oleh Dr. Jeyakumar Devaraj

Terdapat perbincangan yang sedang berlaku di Malaysia mengenai sama ada kita patut menawarkan pemvaksinan COVID-19 secara percuma kepada pekerja-pekerja migran yang berada di Malaysia atau tidak. Sesetengah warga Malaysia marah tentang wang cukai kita yang mungkin akan digunakan untuk mensubsidi pekerja-pekerja migran ini khususnya mereka yang tidak berdokumen. Sesetengah orang pula menyokong pemvaksinan COVID-19 secara percuma kepada pekerja-pekerja migran berasaskan prinsip-prinsip hak asasi manusia dan juga sebab-sebab pragmatik bahawa kita perlu melakukan sedemikian untuk mencapai keimunan kelompok.

Namun, adakah sesiapa membuat tinjauan apakah pekerja-pekerja migran itu berfikir tentang perkara ini? Adakah mereka tidak sabar-sabar lagi menunggu untuk mendapatkan vaksin? Saya rasa tidak begitu. Ini kerana bagi mereka, COVID-19 bukannya ancaman yang serius seperti yang difikirkan warga Malaysia. Pekerja-pekerja migran secara amnya merupakan orang dewasa yang lebih kurang sihat, berumur antara 20 dan 50 tahun. Kebarangkalian untuk mereka mati kerana COVID-19 adalah sangat rendah. Kadar kematian kes COVID-19 di Malaysia sekarang ini ialah 0.36% – dalam erti kata lain, 0.36% daripada mereka yang dijangkiti virus COVID-19 (717 dibahagi dengan 198,208 – mengikut angka pada 28 Januari 2021). 717 kematian itu kebanyakannya merupakan mereka yang berumur 60 tahun ke atas dan mereka yang mempunyai penyakit lain seperti kencing manis dan kegagalan jantung. Ini bermakna kadar kematian COVID-19 bagi pekerja-pekerja migran adalah lebih kurang 0.05% sahaja.

Warga Malaysia yang berumur 20-50 tahun juga mempunyai risiko rendah yang serupa dalam terkorban nyawa akibat COVID-19, tetapi kita mahu mengambil vaksin kerana kita takut bahawa kita akan membawa virus balik ke rumah kita dan menjangkiti ibu bapa dan datuk nenek kita. Aspek ini tidak membimbangkan pekerja-pekerja migran, kerana ibu bapa dan datuk nenek mereka tidak bersama dengan mereka sekarang ini. Jika anda mengambil kira lagi kos vaksin, dan risiko kena tangkap kerana kesalahan imigresen untuk pekerja-pekerja migran tanpa dokumen, perhitungan imbangan risiko-faedah akan membuatkan ramai pekerja migran tidak begitu bersemangat untuk mendapatkan vaksin COVID-19.

Adakah ini satu masalah kepada kita? Sudah tentu ya. Tujuan pemvaksinan besar-besaran adalah untuk mewujudkan keimunan kelompok, supaya kita boleh mengurangkan langkah-langkah kawalan pergerakan yang sedang menjejaskan kehidupan ekonomi kita dan menyebabkan kesusahan yang teruk kepada banyak keluarga warga Malaysia yang mana pencari nafkah telah mengalami penurunan hebat dalam pendapatan. Untuk mencapai keimunan kelompok, kita perlu memberi vaksin kepada lebih kurang 80% populasi – dengan anggapan bahawa setiap orang yang dijangkiti COVID-19 akan menyebarkan virus kepada 5 orang yang lain secara purata. Jika 80% penduduk mendapat keimunan, maka 4 daripada 5 orang yang terdedah kepada virus tidak akan mendapat penyakit COVID-19 kerana mereka sudahpun mempunyai keimunan. Hanya seorang daripada 5 orang yang akan kena COVID-19. Ini bermakna bahawa tiada lagi peningkatan secara eksponen dalam kadar jangkitan yang boleh membebankan hospital kita dengan lebih kurang 10% kes yang sakit teruk sehingga memerlukan jagaan hospital.

Mari kita lihat pada angka – jumlah populasi negara kita ialah lebih kurang 31 juta orang. Negara kita mempunyai 6 juta orang pekerja migran dan 200,000 orang pelarian lagi. Jadi, kesemuanya 37.2 orang yang duduk di Malaysia. Kerajaan telah berkata bahawa kanak-kanak dan wanita mengandung tidak akan diberi vaksin COVID-19 – iaitu lebih kurang 6 juta orang kanak-kanak berumur 12 tahun dan ke bawah, dan 0.5 juta orang wanita mengandung. 6.5 juta ialah 17.5% daripada 37.2 juta! Dalam erti kata lain, kita boleh mencapai kadar keimunan 80% jika semua pekerja migran juga mengambil vaksin. Namun jika mereka tidak berbuat demikian, maka negara kita akan mempunyai 12.7 juta orang yang tidak diberi vaksin – kanak-kanak, ibu mengandung, pekerja migran dan pelarian, dan 12.6 juta ialah 34% daripada 37.2 juta. Kita hanya mencapai kadar pemvaksinan pada kadar 63% jika begitu – jauh lebih rendah berbanding 80% yang kita perlukan untuk mencapai keimunan kelompok!

Apa yang patut kita lakukan untuk mengatasi masalah ini? Pertama sekali, kita perlu memahami bahawa masyarakat umum warga Malaysia juga akan bermanfaat sekiranya pekerja-pekerja migran diberi vaksin, untuk kita mencapai keimunan kelompok yang akan melindungi golongan lebih tua dalam keluarga kita dan juga membolehkan kita membuka semula ekonomi supaya rakyat boleh kembali mencari rezeki mereka. Oleh itu, adalah sangat masuk akal untuk kita memberi vaksin COVID-19 secara percuma kepada setiap orang, termasuk pekerja-pekerja migran dan pelarian. Kita juga patut menyakinkan mereka bahawa akan adanya moratorium terhadap kesalahan imigresen untuk setahun akan datang, supaya mereka tidak akan berasa takut tampil diri ke hadapan untuk menjalani ujian, kuarantin dan pemvaksinan. Sebuah dasar yang berkesedaran terhadap pekerja migran dan pelarian akan sangat membantu kita dalam usaha membendung pandemik ini.

==========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM). Beliau juga merupakan mantan Ahli Parlimen Kawasan Sungai Siput.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *