Pekerja-pekerja migran yang ditahan dan dihantar pulang ke negara asal mereka dari Malaysia, telah mengalami pencabulan hak asasi manusia secara sistematik. Ini bukannya perkara yang baharu, tetapi terus didedahkan, termasuk dalam laporan pencarian fakta mengenai keadaan migran Indonesia yang dihantar pulang dari negeri Sabah ke Indonesia yang diterbitkan baru-baru ini oleh Koalisi Buruh Migran Berdaulat (KBMB).

Koalisi Buruh Migran Berdaulat (KBMB) ialah sebuah gabungan masyarakat sivil yang memberi perhatian kepada isu-isu berkaitan dengan perlindungan hak asasi manusia bagi pekerja-pekerja migran Indonesia. Gabungan ini dianggotai oleh organisasi-organisasi seperti Solidaritas Perempuan Anging Mammiri (SP AM) Makassar, Solidaritas Perempuan (SP) Jakarta, Lembaga Bantuan Hukum (LBH) Bandung, Kelompok Studi Kebijakan dan Demokrasi (KATARSIS) Bandung, Jaringan Perempuan Indonesia Timur (JPIT) Kupang, Lembaga Informasi Perburuhan Sedane (LIPS) Bogor dan Asia Monitor Resource Centre (AMRC) yang beribupejabat di Hong Kong. Gabungan ini ditubuhkan sebagai respon kepada beberapa masalah yang dihadapi oleh pekerja-pekerja migran dari Indonesia semasa pandemik COVID-19 sejak bulan Mac 2020.

Satu pasukan pencarian fakta daripada KBMB telah melakukan penyiasatan terhadap proses penghantaran pulang lebih 1,700 orang pekerja migran Indonesia dari Sabah, Malaysia, sepanjang tempoh pandemik COVID-19. Penemuan yang diterbitkan dalam laporan pencarian fakta ini memfokus pada tempoh dari bulan Jun 2019 hingga September 2020, tetapi tidak terhad kepada tempoh masa tersebut. Pekerja-pekerja migran dari Indonesia sedang dihantar pulang dalam jumlah yang besar, dengan kebanyakannya ialah pekerja-pekerja di ladang kelapa sawit. Proses penghantaran pulang pekerja-pekerja tanpa dokumen dari Indonesia telah dilakukan oleh pihak imigresen di Sabah untuk bertahun-tahun lamanya dalam jumlah beribu-ribu. Pencabulan hak asasi manusia sepanjang proses ini telah memberi kesan yang buruk kepada pekerja-pekerja migran yang merupakan kumpulan rentan ini. Pusat tahanan sementara di mana golongan migran ditahan sebelum dihantar pulang, telah menjadi tempat berlakunya keganasan institusi seperti penyeksaan, pencabulan hak dan layanan buruk yang tidak berperikemanusiaan. Terdapat wanita, kanak-kanak dan warga emas dalam kalangan tahanan, yang juga mengalami masalah layanan yang buruk.

Pada masa sekarang, kuota pekerjaan yang sah di sisi undang-undang adalah lebih rendah berbanding jumlah pekerja berkemahiran rendah yang diperlukan dalam perusahaan di Sabah, misalnya dalam perladangan kelapa sawit. Ini menyebabkan jumlah pekerja tanpa dokumen kekal tinggi kerana permintaan tenaga kerja dalam sektor perladangan, menjadikan mereka majoriti daripada pekerja-pekerja ladang kelapa sawit di Sabah. Akan tetapi, pekerja-pekerja ini sering dilayan dan dihukum bagaikan penjenayah. Pekerja-pekerja migran telah mengalami pelbagai masalah keganasan dan penindasan hak. Ketakutan kerana ditahan menyebabkan pekerja-pekerja ini lebih mudah lagi dieksploitasi oleh majikan mereka. Pihak majikan juga sering menggunakan dasar migran yang memangsakan pekerja migran ini untuk mengancam dan mengambil tindakan terhadap pekerja-pekerja yang tidak seiras dengan kepentingannya. Menurut pasukan pencarian fakta daripada KBMB, walaupun majikan yang mengupah lebih daripada lima orang pekerja migran tanpa dokumen pada masa yang sama boleh dihukum mengikut undang-undang yang sedia ada, tetapi mereka tidak pernah mendapat tahu tentang apa-apa kes di mana syarikat perladangan besar didenda kerana mengupah pekerja tanpa dokumen. Hanya terdapat sebilangan kes yang amat kecil di mana syarikat ladang kecil dikenakan hukuman denda.

Hasil siasatan pasukan pencarian fakta daripada KBMB mendapati bahawa:

  • Pihak berkuasa di Sabah tidak mematuhi hampir semua prinsip perbicaraan adil, sepanjang proses penangkapan, penyiasatan dan perbicaraan. Tiada seorang pekerja migran pun pernah dibela oleh seorang peguam atau penasihat undang-undang. Di hadapan mahkamah, pihak defenden hanya mempunyai pilihan untuk mengaku salah, dan tiada seorang pekerja migran yang dihantar pulang pernah menerima fail atau dokumen mengenai kes mahkamah mereka.
  • Pekerja-pekerja migran yang ditahan di pusat tahanan sementara mengalami pelbagai layanan dan hukuman yang tidak berperikemanusiaan.
  • Pekerja-pekerja migran yang ditahan di pusat tahanan sementara mengalami masalah seperti peras ugut, perampasan harta dan eksploitasi terhadap kanak-kanak.
  • Keadaan pusat tahanan yang penuh sesak menjadikan pekerja-pekerja migran yang berada di situ terdedah kepada risiko jangkitan COVID-19 yang tinggi. Ia juga menyebabkan pekerja-pekerja migran yang ditahan mengalami pelbagai masalah kesihatan fizikal dan mental. Pusat tahanan tidak menyediakan kemudahan dan bantuan khusus kepada wanita yang mengandung.
  • Kelewatan dalam proses penghantaran pulang, menyebabkan pekerja-pekerja migran yang sudah menjalani tempoh hukuman penjara mereka kerana melanggar undang-undang imigresen itu terus ditahan untuk tempoh masa yang panjang di pusat tahanan sementara di Sabah.
  • Wujudnya pelbagai jenis layanan dan hukuman yang tidak berperikemanusiaan di dalam pusat tahanan sementara di Sabah, di mana ini bukannya kes-kes individu yang terasing, sebaliknya sudah pun berlaruratan secara sistematik untuk bertahun-tahun lamanya, menjadikan ribuan pekerja migran menjadi mangsa kepada pencabulan hak asasi manusia ini.

Pasukan pencarian fakta daripada KBMB juga mendapati bahawa masalah yang dihadapi oleh pekerja-pekerja migran yang dihantar pulang ini bukannya sekadar semasa dalam tahanan di Sabah, Malaysia. Selepas proses pentadbiran penghantaran pulang yang kompleks dan tidak efisien, pekerja-pekerja migran dihantar ke Indonesia melalui pelabuhan Nunukan, Kalimantan Utara. Kegagalan Kerajaan Indonesia untuk menjangkakan gelombang penghantaran pulang pekerja migran, termasuk penyelarasan yang lemah antara kerajaan-kerajaan provinsi dan antara agensi-agensi yang berkaitan, telah menyebabkan masalah seperti:

  • Badan Perlindungan Pekerja Migran Indonesia (BP2MI) nampaknya dibiarkan dengan beban tanggungjawab untuk mengendalikan kepulangan pekerja secara persendirian, dengan sumber yang terhad dan tidak dapat mengakses sebarang sumber tambahan di luar bidang kuasanya.
  • Kekurangan kemudahan kesihatan untuk pekerja-pekerja migran yang dihantar pulang, dan tiadanya perkhidmatan kesihatan mental.
  • Pekerja-pekerja migran dari Nusa Tenggara Timur, terpaksa menunggu untuk masa yang lama di pusat penempatan sementara BP2MI di Makassar, Sulawesi Selatan, bukannya dihantar pulang segera ke kampung asal mereka.
  • Tiada kemudahan untuk kanak-kanak dan warga emas yang memerlukan rawatan khas di tempat penempatan sementara.
  • Kekurangan perkhidmatan khas dan rawatan untuk mereka mengalami masalah psikologi kerana menjadi mangsa keganasan dan hukuman yang tidak berperikemanusiaan.

Berdasarkan penemuan daripada proses pencarian fakta ini, KBMB menggesa Kerajaan Malaysia untuk mengambil langkah-langkah yang perlu, termasuk pembaharuan dasar, undang-undang dan pentadbiran, di samping memperuntukkan sumber-sumber yang diperlukan untuk penambahbaikan perkhidmatan, supaya:

  • Menghentikan segera segala bentuk keganasan, penyeksaan dan layanan atau hukuman yang kejam lagi tidak berperikemanusiaan terhadap pekerja-pekerja migran;
  • Mencegah penahanan yang berpanjangan dan memastikan proses penghantaran pulang yang cepat serta menghormati segala hak asasi pekerja-pekerja migran yang dihantar pulang;
  • Memastikan semua proses penghantaran pulang mempertimbangkan keadaan kesihatan migran dengan mengambil kira keselamatan manusia.

Cadangan yang dikemukakan kepada Kerajaan Malaysia adalah seperti berikut:

  1. Mengambil usaha secara sistematik untuk melaksanakan prinsip perbicaraan adil dan menghentikan mekanisme kehakiman yang arbitari.
  2. Menambahbaikkan keadaan pusat tahanan sementara untuk memenuhi piawaian minimum Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
  3. Mengambil usaha secara sistematik untuk menghapuskan dan mencegah penyeksaan dan layanan yang tidak berperikemanusiaan oleh pihak berkuasa di pusat tahanan sementara.
  4. Memastikan akses berkala kepada mekanisme penyeliaan untuk pusat tahanan sementara.
  5. Mempermudahkan prosedur pentadbiran penghantaran pulang untuk mengelakkan penahanan berpanjangan.
  6. Menjalankan penyiasatan terhadap pelaku keganasan di dalam pusat tahanan sementara dan menghukum mereka yang melanggar undang-undang, untuk menghentikan kekebalan pihak berkuasa yang menyalahguna kuasa.
  7. Melakukan pembaharuan terhadap sistem undang-undang yang sedia ada untuk menghentikan penjenayahan terhadap pekerja-pekerja migran tanpa dokumen dan membawa mereka yang bertanggungjawab dalam penyeksaan terhadap migran di pusat tahanan sementara ke hadapan muka pengadilan.

Cadangan kepada Kerajaan Indonesia adalah seperti berikut:

  1. Mempermudahkan proses pentadbiran penghantaran pulang untuk mengelakkan penahanan yang berpanjangan di pusat tahanan sementara.
  2. Menyediakan kemudahan perlindungan di kawasan transit atau di tempat kemasukan sempadan untuk pekerja-pekerja migran yang dihantar pulang.
  3. Memahami dan melayan pekerja-pekerja migran yang dihantar pulang sebagai mangsa menyeksaan dan penderaan, di samping memberi rawatan, perlindungan dan pemulihan daripada tekanan mental untuk mereka yang sakit.
  4. Jangan menganggap amalan penyeksaan dan layanan tidak berperikemanusiaan di pusat tahanan sementara di Sabah sesuatu yang boleh diterima berdasarkan undang-undang Malaysia dan campurtangan politik.

Secara khususnya, Kerajaan Indonesia juga digesa supaya:

  1. Mempertingkatkan keupayaan agensi-agensi yang berkaitan dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan asas untuk pusat penempatan sementara di Nunukan, Kalimantan Utara, termasuk ubat-ubatan yang mencukupi untuk penyakit kudis.
  2. Memperingkatkan keupayaan perkhidmatan kesihatan untuk pekerja-pekerja migran yang dihantar pulang, khususnya kumpulan rentan seperti wanita, kanak-kanak dan warga emas, serta mereka yang memerlukan kanseling untuk kesihatan mental.
  3. Menyediakan kemudahan diagnosis dan pemeriksaan kesihatan untuk penyakit tuberkulosis, kaunseling dan ujian secara sukarela untuk rawatan dan pencegahan jangkitan HIV/AIDS, di samping melibatkan kumpulan masyarakat sivil yang mempunyai kepakaran dalam HIV/AIDS dan tuberkulosis.
  4. Memastikan Kerajaan Sabah, Malaysia, supaya menyediakan bantuan guaman kepada pekerja migran yang mempunyai kes mahkamah.

Baca laporan penuh oleh pasukan pencarian fakta mengenai keadaan migran Indonesia yang dihantar pulang dari negeri Sabah, Malaysia, ke Indonesia (Jun 2019 – September 2020) di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *