Petani-petani di Mambang Diawan yang menghadapi ancaman pengusiran daripada sebuah syarikat pemaju swasta dapat berasa lega selepas keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh pada 5 Oktober 2021 yang berpihak kepada mereka. Mahkamah Tinggi Ipoh telah menolak permohonan Delscon untuk mengusir petani-petani Mambang Diawan keluar dari tanah yang diusahakan mereka melalui prosing terus.

Seramai 11 orang petani dan penternak di kawasan SMTD, Mambang Diawan, Perak, telah mengusahakan tanah kerajaan untuk tujuan pertanian dan penternakan selama lebih 30 tahun. Kawasan pertanian seluas 90 ekar di Lot 2637, Mukim Chenderiang, Dearah Batang Padang ini merupakan bekas kawasan perlombongan. Selepas operasi perlombongan di tanah tersebut diberhentikan sekitar tahun 1980-an, penduduk-penduduk sekitar telah membangunkan tanah tersebut untuk tujuan pertanian dan penternakan bagi menyara kehidupan mereka. Mereka telah mengusahakan pelbagai tanaman pertanian di atas tanah tersebut. Tapak bekas lombong pula telah dijadikan kolam penternakan ikan. 

Sejak tahun 1990-an, petani-petani ini mempunyai pemilikan dan kawalan terus di atas tanah tersebut dan menjalankan aktiviti pertanian dan penternakan secara aman. Petani-petani dan generasi terdahulu petani-petani ini telah membelanjakan ribuan ringgit untuk memajukan tanah ini yang kini menjadi satu kawasan pertanian dan penternakan pelbagai ikan bagi pengeluaran makanan tempatan. Petani-petani ini pernah membuat permohonan tanah dan lesen pendudukan sementara untuk tanah tersebut dan sepanjang masa Kerajaan Negeri mempunyai pengetahuan tentang kewujudan petani-petani di tanah tersebut. Mereka tidak pernah menerima sebarang gangguan atau pengusiran paksa daripada mana-mana pihak termasuk pihak Kerajaan Negeri sebelum ini.

Namun, sejak 23 April 2019, petani-petani ini mula mendapat gangguan daripada pekerja syarikat Delscon Properties Sdn Bhd yang telah memasang besi penghadang dan menghalang petani-petani daripada memasuki tanah pertanian dan penternakan mereka. Dari 18 Mei 2019 hingga 11 September 2019, petani-petani telah membuat sebanyak 18 aduan polis terhadap Delscon Properties dan agennya Syarikat NK Sahabat, atas gangguan dan pencerobohan di tanah tersebut. Setelah tiada penyelesaian, pada 21 Oktober 2019, petani-petani telah membuat aduan di Mahkamah Majistret Tapah di bawah Seksyen 99 Kanun Prosedur Jenayah berhubung dengan pertikaian tanah yang menyebabkan pecah keamanan.

Pada 20 Februari 2020, petani-petani ini telah mendapat perintah di bawah Sekyen 99 Kanun Prosedur Jenayah untuk kekal berada di atas tanah tersebut sehingga dilupuskan melalui satu tindakan sivil dan gangguan terhadap petani-petani adalah ditegahkan. Walaupun mendapat perintah mahkamah di Seksyen 99 Kanun Prosedur Jenayah, tetapi gangguan terhadap petani-petani ini masih berterusan kerana pihak polis telah gagal mengambil tindakan terhadap pelanggaran perintah tersebut. Walaupun petani-petani menunjukkan mereka mempunyai perintah mahkamah untuk menghentikan sebarang kacau ganggu, tetapi pihak polis enggan bertindak. Ini jelas menunjukkan bahawa pihak polis telah berpihak kepada syarikat Delscon Properties dan menyalahguna kuasa tanpa penyiasatan menyeluruh berhubung perintah Sekyen 99 yang diberikan oleh Mahkamah Majistret Tapah untuk menegah sebarang kacau ganggu terhadap petani-petani sehingga satu penyelesaian di mahkamah sivil berhubung pertikaian tanah ini.

(Gambar arkib) Petani-petani Mambang Diawan membuat aduan polis di IPD Ipoh pada bulan September 2020.

Pada 6 September 2020, petani-petani Mambang Diawan juga telah membuat satu aduan polis terhadap Syarikat Delscon Properties, polis Mambang Diawan dan polis Kampar yang mengingkari perintah mahkamah di Ibupejabat Polis Daerah Ipoh. Pada 28 September 2020, dua orang petani, Tiou Song Bong dan Tiou Wen Fei, telah ditahan polis kerana aduan daripada Delscon Properties mengenai pencerobohan jenayah, dan mereka terpaksa bermalam di lokap seperti penjenayah dan hanya dilepaskan pada hari keesokannya. Pada 29 September 2021, petani-petani Mambang Diawan bersama dengan aktivis-aktivis PSM telah membuat aduan kepada Ketua Polis Perak terhadap penyalahgunaan kuasa oleh polis Mambang Diawan dan IPD Kampar dalam kes berkaitan dengan petani-petani Mambang Diawan.

Pada 30 Oktober 2020, Syarikat Delscon Properties telah menyaman petani-petani ini di Mahkamah Tinggi Ipoh untuk membatalkan perintah mahkamah yang bertarikh 20 Februari 2020 di bawah Seksyen 99 Kanun Prosedur Jenayah. Namun, pada 8 Januari 2021, pihak Delscon Properties telah menarik balik kes tersebut. Pada 29 Januari 2021, Delscon Properties telah menyaman semula petani-petani di bawah Aturan 89, Kaedah-kaedah Mahkamah 2012, untuk prosiding terus demi mendapatkan milikan kosong ke atas tanah tersebut.

Semasa kes sivil Aturan 89 ini masih berjalan di Mahkamah Tinggi Ipoh, pada 12 Mac 2021, dua orang petani yang ditahan semalaman di lokap polis pada bulan September 2020 telah didakwa di Mahkamah Majistret Kampar di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan (pencerobohan jenayah). Selepas representasi daripada peguam petani, pada 16 Julai 2021, pihak Timbalan Pendakwa Raya telah menarik balik kes pertuduhan ke atas kedua-dua orang petani tersebut kerana ini adalah kes sivil dan pertikaian tanah ini harus diselesaikan melalui satu tindakan sivil dan bukannya kes pendakwaan jenayah.

Dalam penghujahan di mahkamah, Bawani selaku peguam kepada pihak petani, mengatakan bahawa tanah tersebut hanya dilupuskan kepada pihak syarikat Delscon Properties pada 6 Mei 2020, iaitu selepas petani-petani mendapat perintah di bawah Seksyen 99 Kanun Prosedur Jenayah pada 20 Februari 2020 di Mahkamah Majisret Tapah. Ini menimbulkan persoalan bagaimana Kerajaan Negeri Perak yang berpengetahuan tentang kewujudan dan pengusahaan petani-petani di atas tanah tersebut masih melupuskan tanah kepada Delscon Properties. Persoalan yang timbul adalah adakah laporan tapak (survey report) telah dimanipulasi tanpa mengambilkira permohonan awal daripada petani-petani di atas tanah tersebut.

Setelah kes sivil di bawah Aturan 89 berjalan untuk lebih 10 bulan di Mahkamah Tinggi Ipoh, pada 05 Oktober 2021, Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Su Tiang Joo, telah menolak permohonan Delscon Properties untuk pemilikan kosong dengan kos. Hakim telah memutuskan bahawa petani-petani ini bukan setinggan tegar (squatter simpliciter) dan terdapat isu-isu yang harus dibicarakan melalui satu perbicaraan penuh dan Aturan 89 untuk prosiding terus adalah tidak sesuai.

Petani-petani Mambang Diawan diwakili oleh peguam Bawani KS yang juga merupakan Timbalan Setiausaha Parti Sosialis Malaysia (PSM).

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s