Pada 11 September 2020, pekerja-pekerja pembersihan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, Perak, telah mengadakan aksi bantahan secara spontan selama dua jam sehingga berjaya memaksa pihak majikan bersetuju dengan permintaan mereka!

Syarikat kontraktor perkhidmatan sokongan di hospital tersebut, Edgenta UEMS, telah memperkenalkan sistem pengimbasan kad ID untuk menggantikan mesin kad tebuk (punched card) bagi pekerja merekod masa masuk dan balik kerja, mulai bulan September 2020 ini. Namun, sistem pengimbasan kad ID ini mempunyai pelbagai masalah sehingga dibantah oleh pekerja-pekerja di situ. Pekerja-pekerja sebenarnya bersetuju dengan penaikan taraf kepada sistem pengimbasan ID, tetapi ia mempunyai banyak masalah, seperti kad ID selalunya tidak dapat diimbas, dan pekerja perlu mengambil masa beratur yang panjang untuk mengimbas kad sehingga melewatkan masa. Pekerja-pekerja bimbang bahawa masalah yang wujud pada sistem pengimbasan kad ID ini akan menyebabkan pengiraan kerja lebih masa (OT) yang dilakukan mereka itu menjadi tidak tepat. Pekerja-pekerja pembersihan di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan ini memang selalu membuat kerja OT, dan bayaran mereka mungkin akan menjadi kurang sekiranya perekodan masa sistem pengimbasan kad ID ini tidak tepat.

Selain itu, pekerja-pekerja pembersihan di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan juga membangkitkan beberapa isu berkaitan dengan pekerjaan mereka, antaranya faedah-faedah pekerja yang dikurangkan, seperti jumlah hari cuti umum setahun telah dikurangkan daripada 15 hari kepada 10 hari, dan elaun yang dibayar sebelum ini telah dipotong. Mereka juga membantah pemberhentian kerja 10 orang pekerja secara tiba-tiba seminggu sebelum ini.   

Untuk menyuarakan bantahan mereka, pekerja-pekerja di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan enggan masuk kerja dan menunggu di kawasan lapang selepas mengimbas kad ID mereka pada 11 September 2020. Mereka mendesak supaya kad tebuk yang disimpan oleh majikan itu dipulangkan kepada mereka dan mengembalikan sistem kad tebuk untuk sementara sebelum masalah sistem pengimbas kad ID itu diselesaikan. Mereka juga menggesa untuk menyelesaikan masalah-masalah berkenaan dengan faedah pekerjaan mereka. Lebih kurang 160 orang pekerja telah mengambil bahagian dalam tindakan bantahan secara spontan ini. Adalah menakjubkan kerana pekerja-pekerja ini bertindak secara sendiri tanpa ketua.

Selepas menunggu selama 2 jam, pihak majikan akhirnya bersetuju untuk menggunakan semula mesin kad tebuk dan menetapkan satu tarikh untuk membincangkan masalah-masalah lain yang dibangkitkan oleh pekerja. Perbincangan antara pihak pekerja dengan majikan dijadualkan pada 29 September 2020 akan datang.

Tindakan bantahan dua jam yang akhirnya berjaya mendesak pihak majikan untuk mendengar tuntutan pekerja ini, menunjukkan bahawa majikan akan takut kepada pekerja jika pekerja bersatu! Inilah yang dimaksudkan kuasa pekerja! Masalah pekerja hanya dapat diselesaikan sekiranya pekerja bersatu dan berpakat untuk bertindak secara bersama.

One thought on “Bantahan pekerja pembersihan hospital secara spontan menundukkan majikan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *