Joe Biden bakal menjadi Presiden Amerika Syarikat yang ke-46, setelah mengalahkan penyandang jawatan Presiden AS Donald Trump dalam satu persaingan pilihanraya yang sengit. Donald Trump yang enggan mengaku kekalahan mengatakan bahawa dia akan mencabar keputusan pilihanraya dalam mahkamah.
Sehingga 8 November 2020, dengan keputusan pengundian masih belum dimuktamadkan di negeri-negeri seperti Alaska, Carolina Utara dan Georgia, calon Parti Demokratik, Joe Biden, telah disahkan memenangi pertandingan untuk Presiden AS setelah memperoleh sebanyak 290 daripada 528 undi badan pemilih. “Negeri-negeri atas pagar” (swing state) yang dimenangi oleh Parti Republikan pada tahun 2016, yang menjadi penentu kepada Pilihanraya Presiden AS kali ini, seperti Arizona, Michigan, Pennsylvania dan Winsconsin, berjaya dirampas oleh Parti Demokratik dengan perbezaan undi popular yang agak tipis.
Pengundi di AS telah membuang undi pada 3 November 2020. Presiden AS bukannya dipilih secara langsung oleh pengundi dengan mengikut undi popular yang diperoleh seseorang calon, tetapi ditentukan oleh berapa banyak undi badan pemilih (electoral college) yang dimenangi oleh seseorang calon. Oleh sebab setiap negeri dianggap sebagai satu unit badan pemilih (dengan bilangan undi berbeza mengikut negeri), maka seseorang calon Presiden AS yang memperoleh undi terbanyak di negeri itu akan memenangi semua undi badan pemilih untuk negeri itu. Calon yang memperoleh lebih daripada separuh jumlah undi badan pemilih (iaitu 270 undi badan pemilih sekarang ini) akan dianggap sebagai pemenang. Sistem pemilihan sebegini menyebabkan wujudnya situasi di mana pemenang Pilihanraya Presiden AS tidak semestinya memperoleh undi popular seluruh negara yang terbanyak, misalnya George W. Bush pada tahun 2000 dan Donald Trump pada tahun 2016.
Selepas 4 tahun pentadbiran Trump yang penuh dengan kontroversi, Pilihanraya Presiden AS tahun ini diadakan dalam satu keadaan yang luar biasa. Pilihanraya ini diadakan pada ketika negara AS menghadapi pelbagai krisis yang mendalam. Pada tahun 2020 ini sahaja, AS telah menjadi negara paling teruk terjejas oleh pandemik COVID-19, di samping krisis ekonomi yang semakin serius. Oleh sebab kegagalan pentadbiran kerajaan AS pimpinan Trump dalam menangani ancaman pandemik COVID-19, sudah hampir 10 juta kes jangkitan COVID-19 yang terkumpul di AS dan lebih 240,000 orang mati kerana jangkitan koronavirus maut ini. Akan tetapi, Trump terus menyalahkan pihak lain untuk mengalihkan perhatian daripada kegagalannya yang teruk ini. Disebabkan ancaman penularan wabak COVID-19, jauh lebih banyak pengundi AS telah memilih untuk melakukan pengundian secara pos berbanding pilihanraya sebelum ini. Di samping itu, sejak bulan Mei 2020, AS telah dilanda gelombang protes rakyat yang melawan rasisme dan keganasan polis.
Pilihanraya Presiden AS kali ini boleh dikatakan “bersejarah” kerana peratusan mengundi yang tinggi. Adalah dianggarkan sekurang-kurangnya 66% pengundi yang layak mengundi telah membuang undi mereka, satu peratusan yang tertinggi sejak tahun 1900, dan jumlah undi yang dibuang adalah yang tertinggi dalam sejarah pilihanraya AS. Dengan 93% undi yang dikira setakat 8 November 2020, Joe Biden telah meraih lebih 75 juta undi, menjadikannya calon Presiden AS yang memperoleh bilangan undi yang terbanyak dalam sejarah. Donald Trump pula meraih hampir 71 juta undi, menjadikannya berada dalam tangga kedua dari segi peroleh undi terbanyak dalam sejarah pilihanraya AS.
Sebelum Pilihanraya Presiden AS kali ini, ramai orang meramalkan Joe Biden akan menang besar kerana dia mendahului Trump dalam kebanyakan tinjauan pendapat. Namun, keputusannya menunjukkan bahawa Biden menang dengan perbezaan undi yang tipis di banyak negeri, khususnya di negeri-negeri atas pagar. Walaupun dengan rekod pentadbirannya yang penuh bermasalah, Trump masih dapat menarik sokongan yang besar, dengan undi yang diperolehinya jauh lebih banyak berbanding tahun 2016. Ini merupakan sesuatu yang membimbangkan. Trump dikalahkan dalam Pilihanraya Presiden AS kali ini, tetapi fahaman pelampau kanan yang menjadi tulang belakang pemerintahan Trump selama 4 tahun yang lalu ini, nampaknya masih kuat bertapak dan akan terus menghantui negara AS.
Biden menang dalam Pilihanraya Presiden AS dengan jumlah undi popular yang terbanyak dalam sejarah pilihanraya AS, tetapi tidak bermakna Biden itu memang popular. Ramai yang mengundi Biden bukannya menyokong sepenuhnya Biden, tetapi lebih kepada menyingkirkan Trump. Mereka yang mengundi dalam Pilihanraya Presiden AS adalah memilih siapa yang “kurang jahat” (lesser evil). Walaupun Trump memang seorang Presiden AS yang telah memangkinkan fahaman pelampau kanan, rasisme, pembenci wanita, xenofobia dan sebagainya serta cuba menghancurkan perlindungan kesihatan yang sudah pun begitu sedikit untuk rakyat AS dan mengancam ekologi dunia dengan tindakan seperti menarik diri daripada Perjanjian Iklim Paris, tetapi adakah Biden itu “kurang jahat”?
Biden yang mendapat sokongan daripada golongan berkuasa dalam Parti Demokratik, merupakan wakil kepada fahaman neoliberal aliran utama AS. Seperti Hillary Clinton yang bertanding melawan Trump sebelum ini, Biden mewakili sayap korporat Parti Demokratik. Biden sebenarnya tidak menawarkan alternatif yang jelas dan menyakinkan untuk rakyat AS, apatah lagi untuk rakyat sedunia yang sering diancam dan dimangsakan oleh dasar imperialis AS. Biden akan berusaha untuk menangani krisis ekonomi, sosial dan politik yang sedang melanda AS dengan cara penyelesaian yang berpihak kepada kelas kapitalis dan mengorbankan lagi kelas pekerja. Biden telah kuat mempertahankan industri insurans kesihatan swasta dan industri perlombongan minyak secara peretakan hidraulik yang mengancam alam sekitar. Biden mengelakkan dirinya daripada menyokong cadangan yang dibawa oleh golongan progresif dalam Parti Demokratik seperti perlindungan kesihatan sejagat (“Medicare for All”) dan Tawaran Baru Hijau (Green New Deal).
Dari segi dasar imperialis dan dominasi global, Biden telah dipertanggungjawabkan oleh kelas pemerintah untuk mengembalikan peranan AS sebagai pemimpin dunia yang “berwibawa” (setelah “kewibawaan” tersebut telah dihancurkan oleh Trump dengan tindak tanduknya yang liar) dalam susunan dunia yang berasaskan keganasan dan eksploitasi oleh kuasa imperialis. Biden sendiri semasa dia menjadi Senator, pernah mengundi untuk menyokong perang ke atas Afghanistan dan Iraq. Ancaman imperialis AS terhadap dunia tidak akan berkurangan dengan Biden menggantikan Trump. Yang berubah hanyalah wajah wakil imperialis dan retorik yang dipermainkannya.
Kemunculan Trump sebagai pemenang Pilihanraya Presiden AS pada tahun 2016, merupakan produk kegagalan sistem kapitalis AS yang penuh dengan krisis. Trump “bangkit” daripada keperitan dan kemarahan rakyat secara umum terhadap dasar ekonomi neoliberal aliran utama yang dibawa semasa pentadbiran Barack Obama dan kerajaan AS sebelumnya. Ramai dalam kalangan kelas pekerja di AS menyokong Trump, bukannya kerana Trump membawa apa-apa visi yang membebaskan rakyat daripada penindasan, tetapi oleh sebab Trump memberi “jawapan yang jelas dan mudah” (walaupun jawapan itu penuh dengan kejahilan dan penipuan) kepada krisis yang dihadapi masyarakat, dengan pendekatan populis yang mengkambinghitamkan golongan tidak berkuasa (golongan etnik minoriti, imigran, golongan Muslim, LGBTQ dan sebagainya) dan mencipta musuh bayangan. Fahaman rasis dan pelampau kanan yang dipacukan oleh pemerintahan Trump selama 4 tahun yang lalu tidak akan dapat disekat oleh Biden. Biden tidak menawarkan solusi yang konkrit dan menyakinkan kepada ketidakpuasan hati yang dibangkitkan oleh begitu ramai orang di jalanan AS dalam beberapa bulan yang lepas, khususnya kemarahan terhadap keganasan polis yang rasis. Tanpa cabaran berterusan daripada mobilisasi kelas pekerja yang berasaskan solidariti, penularan ancaman pelampau kanan akan berterusan dan mungkin munculnya sesuatu yang lebih teruk daripada Trump pada masa akan datang.
Trump dikalahkan oleh kebangkitan rakyat AS yang menentang fahaman pelampau kanan dan politik yang memecah-belahkan masyarakat. Ini sesuatu yang patut diraikan. Namun begitu, kita juga tidak patut mempunyai ilusi bahawa kerajaan AS pimpinan Biden akan membawa apa-apa perubahan sebenar kepada dunia. Perjuangan melawan kekuasaan kapitalis dan imperialis masih perlu diteruskan.
One thought on “Pilihanraya AS: Trump ditewaskan tetapi adakah penggantinya “kurang jahat”?”