Tahukah anda, Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk golongan B40 (berpendapatan terbawah 40%) yang terakhir di Cameron Highlands dibina lebih 40 tahun yang lalu? Tidak ada PPR yang baru dibina sejak itu sehingga kini. Kita sudah berada di tahun 2020, tetapi penduduk B40 di Cameron Highlands masih tidak mampu memiliki rumah sendiri kerana harga rumah di Cameron Highlands melambung tinggi. Ini diakibatkan oleh pembelian rumah oleh orang luar untuk tujuan pelaburan dan penyewaan kepada para pelancong. 

Projek perumahan yang dikatakan mampu milik, seperti PR1MA, dijual dengan harga lebih RM200,000, jauh melebihi kemampuan rakyat berpendapatan rendah B40.

Puan Sharifah Hanim, seorang penduduk Cameron Highlands, menyuarakan kekecewaannya dengan berkata “Sudah berpuluh tahun saya duduk sini, saya bayar sewa, sampai sekarang tak mampu beli rumah. Kalau begini, sampai saya meninggallah saya tak mampu beli rumah dan hanya bayar sewa sahaja.” Tambahan pula, sewa rumah di Cameron Highlands juga tinggi, antara  RM800-900 sebulan, amat menekan kemampuan kewangan warga pekerja Cameron Highlands. 

Oleh yang demikian, Jawatankuasa Rumah Mampu (JRM) Cameron Highlands, sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan oleh rakyat pekerja Cameron Highlands, melancarkan satu kempen tandatangan petisyen untuk menggesa Kerajaan supaya meluluskan projek PPR untuk Cameron Highlands dalam Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada bulan November 2020 nanti. Petisyen tersebut akan dikemukakan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri untuk Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Mustapa bin Mohamed, dan juga Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

JRM Cameron Highlands merayu pada orang ramai supaya juga menurunkan tandatangan dalam petisyen atas talian demi merealisasikan Hasrat penduduk B40 Cameron Highlands mendapat rumah PPR.

Anda boleh menandatangan petisyen online di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *