oleh S. Arutchelvan

UMNO, krisis dan Darurat

Setiap kali UMNO berada dalam krisis, jangan hairanlah jika berlaku darurat. Dan janganlah kau percaya setiap darurat itu dipanggil kerana alasan ia diisytihar.

Krisis UMNO Mahathir-Razaleigh mencetuskan tindakan keras penangkapan ISA – Operasi Lalang, pemecatan Ketua Hakim Negara, pembubaran parti UMNO dan tertubuhnya Parti Semangat 46. Krisis UMNO Mahathir-Anwar mencetuskan gerakan Reformasi, penglibatan Ketua Polis Negara dalam insiden mata hitam Anwar, dan pembentukan Parti Keadilan Nasional (PKN). Setiap kali UMNO dalam krisis, maka berertinya negara kita dalam krisis. Adakah UMNO dalam krisis sekarang? Ya.

Bagi darurat pula, ia adalah senjata ulung yang dipegang oleh Perdana Menteri atau pemerintah untuk menyelamatkan diri.  Darurat 1948 diisytihar atas nama untuk memerangi komunis padahal ia adalah untuk menghancurkan PUTERA-AMCJA – gabungan politik yang paling radikal menuntut kemerdekaan daripada penjajah British pada masa itu. Darurat 1964 diisytiharkan oleh Tunku Abdul Rahman atas nama Konfrontasi dengan Indonesia. Namun, penganalisis pada masa itu mengatakan sebab utama adalah untuk melenyapkan Blok Kiri – Parti Buruh dan Parti Rakyat – yang memberikan tentangan hebat kepada kuasa Barat dalam Perang Dingin. Darurat 1969 dipanggil atas nama rusuhan perkauman 13 Mei, tetapi punca sebenarnya adalah UMNO dan Parti Perikatan buat pertama kalinya hilang kerusi majoriti dua pertiga dalam Parlimen, hilang kuasa di 4 negeri dan hilang kuasa di ibu negara Malaysia Kuala Lumpur ke dalam tangan pembangkang. Hari ini, Darurat 2021 diisytihar atas nama COVID-19.

Darurat 2021 dan tiga kata kunci

Jika kita meneliti pengumuman Darurat oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin baru-baru ini, walaupun Pandemik COVID-19 adalah perkara pokok, tetapi tiga kata kunci (keyword) utama darurat ini adalah adalah: i. Parlimen tidak bersidang; ii. pilihanraya tidak boleh diadakan; iii. sistem kehakiman akan berjalan seperti biasa.

Dalam erti kata lain, ia berbunyi – anda tidak boleh gulingkan/tukar kerajaan melalui Parlimen atau pilihanraya, manakala kes terhadap Presiden UMNO Zaid Hamidi dan beberapa orang pemimpim UMNO yang lain akan diteruskan.

Jika kita melihat permohonan Muhyiddin Yassin untuk menggunakan Darurat sebelum ini adalah pada 23 Oktober 2020, di mana ia memang berniat untuk menangguhkan Parlimen kerana takut Kerajaannya boleh digulingkan semasa perbahasan Belanjawan. Pada masa itu, DYMM Yang di-Pertuan Agong terpaksa campurtangan dan berkata baginda tidak membenarkan darurat tetapi membuat seruan kepada Ahli-ahli Parlimen untuk menyokong Belanjawan yang amat penting itu. Jadi, motif Muhyiddin Yassin dulu dan sekarang untuk memohon pengisytiharan darurat atas nama COVID-19 adalah untuk menangguhkan Parlimen dan pilihanraya.

Secara perbandingan, cukup jelas dalam mata kita bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama lebih ketat jika dibandingkan dengan Darurat yang kita alami sekarang walaupun nama Darurat bunyinya lebih mengancam.  

Krisis UMNO

Dalam artikel ini, saya menghujahkan bahawa krisis UMNO adalah pendorong atau “pemangkin” (catalyst) untuk Darurat ini. UMNO dalam krisis antara Team A Presiden UMNO yang perlukan Pilihanraya Umum untuk selamatkan diri mereka dan Team B Timbalan Presiden UMNO yang bersama dengan mereka dalam Kabinet Muhyiddin yang memerlukan Mahkamah untuk menjatuhkan hukuman dengan cepat terhadap Ahmad Zahid Hamidi.

Jika Zahid Hamidi dapat dijatuhkan hukuman terlebih dahulu, maka ia bererti beliau tidak boleh menjadi calon PRU dan semestinya tidak boleh menjadi Perdana Menteri jika UMNO menang. Perkara 48 Perlembagaan Perlembagaan mengatakan jika seseorang didenda lebih RM2,000 dan dihukum penjara lebih setahun, maka dia tidak boleh menjadi calon pilihanraya walaupun kes dalam peringkat rayuan.

Jika Zahid Hamidi kalah di mahkamah, maka ia membuka peluang besar kepada pesaingnya dalam UMNO untuk mengambihalih kuasa. Ini kerana dalam UMNO, Presiden Parti amat berkuasa. Siapa yang menjadi Presiden akan mempunyai kuasa untuk menentukan siapa yang menjadi calon PRU dan siapa tidak menjadi calon. Maka jika hendak menjadi calon, baik jangan lawan Presiden Parti.

Jika PRU diadakan sekarang, maka semua bintang di langit menunjukkan bahawa UMNO, dengan kerjasama PAS, akan kembali memerintah. Maka itulah sebabnya bagi Team Zahid, mereka memerlukan pilihanraya sekarang untuk membunuh tiga ekor burung dengan menggunakan satu batu – habiskan musuh Presiden dalam UMNO, ambilalih kuasa Parlimen dan selamatkan diri daripada kes mahkamah.

Bagi PAS, mereka semakin jelas dilihat sebagai Kingmaker, di mana UMNO dan BERSATU saling cuba memikat dan meminang mereka.

Bagi Muhyiddin Yassin dan team yang menentang Zahid dalam UMNO, mereka memerlukan penangguhan pilihanraya dan sistem kehakiman pula terus beroperasi. Misinya cukup jelas. Dua orang adik-beradik, seorang Speaker Parlimen dan seorang Peguam Negara, akan memastikan kerajaan yang sedia ada terus berkuasa; sementara sistem kehakiman akan memastikan misi parti pemerintah itu dilaksanakan.

Darurat ini juga berjaya menghentikan UMNO daripada mengadakan perhimpunan agung tahunan mereka yang dijadualkan pada 30 dan 31 Januari ini. Salah satu usul utama yang akan diluluskan ialah usul untuk menamatkan kerjasama dengan parti serpihan mereka, iaitu Parti Bersatu. Sejarah UMNO menunjukkan bahawa mereka tidak ada simpati terhadap parti serpihan, baik Semangat 46, Parti Keadilan mahupun Parti Bersatu. 

Usul Perhimpunan Agung UMNO tersebut sudah diterima di peringkat Majlis Tertinggi, namun perlu disahkan di peringkat perhimpunan agung. Ini merupakan satu perancangan yang cukup teratur oleh UMNO Najib-Zahid untuk menggulingkan Kerajaan Muhyiddin Yassin di mana mereka sekarang pun sudah berjaya menghilangkan majoriti Parti Pemerintah dalam Parlimen. Tindakan Tengku Razaleigh Hamzah (Ahli Parlimen Gua Musang), Ahmad Jazlan Yaakub (Machang) dan Nazri Aziz (Padang Rengas) yang menarik balik sokongan mereka kepada Muhyiddin, menyebabkan Kerajaan Muhyiddin Yassin hanya mempunyai 108 kerusi sahaja dalam Parlimen. Jika kita melihat pengalaman apa yang berlaku di negeri Perak; begitu senang Kerajaan Negeri Perak dapat digulingkan oleh UMNO, maka menggulingkan Kerajaan Muhyiddin bukan sesuatu yang mustahil.

UMNO tetap berkuasa

Bagi Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan (PH), mereka hanya boleh berkuasa dengan sokongan ahli UMNO, namun kuasa yang dinikmati mereka hanyalah sekadar sejauh mana ahli UMNO hendak membawa mereka. Situasi Anwar sedih, kerana dengan sokongan UMNO, menjadikannya seperti “masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak”.

Walau bagaimanapun, ideologi UMNO tetap berpengaruh. Siapa sebenarnya UMNO? Serpihan yang keluar daripada Biro Agama UMNO pada tahun 1951 membentuk PAS, kumpulan yang melawan UMNO pada tahun 1998 membentuk Parti Keadilan, mereka yang keluar pada tahun 2016 membentuk Parti BERSATU. Maka sama ada UMNO menang atau kalah dalam PRU, ideologi dan DNA UMNO tetap hidup dengan penjelmaan nama dan gabungan baru, baik melalui BN, PN atau PH.

COVID-19 dan norma baru politik

COVID-19 mungkin hiasan untuk Darurat ini diisytihar. Namun, pandemik COVID-19 adalah benar – real – dari segi ancaman kepada kesihatan dan ekonomi rakyat negara ini. Rakyat akan berdepan dengan PRU pada masa depan dan seharusnya mereka memilih sesebuah kerajaan yang dapat menyelesaikan masalah utama mereka, iaitu jaminan kerja, jaminan kesihatan dan jaminan tempat tinggal yang munasabah.

Apabila Perdana Menteri mengumumkan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI), saya menantikan pengumuman bahawa gaji Menteri, CEO GLC dan Ahli Parlimen akan dipotong untuk membantu tabung COVID-19, namun pengumuman ini tidak kedengaran kerana mereka memerlukan wang ini untuk membeli undi dalam PRU yang akan diadakan tidak lama lagi. Kerajaan berhujah bahawa mereka memerlukan Darurat untuk mendapatkan bantuan daripada hospital swasta padahal majoriti hospital swasta besar dipegang oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Untuk makluman semua, IJN, Subang Jaya Medical Centre, Pantai Hospital, Prince Court Medical Centre, Hospital Gleneagles dan KPJ adalah antara hospital milik GLC.

Pastikan kita jaga kita. COVID-19 membawa norma baru. COVID-19 mengubah cara kita hidup dan berinteraksi. Adakah COVID-19 mampu menukar norma baru politik Malaysia yang didominasi UMNO?

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *