oleh S. Arutchelvan

Sejak Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin mengadap Yang di-Pertuan Agong pada 23 Oktober 2020, ramai cendekiawan, penganalisis politik, wartawan, pakar perundangan dan sebagainya mengulas sama ada Perdana Menteri mempunyai kuasa untuk memperkenalkan darurat atau sama ada Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk menyokong atau menolak permohonan ini. Kesahihan atau tidak untuk darurat adalah persoalan perundangan, tetapi hakikat mengapa darurat dipanggil adalah persoalan kuasa dan kepentingan politik.

Sejarah mengajar kita bahawa darurat di negara kita dari segi fakta dan pelaksanaan akan menepati dua syarat, iaitu yang pertama adalah untuk menyelamatkan parti pemerintah daripada hilang kuasa, dan yang kedua adalah untuk menghapuskan musuh politik atau pencabar kuasa tersebut.

Namun, apa yang sering dilemparkan sebagai alasan untuk darurat adalah ancaman komunis, musuh luar negara dan lain-lain. Akan tetapi, antara yang tersurat dan yang tersirat, ada perbezaan yang ketara. Apa yang dicakap di depan dan apa yang dibuat di dalam, adalah dua perkara yang berlainan.

Muhyiddin mengatakan alasan untuk Darurat adalah kerana COVID-19. Namun, hampir semua orang tahu itu hanya sekadar alasan. Itu adalah yang tersurat. Apakah yang tersirat? Dua syarat untuk Darurat adalah menyelamatkan kuasa dan menghapuskan pencabar kuasa. Ajaran sejarah menepati dua syarat ini. 

Sejarah Darurat – tersurat dan tersirat

Sejarah membuktikan bahawa darurat tidak pernah dipanggil untuk sebab-sebab yang dinyatakan ketika ianya diisytihar. Contohnya, Darurat 1948 yang diisytiharkan oleh Penjajah British pada tahun 1948 adalah untuk memerangi keganasan komunis setelah 3 orang tuan punya ladang telah dibunuh di Sungai Siput. Itu adalah versi tersurat.

Namun, parti pertama yang diharamkan bukanlah Parti Komunis Malaya (PKM), tetapi adalah Angkatan Pemuda Insaf (API), iaitu fron pemuda Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang merupakan musuh utama kepada kepentingan penjajah. Turut menjadi mangsa darurat dan dibubarkan adalah 300 buah organisasi progresif dan 97% kesatuan sekerja. Parti-parti seperti Ikatan Pembela Tanah Air (PETA), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Barisan Tani Malaya (BTM), Hizbul Muslimin dan New Democratic Youth League turut diharamkan. Yang tidak diharamkan adalah UMNO.

Jelas bahawa sebab tersurat dipanggil darurat adalah komunis tetapi sebab tersirat menepati dua syarat ramuan: iaitu yang pertama untuk selamatkan kepentingan penjajah British dan UMNO; dan syarat yang kedua adalah untuk menghancurkan gerakan PUTERA-AMCJA yang menuntut Perlembagaan Rakyat dan Merdeka 100%.

British amat tergugat dengan Hartal pada 20 Oktober 1947 yang menjadi ancaman kepada hasrat mereka dan UMNO untuk memperkenalkan Perlembagaan Persekutuan. Ramai yang tidak tahu bahawa darurat pertama hanya tamat pada 31 Julai 1960, ini bererti negara kita Merdeka dalam darurat pada tahun 1957 dan Pilihanraya Umum tahun 1959 diadakan ketika zaman darurat. Dengan adanya darurat, British dapat menangguhkan kemerdekaan untuk 10 tahun lagi dan itulah sebabnya negara-negara lain seperti Indonesia, India dan Filipina memperoleh kemerdekaan lebih awal lagi.

Satu lagi kelebihan mengisytihar darurat adalah parti pemerintah boleh sewenang-wenangnya membuat undang-undang. Ribuan orang telah ditahan dan banyak organisasi diharamkan dengan cara ini. British terselamat. Kumpulan anti-penjajah dihancurkan. Kumpulan makan dedak penjajah dibenarkan untuk mentadbir. 

Darurat 1964

Darurat pertama setelah Merdeka adalah pada tahun 1964. Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan darurat pada masa itu dan sebab yang diumumkan adalah kerana Konfrontasi dengan Indonesia. Namun, penganalisis pada masa itu mengatakan sebab utama adalah untuk melenyapkan Blok Kiri pada masa itu, iaitu Parti Buruh dan Parti Rakyat. Situasi ini digunakan untuk menangkap ramai pemimpin parti pembangkang pada masa itu dan sekaligus menyelamatkan kepentingan British dan Commonwealth di rantau ini.

Darurat ini secara tersurat untuk melawan musuh luar negara, tetapi realitinya adalah untuk menghancurkan pihak-pihak dalam negara yang menentang pembentukan Malaysia. Pembentukan Malaysia adalah satu projek yang didorong oleh kepentingan British dalam melawan Blok Timur selaras dengan Perang Dingin pada masa itu. British dan sekutu mereka gerun dengan teori domino apabila melihat satu demi satu negara jatuh dalam tangan Blok Kiri. Sama seperti kuasa darurat sebelum itu, sekali lagi 23 undang-undang dan regulasi baru telah digubal, dan amat selesa untuk melakukannya kerana tidak perlu melalui Parlimen.  

Darurat 1969 dan EO6

Sebab tersurat Darurat 1969 diisytihar adalah kerana rusuhan perkauman, tetapi sebab sebenarnya adalah UMNO dan Parti Perikatan buat pertama kalinya hilang majoriti dua pertiga kerusi dalam Parlimen Persekutuan, hilang 5 negeri serta Kuala Lumpur selaku ibu negara Malaysia ke dalam tangan pembangkang. Rusuhan kaum berlaku tetapi darurat yang dipanggil berjaya untuk membatalkan kemenangan pembangkang dalam Pilihanraya Umum 1969. Parlimen digantung sehingga 20 Februari 1971. Kesan daripada darurat ini adalah Parti Perikatan menukar namanya kepada Barisan Nasional, manakala parti-parti pembangkang pada masa itu seperti Parti Gerakan, PAS, PPP dan lain-lain lagi menyertai Barisan Nasional untuk mengekalkan kuasa majoriti 2/3 pihak parti pemerintah. Sama seperti darurat-darurat sebelum itu, inilah masa terbaik untuk menggubal undang-undang. Sebanyak 92 ordinan telah digubal tanpa melalui Parlimen. Antara undang-undang ini termasuk yang membenarkan penahanan tanpa bicara dan sebahagiannya masih kekal walaupun darurat telah ditamatkan.

Bolehkan anda percaya, Ordinan Darurat yang digubal pada tahun 1969, Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969, telah digunakan terhadap 6 orang pemimpin PSM, termasuk Dr. Jeyakumar Devaraj pada tahun 2011 kerana tindakan PSM menyokong perhimpunan BERSIH 2 pada tahun itu. Penahanan ini dikenali umum sebagai EO6.

Darurat 2020!

Yang di-Pertuan Agong telah menafikan permintaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk mengisytihar darurat. Jika Tun Mahathir adalah Perdana Menteri, mesti dia mempunyai pelbagai jalan lain untuk buat darurat tanpa memanggilnya darurat. Semasa pemerintahan kuku besi Mahathir selama 22 tahun, dia langsung tidak menggunakan darurat untuk menghancurkan musuh politiknya. Dia ada pelbagai jalan lain seperti akta “Ikut-Suka-Aku” (ISA). Mahathir menggunakan kuasa pentadbiran – Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan undang-undang lain untuk membinasakan pelbagai institusi dalam negara termasuk perundangan, polis, kehakiman dan sebagainya

Muhyiddin mengatakan secara tersurat bahawa alasan untuk darurat adalah COVID-19. Untuk kawal COVID-19, kita tidak memerlukan darurat kerana pengalaman kita meratakan lengkung graf kes COVD-19 terbukti dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Untuk membuat undi tidak percaya pula adalah mustahil kerana Speaker Dewan Rakyat pilihan Perikatan Nasional (PN) akan memastikan ia tidak akan dipanggil kerana harus menghabiskan urusan kerajaan yang lain dalam persidangan Dewan Rakyat.

Bercakap pasal soal Pilihanraya, memang rakyat juga akan menolak Pilihanraya Umum (PRU) dipanggil dalam masa terdekat terutamanya susulan apa yang berlaku di Sabah. Maka sesiapa yang panggil untuk PRU sekarang akan mendapat kritikan dan kutukan ramai kerana tidak peka kepada keadaan kesihatan awam dan ekonomi negara yang semakin tenat.

Jadi, setelah semua sebab-sebab di atas ditapis, maka apa yang ada hanyalah satu sebab, iaitu Kerajaan takut untuk sidang Parlimen yang akan datang terutamanya takut bahawa Belanjawan 2021 tidak akan lulus dan secara tidak langsung adalah undi tidak percaya kepada Perdana Menteri kerana sudah hilang kepercayaan Dewan. Inilah yang ditakuti dan inilah mengapa darurat ini dipanggil.

Namun sebelum ini pun, tanpa kelulusan rang undang-undang di Parlimen, kerajaan boleh membelanjakan banyak dana – pelbagai pakej rangsangan dan sebagainya tanpa perlu mendapatkan kelulusan Parlimen terlebih dahulu.

Muhyiddin tersalah baca?

Jika alasan untuk darurat adalah dua syarat, iaitu menyelamatkan kuasa dan menghapuskan pihak yang mencabar kuasa, maka ketika ini Muhyiddin mempunyai dua musuh utama. Satu adalah Anwar Ibrahim, dan satu lagi adalah musuh dalam selimut – puak Zahid Hamidi dalam UMNO.

Mungkin Muhyiddin merasakan jika isytihar darurat sekarang, dia akan menjadi popular kerana rakyat cemas dengan COVID-19 dan muak dengan ahli politik yang mahukan undi tidak percaya atau tukar kerajaan.

Dalam satu pungutan suara online yang diambil empat hari yang lalu oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), didapati bahawa 91% daripada 169,000 orang yang mengundi bersetuju sangat dengan kawalan yang lebih ketat untuk Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang dan Putrajaya. Ini mungkin memberikan dorongan kepada Muhyiddin bahawa rakyat menyokong tindakannya dan amat tidak setuju dengan langkah Anwar Ibrahim dan UMNO yang hendak menjatuhkan kerajaannya.

Maka mungkin ini adalah faktor pendorongnya untuk cuba membunuh dua burung dengan satu batu dengan mengisytiharkan darurat kerana langkah ini pada anggapannya akan diterima oleh rakyat biasa yang amat takut dengan COVID-19 dan peningkatan kes COVID-19 selepas Pilihanraya Negeri Sabah menyebabkan rakyat amat marah tentang tindakan mana-mana pihak yang mencetuskan pilihanraya lebih awal.

Namun, kemungkinan beliau telah tersalah langkah atau tersilap baca, kerana walaupun rakyat amat benci dengan ahli politik yang hendak panggil PRU, tetapi mereka juga amat tidak selesa dengan langkah darurat yang mungkin dilihat sebagai keterlaluan. Banyak kumpulan, peniaga dan golongan pakar dan intelek tidak bersetuju dengan darurat.

Walau bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong telah memberikan satu nasihat yang akan membuatkan Yang di-Petuan Agong amat popular. Kini Perdana Menteri Muhyiddin terpaksa mencari jalan lain untuk kekal berkuasa. Kini sekutu Muhyiddin yang paling utama adalah pandemik COVID-19 sahaja kerana selagi ada situasi wabak COVID-19 yang mencemaskan, rakyat tidak mahu satu lagi krisis politik sekarang.

=========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *