Baru-baru ini, sekumpulan pelabur kecil yang amateur, yang berpakat melalui forum r/wallstreetbets dalam laman web Reddit dan menggunakan aplikasi perdagangan saham atas talian, telah berjaya menumpaskan beberapa buah dana lindung nilai (hedge fund) besar yang cuba mengaut keuntungan daripada aktiviti jualan kosong saham GameStop, sebuah syarikat peruncitan permainan video yang beribupejabat di Amerika Syarikat. Golongan elit mahakaya di Wall Street telah menerima tamparan hebat dalam insiden ini dan termakan oleh permainan yang selama ini menjana keuntungan buta yang lumayan kepada mereka. Peristiwa yang menggegarkan pasaran saham dunia ini sekali lagi mendedahkan hakikat bahawa pasaran kewangan yang dikuasai oleh Wall Street hanyalah sebuah kasino, dan sistem kapitalis yang dilanda krisis mendalam hari ini sudah menjadi sekadar sarang judi yang penuh dengan spekulasi jangka pendek dan bukan lagi berasaskan pembangunan pengeluaran yang bermakna kepada sesiapa pun.
Kejayaan pelabur-pelabur saham kecil di Amerika Syarikat yang menewaskan gergasi Wall Street ini telah memberi inspirasi kepada sesetengah pelabur saham kecil yang menggangotai forum bursabets dalam Reddit di Malaysia untuk meniru tindakan yang serupa. Namun, adakah “pemberontakan kaki judi kecil” dalam pasaran saham ini akan mengubah nasib masyarakat kita?
Apa itu jualan singkat?
Jualan kosong atau jualan singkat (short selling), ialah sejenis cara yang digunakan untuk memperolehi keuntungan daripada penurunan harga sesuatu saham. Dalam aktiviti jualan singkat, seseorang pelabur akan meminjam sesuatu saham daripada broker saham dan menjualkannya pada harga pasaran semasa, kemudiannya mengharapkan harga saham itu akan menurun supaya dapat membeli semula saham itu dengan harga yang lebih rendah dan pulangkan saham itu kepada broker yang meminjamkan saham itu, maka pelabur itu mendapat keuntungan daripada perbezaan harga saham itu.
Sebagai contoh, jika anda hendak jual singkat saham A yang harganya pada hari ini ialah RM10, anda meminjam saham itu daripada pemegang saham yang sebenar ataupun broker, dan menjualkannya pada harga RM10 serta-merta; kemudiannya anda tunggu harga saham A itu turun ke RM5, dan anda membeli balik saham A dengan harga RM5, supaya dapat pulangkan saham yang dipinjam daripada pemegang saham sebenar atau broker, maka anda mendapat keuntungan buta sebanyak RM5. Namun, anda hanya boleh meramalkan harga saham A itu turun atau naik seperti tukang tilik, maka tindakan jual beli saham itu hanyalah sekadar perjudian yang mempertaruhkan nasib anda.
Kaedah jualan singkat telah biasa digunakan oleh dana lindung nilai untuk melakukan spekulasi yang menjana keuntungan lumayan kepada mereka. Pengurus-pengurus dana lindung nilai selama ini telah menjadikan pasaran saham sebagai tapak permainan mereka, iaitu sebuah kasino yang dapat menjana keuntungan lumayan tanpa menghasilkan apa-apa yang berguna kepada masyarakat kita dalam proses jual beli saham ini. Aktiviti spekulasi dalam pasaran saham dan kewangan ini telah mendatangkan impak yang menjejaskan syarikat-syarikat yang terlibat secara langsung dalam ekonomi nyata yang mengeluarkan barangan sebenar, dan kerugian daripadanya dipindahkan (dalam bentuk pembuangan kerja) ke atas pekerja-pekerja yang benar-benar menghasilkan sesuatu yang berguna. Gelembung ekonomi kewangan yang timbul daripada tindakan golongan elit sektor kewangan mewujudkan krisis yang berulangan kepada ekonomi dunia; namun setiap kali berlakunya krisis kewangan dan krisis ekonomi, golongan elit mahakaya tetap akan dapat melepaskan diri (dengan bantuan daripada pihak kerajaan yang berkhidmat untuk kepentingan pemodal besar) dan golongan rakyat biasa akan menerima kesan yang paling buruk, termasuk pengangguran, kemiskinan dan penurunan kualiti kehidupan. Aktiviti spekulasi seperti jualan singkat bukan sahaja tidak berkurangan sebaliknya lebih ketara lagi selepas krisis ekonomi sedunia pada tahun 2008, dan ini terus membiak ketidakadilan sosial dan juga menjadi pemangkin kepada kemunculan politik pelampau kanan di banyak tempat.
Ada apa dengan “tekanan singkat” GameStop?
Biar kita kembali kepada cerita GameStop. Baru-baru ini, pada awal bulan Januari, terdapat khabar angin bahawa wujudnya banyak jualan singkat terhadap saham GameStop. Gamestop merupakan sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan runcit fizikal (iaitu mempunyai kedai fizikal) untuk menjual permainan video, tetapi bisnesnya telah mengalami kerugian dalam beberapa tahun kebelakangan ini kerana kemunculan perkhidmatan peruncitan atas talian yang semakin berkembang pesat. Oleh sebab bisnes Gamestop yang merosot dan nilai sahamnya bakal menurun dengan hebat, banyak institusi pelaburan kewangan yang mendahagakan keuntungan besar melakukan jualan singkat terhadap saham Gamestop. Dana lindung nilai Melvin Capital memegang sebahagian besar jualan singkat ini.
Sekumpulan pelabur saham kecil, yang menyertai forum r/wallstreetbets dalam laman web Reddit, telah berpakat untuk memulakan satu tindakan “tekanan singkat” (short squeeze), iaitu membeli saham Gamestop secara beramai-ramai dengan tujuan menaikkan harga sahamnya. Tindakan mereka ini berjaya menaikkan harga saham GameStop secara mendadak dalam tempoh yang singkat. Harga saham GameStop melonjak daripada USD17 pada 8 Januari 2021 kepada USD347 pada 27 Januari 2021.
Apakah motif di sebalik pelabur-pelabur saham kecil ini dalam menganjurkan tindakan tekanan singkat saham GameStop ini? Jelasnya tindakan membeli saham secara beramai-ramai yang menyebabkan peningkatan harga saham secara mendadak ini boleh menjana keuntungan kepada mereka. Namun, agak menarik juga, ramai dalam kalangan pengguna forum Reddit yang terlibat dalam “tindakan kolektif” atas talian ini menyatakan perasaan mereka yang hendak memberi pengajaran kepada dana-dana lindung nilai besar yang selama ini mengaut keuntungan lumayan daripada permainan yang sama dan memangsakan pelabur-pelabur saham kecil. Ini bagaikan pemberontakan kaki judi kecil terhadap kaki judi besar; dan hasilnya, kaki judi kecil menewaskan kaki judi besar dalam pusingan ini!
Setakat ini, tindakan kolektif golongan pelabur saham kecil yang amateur ini telah menewaskan dana lindung nilai gergasi seperti Melvin Capital, yang mengalami kerugian besar kerana terpaksa membeli saham-saham GameStop pada harga yang sangat tinggi untuk memulangkan saham-saham mereka yang dipinjam pada harga yang amat rendah. Pelabur-pelabur kecil yang berpakat dalam Reddit ini kemudiannya beralih kepada saham yang lain, memaksa pelabur-pelabur besar yang melakukan jualan singkat terhadap saham syarikat yang lain untuk mengaku kalah. Adalah dianggarkan bahawa syarikat-syarikat besar mengalami kerugian lebih USD70 bilion dalam tahun ini sahaja (belum sampai sebulan dalam tahun 2021) akibat daripada pelaburan dalam jualan singkat.
Pertunjukan sarkas dalam pasaran saham yang terbaru ini memang menghiburkan, kerana menyaksikan golongan elit Wall Street dan kapitalis parasit terkandas dalam permainan yang menguntungkan mereka selama ini. Yang melucukan dan ironi adalah, pengurus-pengurus dana lindung nilai dan pelabur-pelabur besar yang sebelum ini mengaut keuntungan berbilion-bilion melalui tindakan spekulasi yang liar dan memanipulasi sistem pasaran kewangan bebas yang kekurangan kawal selia, sekarang ini merungut tentang “aktiviti haram” dan “manipulasi pasaran” oleh pelabur-pelabur kecil ini (seolah-olah tindakan spekulasi pelabur-pelabur besar selama ini begitu murni sekali), di samping berteriak-teriakan menggesa pihak berkuasa untuk mencampurtangan.
Pergolakan dalam pasaran saham terbaru ini boleh mendatangkan kesan yang serius kepada sistem kewangan keseluruhan. Syarikat-syarikat dana lindung nilai yang menjalankan aktiviti spekulasi adalah disokong oleh bank-bank dan institusi-institusi kewangan. Sekiranya banyak syarikat dana lindung nilai ini menggulung tikar akibat daripada kerugian jualan singkat, maka juga akan memberikan impak besar kepada bank-bank yang lain.
Walaupun nampaknya tindakan tekanan singkat yang terbaru ini dimulakan oleh pelabur-pelabur kecil yang amateur, tetapi pelabur-pelabur yang lebih besar juga akan mengambil kesempatan apabila harga saham naik dan melaburkan lebih banyak wang dalam pasaran saham. Ini sudah pasti akan menjadi gelembung kewangan seperti yang pernah berlaku sebelum ini dan berakhir dengan letupan gelembung ini seperti yang pernah juga berlaku pada gelembung yang lain. Harga saham akan terus menaik kerana ramai orang sedang membeli, dan ramai akan terus membeli kerana saham sedang menaik; tetapi apabila harga saham mencecah tahap tertingginya di mana terdapat sesetengah orang mula menjual untuk mendapatkan keuntungan daripadanya, maka orang yang lain juga akan turut ikut untuk menjual saham itu sehingga menyebabkan harga saham menurun secara mendadak, dan orang lain akan terus menjual kerana saham sedang turun.
Tidak cukup sekadar menang dalam permainan, tapi harus hapuskan permainan parasit ini!
Mungkin adanya orang yang merupakan pelabur kecil akan berasa puas kerana dapat mengalahkan gergasi kewangan besar dalam pusingan pertarungan pasaran saham, malah boleh juga dapat keuntungan daripadanya. Namun, ini tidak mengubah apa-apa yang asas dalam sistem pasaran kewangan kapitalis hari ini.
Pelabur-pelabur saham kecil yang muncul sebagai protagonis dalam “pemberontakan kaki judi kecil” terbaru ini, merupakan golongan kelas menengah yang tertekan dengan keadaan ekonomi semasa. Ramai antara mereka kehilangan pekerjaan ataupun terpaksa berada di rumah semasa tercetusnya pandemik COVID-19 sejak tahun lalu, maka mempunyai lebih banyak masa untuk melibatkan diri dalam aktiviti jual beli saham atas talian. Mereka bukan kaya sangat tetapi juga bukan terlalu miskin sampai tidak cukup makan setiap hari. Mereka mungkin adanya sedikit wang tambahan dalam tangan mereka, tetapi masih terdesak untuk mendapatkan lebih banyak wang dalam tempoh masa yang singkat kerana tiadanya pekerjaan baharu ataupun tiada pendapatan baharu. Oleh itu, mereka pun mengambil bahagian dalam aktiviti spekulasi pasaran saham seperti yang dilakukan oleh elit pasaran kewangan yang lain.
Pelabur-pelabur kecil yang amateur ini dapat berpakat lebih mudah sekarang dengan adanya aplikasi perdagangan bebas-komisen atas talian seperti Robinhood yang memudahkan pemain-pemain baru dan kecil untuk mengakses pasaran saham. Namun, syarikat seperti Robinhood Markets, Inc. bukannya badan amal tetapi perniagaan yang bertujuan untuk menjana keuntungan dalam proses ini. Demi menjaga kepentingan pasaran kewangan, Robinhood sendiri mula menyekat perdagangan sesetengah saham setelah pelabur-pelabur kecil yang berpakat melalui Reddit menaikkan harga saham tersebut.
Dunia kita sedang dilanda krisis ekonomi yang paling teruk semenjak Zaman Meleset tahun 1930-an, berikutan penularan pandemik COVID-19 sepanjang tahun 2020. Namun, golongan mahakaya di dunia bukan sahaja tidak terjejas teruk kerana pandemik dan krisis ekonomi, sebaliknya ada yang menjadi semakin kaya lagi semasa pandemik COVID-19 melanda. Lebih-lebih lagi, spekulasi pasaran saham menjadi lebih ketara lagi pada masa apabila pengeluaran industri terkesan kerana pandemik global. Golongan mahakaya terus “melaburkan” modal yang tidak lagi dilaburkan dalam sektor ekonomi yang mengeluarkan barangan yang berguna ke dalam sektor kewangan yang tidak mengeluarkan apa-apa yang berguna kecuali lebih banyak lagi krisis.
Kepincangan yang wujud dalam sistem kapitalis adalah begitu ketara sekali. Pada ketika dunia kita menyaksikan berjuta-juta orang pekerja kehilangan kerja dan puluhan ribu syarikat terpaksa menggulung tikar kerana kemeseletan ekonomi, pasaran saham nampaknya lebih cergas lagi berbanding sebelum timbulnya krisis ekonomi. Pasaran saham sepatutnya menggambarkan tahap “kesihatan” syarikat dalam ekonomi secara keseluruhan, tetapi realiti hari ini adalah turun naik nilai pasaran saham sudah lama terpisah daripada tahap pengeluaran barangan dan perkhidmatan yang digunakan dalam masyarakat kita. Ini adalah evolusi sistem kapitalis yang sudah menjadi sebuah sistem yang bersifat parasit, di mana golongan mahakaya menjadi lebih kaya dengan cara terus mengeksploitasi golongan miskin dan tidak menghasilkan apa-apa lagi yang berguna kepada masyarakat. Golongan kaptalis parasit lebih cenderung melabur dalam ekonomi kasino berbanding dengan melabur dalam pengeluaran yang sebenar (termasuk pembangunan teknologi yang meningkatkan produktiviti buruh), kerana ekonomi kasino dapat menjana keuntungan yang lebih banyak dan lebih cepat.
Selagi sistem ekonomi kapitalis yang bersifat parasit dan kasino ini wujud, dunia kita akan terus dibelenggui masalah ketidakadilan sosial yang mendalam. Persoalan asasnya adalah, bukannya sejauh mana rakyat biasa dapat menang dalam permainan kapitalisme kasino ini, tetapi bagaimana kita dapat menghancurkan sistem parasitik yang memperjudikan kesejahteraan masyarakat ini!