oleh Dr. Jeyakumar Devaraj

Ianya cukup jelas bahawa kita memerlukan vaksin COVID-19 bagi melawan pandemik koronavirus. Jika sejumlah besar populasi kita diimunkan secara signifikan – biarpun buat hanya sementara waktu atau untuk tempoh selama setahun atau dua – pastinya kadar jangkitan koronavirus akan menurun. Sekaligus, bermakna yang kita dapat mengurangkan tahap penjarakan sosial, serta lebih ramai warga dapat kembali bekerja dan berbisnes, dan ekonomi kita akan mula pulih.

Hampir 60 jenis vaksin COVID-19 sedang dibangunkan, serta ada beberapa jenis yang sudah bersedia untuk digunakan secara meluas. Namun, ianya adalah penting untuk melakukannya dengan betul dan memastikan “penawarnya” ini tidak memberi permasalahan kesihatan yang baru.

Vaksin berfungsi dengan memperkenalkan protein virus kepada subjek bagi “melatih” sistem imun sesuatu subjek dalam membangunkan antibodi yang dapat meneutralkan virus sebenar jika dan apabila virus menyerang subjek tersebut.

Kita dapat membahagikan vaksin COVID-19 kepada dua kelompok utama:

  • Vaksin yang menggunapakai virus COVID-19 tidak aktif atau protein COVID-19 yang dibuat di makmal bagi merangsang respon keimunan.
  • Vaksin yang menggunapakai teknologi baru yang membuatkan tubuh subjek sendiri untuk mengeluarkan protein COVID-19 yang kemudiannya merangsang sistem keimunan bagi menghasilkan antibodi yang meneutralkannya.

Vaksin “teknologi lama”

Vaksin COVID-19 daripada kelompok pertama bergantung kepada teknologi yang lama dan teruji. Ianya sudah digunapakai sejak 50 tahun dahulu lagi bagi menghasilkan vaksin bagi pelbagai jenis penyakit.

Komuniti perubatan sudah biasa dengan potensi kekurangan daripada vaksin kelompok pertama ini. Ia termasuklah penyahaktifan yang tidak mencukupi untuk virus, yang bermaksud bahawa virus masih mampu untuk bereplikasi di dalam tubuh subjek.

Kesan sampingan mungkin berlaku oleh kerana bahan kimia yang digunakan untuk menyahaktifkan virus ataupun oleh sebab beberapa jenis adjuvan yang digunakan bagi menggalakkan reaksi tubuh badan terhadap protein virus. (Aluminium merupakan salah satu adjuvan yang dipakai bagi “merengsa” sistem keimunan.)

Vaksin yang lebih canggih

Kelompok kedua vaksin COVID-19 pula mengandungi RNA atau DNA yang mengarahkan sel kita untuk menghasilkan protein pepaku COVID-19 apabila bahan genetik ini disuntik. Ianya merupakan sebuah pendekatan baru dan belum lagi digunakan di dalam mana-mana pengeluaran bagi kempen pemvaksinan secara besar-besaran.

Pendekatan “canggih” ini melibatkan suntikan kod genetik bagi protein pepaku COVID-19 ke dalam tubuh subjek. Kod genetik ini memasuki sel subjek dan “memperdayakan” ribosom subjek bagi menghasilkan ribuan salinan protein pepaku COVID-19. Ribosom merupakan organel di dalam sel kita yang menghasilkan protein, seperti yang diarahkan oleh sel nukleus. Nukleus menghantar RNA pengutus kepada ribosom untuk menyatakan jenis protein apa yang perlu dihasilkan.

Vaksin-vaksin COVID-19 yang moden ini bergantung kepada RNA pengutus yang mengekodkan protein COVID-19.

Di dalam vaksin Pfizer dan Moderna, RNA pengutus (mRNA) yang mengekodkan protein pepaku COVID-19 diletakkan ke dalam kapsul fosfolipid yang sangat kecil, dan kebanyakan kapsul inilah yang akan disuntik kepada subjek. Kapsul inilah yang akan beredar di dalam darah dan memasuki sesetengah sel di dalam badan di mana mRNA mengarahkan ribosom sel ini untuk menghasilkan protein pepaku COVID-19.

Sesetengah molekul protein pepaku ini dikeluarkan dari sel ke dalam saluran darah serta menangkap perhatian sistem keimunan, yang kemudiannya menghasilkan antibodi terhadap protein pepaku ini. Protein pepaku ini yang keluar dari sel yang “dijangkiti” ini juga mendorong limfosit pemusnah untuk menyerang dan membunuh sel-sel itu.

Vaksin moden ini mungkin lebih efektif berbanding vaksin yang tradisional kerana ia mencetuskan lebih banyak respon sel-perantara (limfosit pemusnah itu). Namun, bahagian inilah yang bermasalah dengan vaksin moden. Vaksin moden ini melibatkan pemusnahan sesetengah sel subjek. Adakah pihak pemaju vaksin ini pasti bahawa kapsul fosfolipid tidak akan memasuki sel saraf atau sel buah pinggang? Bahagian ini merupakan tisu di dalam badan kita yang tidak mampu pulih sendiri jika ianya dirosakkan.

Kita juga tidak tahu kesan jangka masa panjang akibat daripada pengujaan sistem keimunan tubuh kita yang kemudiannya mendedahkan sistem itu kepada antigen selular yang dibebaskan daripada pemusnahan sel-sel yang “dijangkiti” RNA. Apakah ianya akan mencetuskan penyakit auto-imun kepada sebahagian warga yang terdedah?

Penyakit auto-imun merupakan keadaan di mana sistem keimunan tubuh badan kita mula menyerang sebahagian komponen badan. Artritis rheumatoid merupakan salah satu contoh penyakit auto-imun, dan kita masih tidak memahami mengapa ianya memberi kesan kepada sesetengah orang dan apa yang mencetuskannya.

Apakah vaksin COVID-19 yang bergantung kepada penghasilan protein virus di dalam sel kita sendiri bakal mencetuskan penyakit auto-imun bagi mereka yang berisiko untuk dijangkitinya? Kita tidak akan tahu. Ianya mungkin tidak akan terjadi, namun bukankah kita sepatutnya memastikan bahawa ianya tidak akan memberi kesan sebelum kita menyuntik vaksin ini kepada jutaan orang rakyat?

Vaksin-vaksin dihasilkan Oxford-AstraZeneca dan Sputnik V menggunakan strategi yang berbeza untuk menghasilkan kod genetik COVID-19 bagi protein pepaku kepada sel subjek. Vaksin-vaksin ini mengubah kod COVID-19 kepada DNA, di mana ianya lebih stabil dan tidak memerlukan penyimpanan terlalu dingin. Kemudian DNA itu diletakkan ke dalam adenovirus yang diubahsuai, di mana ianya tidak mampu untuk direplikasi di dalam tubuh subjek. Adenovirus yang diubahsuai itu menghantar kod DNA terus ke sel subjek. Oleh kerana adenovirus menyebabkan jangkitan saluran pernafasan, vaksin ini akan menjangkiti tisu pernafasan serta kurang memberi kesan kepada sel buah pinggang serta saraf. Namun, oleh kerana vaksin ini menggunakan DNA untuk mengekodkan protein pepaku, DNA yang dihasilkan vaksin harus memasuki nukleus sel subjek bagi menghasilkan RNA pengutus yang dapat mengarahkan ribosom subjek untuk menghasilkan protein pepaku.

Memasukkan DNA asing sewenang-wenang ke dalam nukleus sel manusia adalah sesuatu yang kita jangan ambil mudah. Kita tahu bahawa dalam jangkitan virus tertentu, DNA virus menjadi sebahagian daripada kromosom manusia. Inilah yang berlaku bagi jangkitan hepatitis B serta HIV.

Adakah kita pasti bahawa ianya tidak akan berlaku, barangkali dalam peratusan kes yang kecil, melibatkan vaksin COVID-19 yang menggunakan DNA? Apakah gen virus ini akan berinteraksi dengan gen lain di dalam genom kita dan sekaligus mengakibatkan masalah kesihatan? Mungkin tidak, namun adakah kita perlu mengambil risiko ini?

Melihat kepada alternatif

Kita perlu jelas di sini. Saya bukanlah seorang yang anti-vaksin. Vaksin memainkan peranan yang besar dalam mengawal penyakit berjangkit sejak 50 tahun dahulu, dan pasti ianya akan memainkan peranan yang besar pada masa hadapan.

Persoalan yang penting adalah, adakah kita memerlukan langkah terdesak seperti menggunakan vaksin-vaksin RNA dan DNA yang baru di tahap skala global sebelum meneliti dengan cermat bahawa ianya tidak memberikan kesan negatif yang tidak dijangkakan untuk jangka masa sederhana dan panjang?

Lebih-lebih lagi, kita ada alternatif yang lebih efektif. Beberapa vaksin COVID-19 yang sedang dibangunkan adalah yang menggunakan teknologi vaksin tradisional. Vaksin “teknologi lama” ini tidak bergantung kepada RNA atau DNA serta tidak melibatkan sel subjek di dalam generasi antigen virus.

Vaksin “teknologi lama” ini merangkumi protein virus COVID-19 yang boleh disuntik terus ke dalam tubuh badan subjek. Ini termasuklah CoronaVac, vaksin Zhifei serta Novavax. Juga terdapat beberapa vaksin lain juga.

Mengapa tidak menggunakan vaksin teknologi lama bagi mengawal pandemik COVID-19? Mengapa terus ke teknologi moden yang masih belum dinilai sebetulnya serta mempunyai kemungkinan kesan sampingan melibatkan tempoh jangka masa sederhana dan panjang?

Jangan jadi naif

Gesaan oleh banyak pengilang vaksin supaya dimasukkan klausa tanggung rugi ke dalam perjanjian dengan pihak kerajaan adalah bukti jelas bahawa pengilang sendiri tidak dapat menolak kemungkinan wujudnya kesan sampingan jangka masa panjang dan sederhana penggunaan vaksin.

Kita akan menjadi sungguh naif jika kita tidak sedar akan motif keuntungan apabila menilai strategi vaksin negara kita. Pengilang vaksin berpeluang untuk memperoleh keuntungan berlipat ganda jika vaksin mereka digunakan dalam skala global. Dengan klausa tanggung rugi dimasukkan, mereka akan dilindungi daripada sebarang tindakan undang-undang jika sesuatu yang buruk berlaku.

Kita harus arif serta mengambil kira pengaruh besar syarikat farmaseutikal yang gergasi terhadap kerajaan serta badan kawal selia di Dunia Barat.

Kita juga perlu mengambil kira faktor sikap berat sebelah yang wujud dalam media Barat yang sering melaporkan dengan prejudis berita mengenai vaksin COVID-19 yang bukan datang dari Barat.

Sebuah langkah cermat

Malaysia bukanlah berada dalam keadaan seburuk Amerika Syarikat atau negara Kesatuan Eropah di mana kegagalan untuk menjalankan langkah penjarakan fizikal sekaligus membawa kepada tahap kadar jangkitan dan kemasukan hospital yang mengerikan. Walaupun keadaan kita juga tidaklah begitu baik dengan kes baru setiap hari yang mencecah 2,000 setiap hari, namun kadar jangkitan di negara kita masih rendah berbanding negara lain.

Negara kita tidak mengalami ancaman kecemasan kesihatan keterlaluan yang melemaskan perkhidmatan kesihatan kita akibat daripada wabak COVID-19, seperti  yang berlaku di beberapa buah negara Barat. Oleh itu, kita tidak perlu mengambil langkah yang terdesak.

Berdasarkan pertimbangan yang dinyatakan di atas, saya bersama dengan beberapa orang teman ingin mencadangkan supaya:

  • Bergantung kepada vaksin “teknologi lama” yang menyuntik protein virus ke dalam subjek. Jangan bereksperimen dengan populasi kita dengan memperkenalkan vaksin “canggih” yang menggunakan teknologi RNA atau DNA, di mana kesan buruk jangka masa sederhana dan panjangnya masih belum diketahui sekarang.
  • Berikan vaksin “teknologi lama” kepada kelompok berisiko tinggi terlebih dahulu – misalnya, pekerja perubatan, petugas barisan hadapan, warga emas, warga dengan komorbiditi (mempunyai lain-lain penyakit) – dan kemudiannya kepada semua warga. Namun, jangan pula jadikan ianya mandatori bagi mana-mana kelompok. Biarkan rakyat membuat keputusan berdasarkan pengetahuan mereka sendiri.
  • Berikan maklumat yang jelas kepada orang awam. Semua vaksin mempunyai kesan sampingan dan semua orang awam mempunyai hak untuk mengetahuinya. Melihat kepada ketidakpercayaan terhadap pihak berkuasa di negara-negara Barat, pastinya keraguan ini akan sampai ke Malaysia juga. Langkah terbaik untuk menangani rasa tidak percaya ini adalah bersikap jujur dengan rakyat kita sendiri. Pihak berkuasa perlu memberitahu apa yang mereka tahu, serta apa yang mereka tidak tahu tentang vaksin-vaksin itu.
  • Sediakan vaksin “teknologi lama” secara percuma kepada semua rakyat.
  • Jalankan pemantauan pasca pemvaksinan COVID-19 bagi mendapatkan anggaran tepat bagi simptom serta kesan sampingan yang timbil daripada penggunaan vaksin. Kongsikan dapatan ini dengan rakyat supaya mereka boleh membuat pilihan tepat berkaitan dengan pemvaksinan.

Kementerian Kesihatan sekarang ini sedang menjalankan sebuah tinjauan pendapat bagi mendapatkan pandangan serta sikap populasi rakyat Malaysia berkaitan vaksin COVID-19.

Inilah peluangnya bagi kumpulan masyarakat sivil dan individu yang prihatin untuk menyuarakan dan mendesak pendekatan yang lebih munasabah serta cermat untuk proses pemvaksinan yang meluas kepada seluruh warga Malaysia.

==========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Tulisan ini asalnya dalam Bahasa Inggeris dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia oleh Zikri Rahman.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s