Rakyat sedunia telah diancam dan dihantui pandemik koronavirus sepanjang tahun 2020. Penyakit yang pada awalnya ditemui di bandaraya Wuhan, China, pada bulan Disember 2019, telah menular ke seluruh dunia dan membawa impak yang amat hebat kepada masyarakat sedunia. Pada penghujung tahun 2020, angka kes jangkitan COVID-19 yang terkumpul sudahpun melebihi 82 juta, sementara angka kes kematian mencecah 1.8 juta. Negara Malaysia juga tidak dapat berkecuali daripada pandemik yang paling teruk pada zaman kita ini, dengan angka jangkitan terkumpul melebihi 113,000 dan terdapat 471 kes kematian setakat penghujung tahun 2020. Apabila kita melangkah masuk ke dalam tahun 2021, ancaman wabak yang disebabkan oleh virus SARS-CoV-2 ini masih ketara walaupun vaksin untuk memberi keimunan perolehan terhadap COVID-19 dijangka akan dapat dibekalkan secara meluas kepada penduduk dunia tidak lama lagi.
Selain ancaman terhadap kesihatan rakyat sedunia, pandemik koronavirus juga menjadi pemangkin kepada krisis ekonomi sedunia yang memberi impak yang besar kepada banyak sektor, mencetuskan kemelesetan ekonomi yang dikatakan paling teruk dalam sejarah sejak Zaman Meleset 1930-an. Krisis ekonomi secara kitaran wujud dalam sistem kapitalis walaupun dalam keadaan tanpa berlakunya apa-apa pandemik, dan ekonomi global sudah pun menunjukkan gejala menuju ke arah kemurungan yang baru sebelum berlakunya pandemik COVID-19, tetapi pandemik COVID-19 memburukkan lagi krisis ekonomi kapitalis sedunia. Rakyat biasa yang paling terkesan dan terpaksa menanggung impak yang besar akibat daripada krisis ekonomi kapitalis. Kemelesetan ekonomi mewujudkan pengangguran dalam jumlah yang besar di banyak negara, menyebabkan keadaan ekonomi semakin merudum lagi sekiranya kerajaan tidak mencampurtangan secara aktif.
Penularan wabak koronavirus dan kemelesetan ekonomi yang melanda dunia kita hari ini mendedahkan kelemahan dan kepincangan yang serius dalam sistem kapitalis global. Krisis terbaru ini menunjukkan bahawa hanya dasar kerajaan yang mengutamakan kepentingan rakyat biasa (dengan memperuntukkan perkhidmatan kesihatan awam yang sempurna, jaminan perlindungan sosial yang menyeluruh dan ekonomi yang berfungsi untuk kesejahteraan rakyat bukannya keuntungan korporat), baru dapat menyelamatkan masyarakat kita daripada kemelut krisis yang mendalam ini.
Namun, banyak kerajaan yang masih berjinak dengan sistem kapitalis dan berfungsi untuk melindungi kepentingan golongan elit pemerintah, tidak mengendahkan masalah sebenar yang dihadapi oleh rakyat biasa. Sebaliknya mereka hanya hendak menyelamatkan keuntungan korporat dan mengembalikan keadaan “normal” di mana golongan kapitalis mahakaya terus menjadi lebih kaya melalui eksploitasi terhadap golongan buruh bawahan yang semakin miskin.
Malah, kita juga dapat melihat bagaimana sesetengah golongan kapitalis bukan sahaja tidak terkesan akibat daripada krisis ekonomi yang disebabkan oleh kapitalis itu sendiri, sebaliknya mengaut keuntungan lumayan daripada krisis yang menjahanamkan kehidupan jutaan rakyat bawahan. Syarikat pembuat ubat multinasional yang besar, seperti Pfizer dan Moderna, sedang mengaut keuntungan lumayan bagaikan mendapat durian runtuh daripada vaksin yang dikeluarkan oleh mereka. Jeff Bezos, pemilik syarikat teknologi Amazon yang merupakan orang terkaya di dunia pada hari ini, telah menambahkan kekayaannya sebanyak 79.8% semasa tempoh berlakunya pandemik koronavirus pada tahun 2020 dan anggaran kekayaannya sudah lebihi USD 200 bilion; sementara Elon Musk, orang yang kedua kaya di dunia hari ini yang tidak malu menyatakan sokongannya terhadap kudeta yang anti-demokratik di Bolivia sebelum ini, melipatgandakan kekayaannya sebanyak 277.4% dalam tempoh beberapa bulan semasa pandemik koronavirus pada tahun 2020. Walaupun syarikat Amazon milik Jeff Bezos mencatatkan peningkatan keuntungan sebanyak 200% pada suku ketiga tahun 2020 berbanding tempoh yang sama pada tahun 2019, tetapi pekerja-pekerja Amazon di seluruh dunia masih menghadapi pelbagai masalah pencabulan hak pekerja, gaji rendah dan pengorbanan mereka tidak dihargai meskipun mempertaruhkan nyawa mereka di barisan hadapan untuk memastikan masyarakat kita terus berfungsi semasa pandemik.
Dalam keadaan masyarakat kita dilanda dengan krisis yang mendalam, golongan elit pemerintah telah menggunakan pelbagai cara untuk mengekalkan kekuasaan mereka daripada dicabar oleh rakyat biasa yang sudah muak dengan permainan politik mereka. Antaranya ada yang menggunakan alasan mencegah penularan wabak koronavirus untuk melaksanakan undang-undang yang menyekat kebebasan sivil dan mempertingkatkan pengawasan terhadap aktiviti politik rakyat khususnya mereka yang mengkritik golongan berkuasa; adanya pula yang mengapi-apikan sentimen perkauman dan xenofobia (ketakutan terhadap golongan migran) untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada permasalahan pokok.
Walau bagaimanapun, kita juga dapat saksikan bahawa dalam keadaan dunia yang murung di bawah bayangan ancaman pandemik dan krisis yang teruk, rakyat di merata tempat masih gigih berjuang mempertahankan hak mereka dan menuntut pembaharuan demi sebuah masyarakat yang lebih baik. Dari Thailand ke Nigeria, dari India ke Colombia, dari Amerika Syarikat ke Indonesia, anak-anak muda, pekerja-pekerja, petani-petani, golongan miskin bandar, masyarakat sivil dan banyak lagi rakyat yang tertindas, terus beraksi di jalanan untuk menentang keganasan sistem, melawan ketidakadilan sosial, mencabar kekuasaan golongan pemerintah dan memperjuangkan perubahan masyarakat yang benar-benar membawa makna pembebasan kepada rakyat.
Di Malaysia, rakyat marhaen juga tidak ketinggalan dalam memperjuangkan nasib mereka, seperti perjuangan kesatuan sekerja yang dianggotai pekerja-pekerja pembersihan hospital dan usaha Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) untuk menuntut penghapusan sistem kontrak penyumberan luar perkhidmatan sokongan yang memiskinkan lagi pekerja miskin. Sementara itu, Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah mengemukakan satu pelan tindakan nasional untuk menangani kegawatan ekonomi negara akibat krisis wabak COVID-19, yang merangkumi cadangan seperti jaminan bekalan makanan, pelaksanaan skim Jaminan Pendapatan Asas untuk mereka yang kehilangan punca pendapatan, penyediaan subsidi sewa, peningkatan kapasiti sistem perkhidmatan kesihatan, jaminan keselamatan masyarakat awam daripada jangkitan COVID-19, pengambilalihan kilang-kilang yang tertutup oleh kerajaan untuk pengeluaran barangan keperluan, pengwujudkan peluang pekerjaan melalui pengalihan sumber negara ke dalam sektor pemulihan alam sekitar dan usaha membangunkan amalan demokrasi di peringkat akar umbi.
Cabaran yang bakal kita hadapi dalam tahun 2021 pastinya tidak akan kurang hebatnya berbanding tahun 2020. Kita tidak akan dapat mengatasi cabaran ini tanpa kesedaran yang jelas bahawa sistem sosio-ekonomi kapitalis itu memang bermasalah dan perlunya alternatif baru yang berlandaskan solidariti dan kesejahteraan bersama rakyat terbanyak, di samping membangunkan kuasa rakyat dari bawah yang beraspirasikan semangat pembebasan, demokrasi, kesamarataan dan persaudaraan sejagat. Pada ketika kita perlu meneruskan amalan penjarakan fizikal untuk mencegah penularan koronavirus tanpa mengetepikan solidariti sosial, kita juga harus mengamalkan penjarakan secara dasar dan ideologi sekurang-kurangnya diameter sebuah planet Bumi daripada kapitalisme.
Selamat menyambut Tahun Baru 2021 dan teruskanlah perjuangan demi masa hadapan yang lebih aman damai, selamat, inklusif, sejahtera, mampan, bebas, demokratik dan adil!
Bacaan lanjut:
Imbas kembali 2020: Perjuangan rakyat dan PSM
Imbas kembali 2020 (Antarabangsa): Pandemik koronavirus dan perjuangan masyarakat yang berterusan