaya. Apa yang kita perlukan adalah Semangat Bandung yang telah dilupai sekian lama, iaitu mewujudkan suatu susunan dunia yang membolehkan kewujudan bersama semua negara secara aman demi melindungi kepentingan rakyat bawahan.

Memang situasi dunia telah berubah banyak selepas lebih enam dekad, dan kita tidak boleh mengharapkan seorang dua pemimpin yang berfikiran progresif boleh melakukan perubahan untuk melindungi hak rakyat dan meneruskan Semangat Bandung. Kita perlu menggerakkan kuasa rakyat dari bawah untuk perubahan sedemikian. Jikalau kita mahu mewujudkan Semangat Bandung 2.0, maka ia perlulah berpaksikan agenda memperkasakan kuasa rakyat supaya rakyat yang tertindas dapat menentukan nasib diri mereka sendiri, mengagihkan kekayaan secara samarata, menegakkan keadilan sosial demi kedamaian yang berkekalan, dan juga penyertaan rakyat biasa secara demokratik dalam proses membuat keputusan.

Adalah penting juga untuk mewujudkan jaringan solidariti antara gerakan rakyat di Dunia Ketiga dan juga seluruh dunia demi merealisasikan impian Bandung 2.0 sebegini.

==========

(Rencana ini diubahsuai daripada satu tulisan yang pada asalnya diterbitkan dalam akhbar Sosialis Edisi Mei-Jun 2015 bersempena ulangtahun ke-60 Persidangan Bandung pada masa itu.)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *