oleh Dr. Jeyakumar Devaraj

Kebanyakan rakyat Malaysia tidak mahu pilihanraya umum diadakan dalam tempoh 3 bulan akan datang. Kita sudah melihat bagaimana Pilihanraya Negeri Sabah telah menyebabkan peningkatan hebat dalam angka kes jangkitan COVID-19 yang membawa kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), sekatan perjalanan di sebahagian kawasan dan kesulitan ekonomi untuk jutaan keluarga. Rakyat Malaysia secara keseluruhannya tidak mahu situasi wabak COVID-19 menjadi di luar kawalan.

Ramai orang berpandangan bahawa andainya Anwar Ibrahim mempunyai jumlah sokongan ahli parlimen yang mencukupi untuk meluluskan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin Yassin, kerajaan yang dibentuknya tidak akan stabil kerana anggota bukan Pakatan Harapan yang menyertai gabungannya merupakan ahli parlimen sama yang pada asalnya menawarkan sokongan kepada Muhyiddin. Terdapat kemungkinan besar untuk mereka menarik balik sokongan mereka terhadap Anwar apabila mereka merasakan masa adalah sesuai untuk mereka mewujudkan pilihanraya umum.

Memandangkan wujudnya kegelisahan bahawa taktik politik Anwar dan penyokongnya dalam parlimen mungkin akan membawa kepada Pilihanraya Umum sebelum ancaman peningkatan kes COVID-19 dapat dikawal secara wajar, mengambil pilihan untuk melaksanakan Darurat 6-bulan mungkin boleh diterima oleh sesetengah golongan masyarakat. Mereka boleh bersetuju bahawa “suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan” [Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan] memang wujud pada masa ini.

Namun, terdapat ramai rakyat Malaysia tidak mahu Parlimen digantung untuk selama 6 bulan. Perjuangan untuk membendung COVID-19 merupakan sesuatu yang kompleks dan kita perlukan pembangkang dalam Parlimen untuk bertanya soalan, mengemukakan cadangan-cadangan alternatif dan secara umumnya memberikan semak dan imbang yang diperlukan oleh pembuat dasar negara kita. Darurat akan melenyapkan suara dalam Parlimen dan platform yang penting di mana dasar-dasar dan program-program kerajaan boleh dibahaskan ini akan hilang untuk sepanjang tempoh Darurat. Ini akan merugikan kita semua. Lebih-lebih lagi, Darurat akan menumpukan kuasa dalam tangan badan eksekutif, dan ini boleh mendorong kecenderungan autoritarian dan represif dalam kerajaan. Darurat akan bermakna penghakisan hak demokratik rakyat Malaysia.

Adanya jalan keluar untuk kebuntuan ini. Namun jendela peluangnya adalah agak sempit. Ia memerlukan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan memberi janji ikhlas mereka kepada Yang di-Pertuan Agong dan seluruh negara bahawa mereka tidak akan cuba menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional untuk 6 bulan akan datang – bahawa mereka tidak akan mencadangkan apa-apa usul undi tidak percaya, ataupun cuba menggagalkan Belanjawan 2021. Ia juga memerlukan Muhyiddin Yassin untuk bersetuju bahawa kerajaannya tidak akan menghalang usul undi tidak percaya sekiranya usul tersebut dibawa selepas selesai tempoh 6 bulan itu. Perjanjian seperti yang dilakarkan di atas ini akan memenuhi beberapa tujuan – ia akan menghindarkan risiko Pilihanraya Umum diadakan dalam masa terdekat, pada masa yang sama membenarkan Parlimen untuk memainkan peranan yang sewajar dalam merangka halatuju dalam era COVID-19 dengan normal baru ini. Ia mungkin hasil terbaik pada ketika ini. Persoalannya adakah kita mempunyai negarawan dalam posisi kepimpinan yang mencukupi untuk bersetuju dengan permuafakatan ini.  

=========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s