Menurut satu laporan kajian yan diterbitkan baru-baru ini, naratif yang menyatakan “orang Melayu akan dipinggirkan dalam pilihanraya tempatan” sudah menjadi suatu mitos politik yang ketinggalan zaman dan tidak berasas langsung. Pilihanraya tempatan, jika dipulihkan pada hari ini, tidak akan mewujudkan keadaan monopoli politik kaum bukan Melayu di kawasan bandar.

Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) melancarkan satu laporan yang bertajuk “Pemulihan Pilihanraya Kerajaan Tempatan di Malaysia” (Reintroduction of Local Government Elections in Malaysia) pada 20 Januari 2021 dalam satu webinar. Laporan yang ditulis oleh pakar penyelidik Danesh Prakash Chacko ini, menggariskan keperluan untuk memulihkan pilihanraya tempatan, isu-isu berkaitan dengan pilihanraya tempatan dan cadangan bagaimana pilihanraya tempatan dapat dijalankan.

Menurut Yap Swee Seng, Pengarah Eksekutif BERSIH 2.0, kajian tentang pemulihan pilihanraya tempatan ini dibuat kerana pihak BERSIH 2.0 berpandangan bahawa pilihanraya tempatan merupakan sesuatu yang penting untuk demokrasi di Malaysia. Yap berkata, pilihanraya tempatan akan mengubah budaya politik di Malaysia, kerana kerajaan tempatan mengendalikan isu-isu yang dihadapi oleh komuniti tempatan tanpa mengira kaum dan agama, maka dapat memupuk solidariti dan kerjasama komuniti merentasi batasan kaum dan agama.

Laporan ini akan diserahkan kepada beberapa pihak pembuat dasar, termasuk Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan.

“Berdasarkan laporan global pertama mengenai penyahpusatan dan kerajaan tempatan oleh United Cities and Local Government dan Bank Dunia, demokrasi multi-parti sedang berkembang maju di kerajaan tempatan di rantau Asia Pasifik kecuali Malaysia. Bukan sahaja bertentangan dengan trend di Asia Pasifik, malah ia mengejutkan bahawa Malaysia tidak mengamalkan pilihanraya majlis tempatan walaupun pihak berkuasa mempunyai kuasa untuk mencukai penduduk-penduduk, bagaikan prinsip tiada percukaian tanpa perwakilan telah diabaikan dengan mudahnya untuk peringkat kerajaan tempatan. Dengan tiadanya langkah-langkah kebertanggungjawaban dan kemudiannya pemisahan daripada komuniti, kerajaan tempatan dibelenggui korupsi dan tidak menangani isu-isu tempatan secara berkesan. Ini seterusnya menyebabkan warga bandar mencari Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli-ahli Parlimen untuk isu-isu harian,” begitu katanya laporan BERSIH 2.0.

Laporan tersebut mengklasifikasikan kerajaan tempatan yang sedia ada di negara kita kepada dua kumpulan, iaitu:

  • Kerajaan Wilayah Persekutuan (kerajaan peringkat kedua) – sekarang ini diuruskan oleh Dewan Bandaraya (untuk Kuala Lumpur) dan Perbadanan (Putrajaya dan Labuan);
  • Majlis Tempatan (kerajaan peringkat ketiga) – Majlis Bandaraya, Majlis Perbandaran, Majlis Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan Khas.

Terdapat banyak sebab kenapa pilihanraya majlis tempatan harus dipulihkan, antaranya:

  • Membolehkan kebertanggungjawaban untuk majlis tempatan yang dipilih;
  • Membanteras dan menyekat korupsi;
  • Mewujudkan kepimpinan dari bawah untuk kawasan-kawasan setempat, khususnya kawasan-kawasan bandar;
  • Mempermudahkan penyahpusatan kuasa dari peringkat Kerajaan Persekutuan kepada peringkat Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan;
  • Membolehkan Ahli-ahli Parlimen dan ADUN-ADUN untuk memfokus pada kerja-kerja perundangan bukannya terlalu dialih perhatian kepada isu-isu majlis tempatan.

Laporan ini telah memberi perhatian kepada beberapa hujah yang membantah pemuliihan pilihanraya majlis tempatan, antaranya:

  • Potensi monopoli sesuatu kumpulan etnik (khususnya golongan bukan Melayu) di kawasan bandar dan dominasi sesetengah parti politik dalam pilihanraya tempatan pada masa hadapan;
  • Kos tambahan untuk mengadakan pilihanraya tempatan;
  • Kerajaan Negeri dilemahkan dan kuasanya dikurangkan.

Namun, seperti yang dihujahkan dalam laporan “Pemulihan Pilihanraya Kerajaan Tempatan di Malaysia”, kebimbangan mengenai pilihanraya tempatan ini boleh diastasi dengan fakta dan/atau solusi berikut:

  • Negara Malaysia sudah menjadi sebuah masyarakat yang sangat urban. Masyarakat Bumiputera sekarang ini merupakan golongan majoriti di kawasan bandar. Pada tahun 2010, orang Melayu sudah membentuk penduduk majoriti di kebanyakan kawasan Majlis Perbandaran dan Majlis Bandaraya di Semenanjung Malaysia. Oleh itu, naratif bahawa“orang Melayu akan dipinggirkan dalam pilihanraya tempatan” sudah menjadi sesuatu mitos yang ketinggalan zaman dan tidak berasas langsung.
  • Oleh sebab sifat setempat untuk Majlis Tempatan, maka wujudnya kemungkinan kemunculan parti-parti yang memperjuangkan isu tunggal, seperti Parti Hijau. Ini akan menjadikan tiada parti politik yang akan mendominasi sesuatu Majlis Tempatan.
  • Walaupun mengadakan pilihanraya tempatan akan memakan kos tambahan, tetapi boleh menjimatkan banyak kos yang timbul daripada majlis tempatan yang tidak dipilih secara demokratik, misalnya masalah gangguan bekalan air di Selangor kerana kerajaan tempatan yang membiarkan begitu sahaja operasi kilang-kilang haram untuk tempoh masa terlalu lama. Kos untuk pilihanraya tempatan boleh dikurangkan melalui pengecualian kos sewa kemudahan, perkongsian tanggungan kos oleh majlis tempatan (khususnya upah untuk kakitangan pilihanraya) dan pilihanraya percubaan boleh diadakan terlebih dahulu untuk Majlis Bandaraya yang mempunyai dana yang lebih besar;
  • Pilihanraya kerajaan tempatan harus diperkenalkan secara serentak dengan penyahpusatan kuasa daripada Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan. Misalnya, memindahkan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan dalam pengawasan terhadap sekolah kepada Kerajaan Negeri.

Cadangan yang dikemukakan dalam laporan “Pemulihan Pilihanraya Kerajaan Tempatan di Malaysia” juga meliputi kelayakan mengundi, sempadan majlis tempatan, sistem pengundian yang digunakan dan bentuk kerajaan (sistem presiden atau parlimen). Laporan ini mencadangkan sistem “Ahli Bercampur Berkadar” (MMP) sebagai cara untuk memilih Ahli-ahli Majlis Tempatan, iaitu separuh Ahli-ahli Majlis dipilih melalui sistem “undian pemenang undi terbanyak” (FPTP) yang sedia ada sementara separuh dipilih melalui sistem pengundian “perwakilan berkadar senarai tertutup” (CLPR). Sistem MMP ini akan memastikan pengagihan kerusi Ahli Majlis Tempatan adalah berkadar langsung dengan peratusan undi yang dibuang sementara membolehkan juga perwakilan mengikut kawasan geografi. Antara kelebihan sistem MMP adalah: menggalakkan perkongsian kuasa antara kumpulan etnik dan agama yang berbeza; membolehkan perwakilan daripada golongan minoriti; pengekalan kawasan pilihanraya ahli tunggal dalam MMP mengekalkan perhubungan geografi antara pengundi dengan Ahli Majlis; dan mempermudahkan pelaksanaan kuota gender dan minoriti melalui komponen perwakilan berkadar.

Laporan ini mengemukakan bentuk pilihanraya dan pentadbiran yang berbeza untuk unit kerajaan tempatan yang berbeza mengikut kesesuaian, dan juga perubahan yang perlu dilakukan terhadap undang-undang yang sedia ada untuk membolehkan pilihanraya tempatan dilakukan.

Pilihanraya kerajaan tempatan pertama kali diperkenalkan di Georgetown, Pulau Pinang, pada tahun 1857, tetapi dimansuhkan pada tahun 1913, kemudiannya dipulihkan semula pada tahun 1951 berikutan penggubalan Ordinan Majlis Tempatan pada tahun 1950. Ordinan Majlis Tempatan 1952 mewujudkan majlis tempatan untuk kawasan luar bandar yang juga dipilih secara demokratik. Semua pilihanraya tempatan digantung apabila darurat diumumkan pada bulan September 1964, semasa berlakunya Konfontrasi dengan Indonesia.

Suruhanjaya Di-Raja Penyiasatan ke atas Pihak Berkuasa di Semenanjung Malaysia ditubuhkan pada tahun 1965 dan dipimpin oleh Athi Nahappan, telah menyarankan dalam laporannya bahawa setiap ibu kota di Semenanjung Malaysia patut ditadbir oleh pilhak berkuasa tempatan yang terdiri daripada wakil yang dipilih oleh rakyat, dan ini patut diperluaskan ke tempat lain juga. Namun begitu, Akta Kerajaan Tempatan 1976 tidak membenarkan semua bentuk pilihanraya tempatan. Pada masa kini, semua Ahli-ahli Majlis dalam Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Yang Di-Pertua Majlis Tempatan atau Datuk Bandar adalah dilantik oleh Kerajaan Negeri. Tuntutan untuk memulihkan pilihanraya tempatan telah lama dibangkitkan oleh masyarakat sivil dan beberapa parti politik.

Laporan “Pemulihan Pilihanraya Kerajaan Tempatan di Malaysia” (Introduction of Local Government Elections in Malaysia) boleh dimuat turun di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *