oleh S. Arutchelvan

Cadangan Tengku Razaleigh Hamzah untuk memberikan kerakyatan Melayu kepada semua kaum adalah satu idea yang memang hebat dan wajar dibincang jika kita hendak menguburkan masalah perkauman yang nampaknya semakin menebal di negara kita walaupun sudah merdeka lebih 60 tahun.

Idea hebat ini pernah diusulkan oleh PUTERA-AMCJA pada tahun 1947, dan andaikata jika Perlembagaan Rakyat pada masa itu menjadi Perlembagaan kita, maka hari ini kita tidak akan ada masalah polarisasi perkauman dan perpaduan rapuh antara orang Melayu, Cina dan India serta isu Bumiputera dan bukan Bumiputera.

Perlembagaan Rakyat yang dikemukakan oleh PUTERA-AMCJA, telah mengusulkan bahawa kerakyatan Malaya pada masa itu dibuka kepada semua kaum dengan syarat semua menerima konsep setiap warganegara Tanah Melayu dipanggil sebagai “Melayu”. Antara cadangan Perlembagaan Rakyat pada masa itu adalah satu “Majlis Kaum” ditubuhkan untuk mencegah diskriminasi kaum dalam undang-undang.

Namun idea ini bukannya hanya dilahirkan dan dikembangkan oleh tokoh nasionalis kiri seperti Dr. Burhanuddin al-Helmy sahaja, tetapi adalah juga merupakan pemikiran tokoh-tokoh kiri yang lain. Ia merupakan kompromi yang dicapai bersama dengan Tan Cheng Lock dan juga disokong oleh parti bukan Melayu seperti MIC pada masa itu.

Jika kita meninjau pada ketika itu, terdapat dua isu menjadi titik pertelingkahan, iaitu isu soal kerakyatan (jus soli) yang disokong oleh AMCJA tetapi PUTERA berkeberatan untuk berbuat demikian, dan begitu juga dengan isu nama kerakyatan di mana PUTERA mengusulkan semua warganegara dikenali sebagai Melayu sementara AMCJA pula mengusulkan nama Malayan.

Namun atas kebijaksanaan Dr. Burhanuddin a-Helmy, Ahmad Boestamam dan Tan Cheng Lock, mereka berjaya mencapai satu kompromi di mana kerakyatan dibuka kepada semua dengan syarat semua menerima konsep kewarganegaraan dikenali sebagai Melayu. Yang menarik juga adalah adalah gabungan bukan Melayu pada masa itu, iaitu AMCJA, mengusulkan dalam dokumen 10-prinsip mengenai agama Islam dan adat perlu dibawa orang Melayu sendiri serta perhatian khas harus diberi kepada kemajuan orang Melayu.

Dengan kompromi dan tolak ansur, mereka berjaya menyelesaikan satu isu perkauman dengan cara yang amat bijak sekali. Penyelesaian mereka bukannya memecahkan masyarakat kepada dua golongan tetapi mencari penyatuan bersama.      

Akan tetapi, pada masa itu, pihak penjajah British lebih suka kepada Perlembagaan Persekutuan yang yang disokong oleh UMNO. Saya berpendapat bahawa, pihak yang akan memberikan tentangan paling hebat terhadap cadangan Tengku Razaleigh ini akan datang daripada golongan UMNO sendiri. Contohnya, Presiden Pertama UMNO, Onn Jaafar, terpaksa berundur kerana idea untuk satu parti berbilang kaum ditolak oleh UMNO. Begitu juga, hari ini Tun Mahathir mengatakan Anwar tidak boleh menjadi Pertama Menteri kerana parti yang diterajuinya adalah parti pelbagai kaum.

Dalam situasi hari ini, kekangan akan datang daripada parti perkauman dan keagamaan, kerana bagi mereka, ia akan mengancam agenda perjuangan identiti mereka. Satu lagi masalah adalah semasa PUTERA-AMCJA mengusulkan idea ini, Malaysia belum lagi wujud dan nama negara pada masa itu ialah Tanah Melayu atau Malaya. Maka, identiti kerakyataan memangnya adalah Melayu.

Hari ini, isu Bumiputera dan Bukan Bumiputera membentuk tembok perkauman yang memisahkan rakyat. Contohnya orang beretnik India dan Cina di Malaysia, akan mengatakan dalam pertuturan harian semasa di dalam negara bahawa mereka adalah orang Cina dan India, tetapi apabila di luar negara, mereka dengan megahnya akan berkata mereka adalah warga Malaysia.   

Maka pada hari ini, ia memerlukan satu kompromi di kedua-dua pihak. Orang bukan Melayu harus berani mengugurkan identiti kaum masing-masing, manakala orang Melayu juga harus bersedia mengugurkan identiti mereka sebagai Bumiputera – iaitu satu istilah yang tidak wujud semasa negara kita mencapai kemerdekaan dan pembentukan negara baharu.

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *