Pada ketika Kongres Amerika Syarikat (AS) mengadakan pengiraan undi badan perwakilan pengundi yang bersifat upacara beristiadat untuk memuktamadkan keputusan Pilihanraya Presiden AS, ribuan penyokong Donald Trump telah berhimpun di Washington DC pada 6 Januari 2021 dalam cubaan terdesak golongan pelampau kanan untuk “mengekalkan” Trump sebagai Presiden AS. Ratusan orang penyokong Trump yang merusuh dan bertindak ganas telah menyerbu bangunan Kapitol, iaitu tempat persidangan Kongres AS.

(foto oleh Saul Loeb / AFP)

Rusuhan dan serbuan terhadap bangunan Kapitol yang dilakukan oleh penyokong-penyokong Trump ini terjadi selepas Trump menyeru dalam ucapannya untuk berhimpun demi mencabar keputusan Pilihanraya Presiden. Trump juga mengatakan bahawa Naib Presiden AS Mike Pence yang juga merupakan Presiden kepada Senat AS patut menolak pengiktirafan Joe Biden sebagai pemenang Pilihanraya Presiden AS. Mike Pence telah menyatakan bahawa dia tidak akan membantah kemenangan Biden. Trump juga pernah mengumumkan seawal 18 Disember 2020, bahawa satu perhimpunan besar-besaran akan diadakan di Washington DC pada 6 Januari 2021. Ribuan penyokong Trump telah menyahut seruan pemimpin mereka untuk berhimpun di Washington DC dalam cubaan terdesak membatalkan keputusan Pilihanraya Presiden yang menyaksikan kekalahan Trump dalam tangan Biden.

Penyokong-penyokong Trump yang ganas telah menyerbu bangunan Kapitol, menembusi kawalan keselamatan di situ dan sehingga memasuki dewan persidangan Senat. Pencerobohan penyokong-penyokong Trump ke dalam bangunan Kapitol ini telah memaksa Dewan Perwakilan dan Senat untuk memberhentikan persidangan yang sedang berjalan pada ketika itu. Seorang penceroboh ke dalam bangunan Kapitol telah ditembak mati, sementara tiga orang lagi mati kerana kecemasan perubatan semasa pencerobohan bangunan Kapitol. Pihak penguatkuasa juga menemui tiga alat letupan reka ganti: satu di dalam perkarangan bangunan Kapitol, di samping masing-masing satu di pejabat Jawatankuasa Kebangsaan Parti Republikan dan pejabat Jawatankuasa Kebangsaan Parti Demokratik yang terletak berdekatan dengan Kapitol.

Kedua-dua dewan Kongres AS mengadakan sesi bersama pada 6 Januari 2021, untuk memuktamadkan keputusan undian badan perwakilan pengundi. Proses yang bertujuan untuk mengira undi badan perwakilan pengundi yang dibuang pada 14 Disember 2020 oleh 538 orang perwakilan pengundi dari semua negeri dan wilayah ibu negara AS itu, merupakan satu istiadat yang diperlukan mengikut Perlembagaan AS untuk memuktamadkan keputusan Pilihanraya Presiden.

Pilihanraya Presiden AS telah diadakan pada 3 November 2020, dengan Joe Biden daripada Parti Demokratik berjaya mengalahkan penyandang jawatan Presiden daripada Parti Republikan, Donald Trump. Joe Biden telah memenangi sebanyak 306 undi badan perwakilan pengundi, sementara Trump mendapat 232 undi badan perwakilan pengundi. Dari segi undi popular, Biden telah meraih sebanyak 81,268,867 undi (bersamaan 51.31% daripada jumlah undi popular) berbanding 74,216,747 undi (46.86%) yang diperoleh Trump. Kedua-dua Biden dan Trump masing-masing meraih jumlah undi yang terbanyak dan kedua terbanyak dalam sejarah AS berbanding calon-calon Pilihanraya Presiden sebelum ini. Peratusan keluar mengundi dalam Pilihanraya Presiden AS tahun 2020 yang mencecah 66.20%, juga mencatatkan rekod yang tertinggi sejak tahun 1900.

Trump yang enggan mengaku kalah telah cuba sedaya upaya untuk membatalkan keputusan Pilihanraya Presiden AS. Dia telah menghasut penyokong-penyokongnya dengan tuduhan bahawa pilihanraya telah “dicuri” oleh Parti Demokratik. Trump juga menyalahkan media massa yang menyebarkan “berita palsu” sedangnya dia sendiri dan penyokongnya begitu ghairah menyebarkan berita palsu mengenai pilihanraya dalam media sosial. Sepanjang dua bulan yang lalu selepas Pilihanraya Presiden, Trump dan sekutunya telah mencuba pelbagai cara untuk membuktikan bahawa wujudnya penyelewengan dalam pilihanraya tetapi mereka gagal berbuat demikian.

Seruan Trump untuk tidak mengiktiraf keputusan pilihanraya telah ditolak oleh kebanyakan pemimpin Parti Republikan, termasuk Naib Presiden dalam kabinetnya, Mike Pence, yang diarahkan oleh Trump untuk menolak keputusan pilihanraya walaupun dia tidak mempunyai kuasa sebenar untuk berbuat demikian. Namun, masih terdapat sesetengah perwakilan Parti Republikan dalam Kongres AS yang berdegil untuk menyokong pendirian Trump yang mempertikaikan keputusan Pilihanraya Presiden.

Keterdesakan Trump untuk mengekalkan kekuasaannya sebagai Presiden AS begitu menonjol apabila dia cuba mengarahkan Brad Raffensperger, Setiausaha Negeri Georgia, untuk mencari undi baginya demi mengubah keputusan pilihanraya di negeri itu yang menyaksikan kekalahannya. Perbualan atas talian tersebut telah didedahkan oleh pejabat Raffensperger selepas Trump memaki hamun terhadapnya kerana membenarkan penyelewengan pengundi, sesuatu yang tidak pernah dibuktikan benar. Walaupun Raffensperger ialah seorang ahli Parti Republikan dan Kerajaan Negeri Georgia juga dikuasai oleh Parti Republikan, tetapi ini tidak menghalang penyokong-penyokong Trump daripada menyerang mereka.

Trump juga membuat panggilan atas talian yang serupa kepada pegawai-pegawai Kerajaan Negeri di beberapa buah negeri penentu, seperti Pennsylvania, dengan desakan untuk mengira semula atau menolak sepenuhnya keputusan Pilihanraya Presiden.

(foto oleh Roberto Schmidt / AFP / Getty Images)

Setelah segala cubaan yang penuh dengan skandal gagal untuk membatalkan keputusan pilihanraya yang tidak berpihak kepada Trump, ribuan penyokong Trump yang berhaluan pelampau kanan berhimpun di Washington DC untuk mencabar kemenangan Biden, malah melakukan rusuhan. Rusuhan dan serbuan ke atas bangunan Kapitol, merupakan jelmaan krisis politik yang mendalam di AS pada masa kini.

Negara AS yang merupakan kuasa imperialis yang sentiasa menggunakan taktik-taktik kotor seperti kudeta untuk menjatuhkan kerajaan yang tidak sehaluan dengannya, sekarang ini sedang menerima “balasan” dengan institusi politik yang tertingginya diserang oleh golongan pelampau yang ingin mempertahankan kekuasaan seorang Presiden yang telah menyebar kebencian sepanjang 4 tahun yang lalu semasa dia berkuasa. Krisis politik ini akan berlanjutan selepas ini kerana golongan yang terpengaruh oleh fahaman pelampau kanan yang mendukung politikus seperti Trump ini masih berjumlah besar dan mereka akan terus menyebarkan pandangan yang penuh dengan prejudis serta kejahilan.

One thought on “AS: Penyokong Trump serbu bangunan Kapitol

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *