(foto: Sahara Reporters)

Gelombang protes jalanan yang hebat melanda seluruh negara Nigeria sejak 8 Oktober 2020, dengan seruan lantang yang menuntut untuk menghentikan keganasan polis.

Aksi protes yang terbaru ini bermula dengan kempen media sosial yang menuntut pembubaran Skuad Anti-Perompakan Khas (Special Anti-Robbery Squad, SARS), sebuah unit di bawah Pasukan Polis Nigeria yang terkenal dengan penggunaan keganasan terhadap orang awam. Satu video yang menunjukkan pegawai polis SARS menembak seorang anak muda mula menular dalam media sosial pada 3 Oktober 2020. Kempen menjadi semakin hebat dengan penularan mesej dengan tanda pagar #ENDSARS dalam media sosial, di mana warga Nigeria berkongsi cerita dan bukti video yang menunjukkan bagaimana anggota SARS terlibat dalam kegiatan seperti penculikan, pembunuhan, pencurian, perogolan, penyeksaan, penangkapan yang tidak sah, penghinaan terhadap orang awam, penahanan sewenang-wenang, peras ugut dan sebagainya. Kemarahan terhadap keganasan polis ini kemudiannya menjelma menjadi aksi massa yang besar-besaran di jalanan bermula pada 8 Oktober 2020. Demonstrasi tercetus di lebih 100 buah bandar di seluruh Nigeria, dengan jalanraya-jalanraya di bandar-bandar utama telah disekat dan dilumpuhkan.

Walaupun aksi protes pada awalnya tidak begitu besar, tetapi pihak polis bertindakbalas dengan menggunakan kekerasan untuk mematahkan demonstrasi di Abuja (ibu negara Nigeria) dan bandar-bandar yang lain. Gas pemedih mata dan peluru hidup telah digunakan terhadap demonstran di beberapa tempat. Sekurang-kurangnya 10 orang telah mati kerana reaksi ganas polis terhadap protes yang membantah keganasan polis. Tindakan polis yang keras ini bukan sahaja gagal menyekat demonstrasi jalanan, malah mencetuskan kemarahan rakyat yang lebih hebat lagi.

Demonstran menuntut pembubaran unit SARS dan menghentikan segala bentuk keganasan polis di negara Nigeria. 5 tuntutan utama gerakan protes di Nigeria ialah:

  • Bebaskan segera semua demonstran anti-keganasan polis yang ditangkap.
  • Keadilan untuk semua mangsa yang mati kerana keganasan polis dan pampasan yang sewajar kepada keluarga mereka.
  • Tubuhkan sebuah badan bebas untuk menyiasat dan menjalankan pendakwaan terhadap semua kes aduan salah laku polis.
  • Lakukan penilaian psikologi dan latihan semula untuk semua pegawai SARS sebelum mereka ditugaskan ke bahagian yang lain.
  • Tingkatkan gaji polis supaya mereka dibayar secara wajar untuk melindungi nyawa dan harta warganegara.

SARS ditubuhkan di Nigeria pada tahun 1992, dengan tujuan asalnya adalah untuk membanteras perompakan bersenjata. Namun, dalam tempoh hampir tiga dekad yang lalu, unit polis khas itu sendiri terlibat dalam pelbagai jenayah dan amalan rasuah. Unit polis yang ditubuhkan untuk membanteras perompakan sendiri terlibat dalam kegiatan perompakan!

Ramai orang telah menyamakan aksi protes melawan keganasan polis di Nigeria ini dengan Gerakan protes Black Lives Matter di Amerika Syarikat.

(foto: Sunday Alamba / AP Photo)

Gelombang aksi protes yang hebat ini telah memaksa kerajaan Nigeria untuk mengumumkan pembubaran SARS. Pengumuman ini dibuat oleh Mohammed Adamu selaku Ketua Polis Negara Nigeria pada 11 Oktober 2020. Namun begitu, kemarahan rakyat Nigeria masih tidak dapat diredakan kerana kerajaan pernah membuat janji yang serupa sebelum ini dan rancangan kerajaan hanya memindahkan pegawai-pegawai SARS ke bahagian polis yang lain dan bukannya menyingkirkan mereka daripada pasukan polis sepenuhnya. Ketidakyakinan dan kebimbangan rakyat ini bukannya tidak berasas, kerana dua hari selepas mengumumkan pembubaran SARS, polis Nigeria mengumumkan pula pembentukan Unit Senjata dan Taktik Khas (SWAT) yang merupakan pengganti kepada SARS dan cuba menempatkan semula pegawai SARS di situ.

Protes telah diteruskan untuk menuntut perubahan sistemik yang sebenar. Demonstran menggesa untuk penilaian semula dan penyiasatan yang menyeluruh terhadap seluruh fungsi sistem kepolisan di Nigeria, dan menghukum mereka yang terlibat dalam kegiatan jenayah yang menindas rakyat.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s