20190524 - spr

Mohamed Nazri Abdul Aziz, Ahli Parlimen Padang Rengas, mencadangkan semasa berdebat dalam persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini untuk meminda undang-undang pilihanraya supaya pemilihan wakil rakyat dibuat berdasarkan parti bukannya calon, bagi menangani masalah lompat parti dan membanteras rasuah. Cadangan ini telah menarik perhatian pelbagai pihak berkisar pada isu lompat parti dan sistem pilihanraya baru.

Cadangan Nazri ini sebenarnya tidak membawa apa-apa nilai tambah kepada pembaharuan sistem politik dan pilihanraya di negara kita untuk menjadikannya lebih demokratik, inklusif dan responsif terhadap keperluan rakyat. Nazri tidak mencadangkan untuk menggantikan sistem pengundian “undian pemenang undi terbanyak” (first-past-the-post, FPTP) dengan sistem pengundian yang lebih baik.

Terdapat dua isu di sini, iaitu:

  1. Bagaimana menangani masalah berkaitan wakil rakyat yang melompat parti?
  2. Apakah sistem pilihanraya baru apa yang sesuai dengan zaman sekarang?

Isu wakil rakyat lompat parti

Isu wakil rakyat lompat parti mendapat perhatian sekali lagi sejak awal tahun ini apabila Kerajaan Pakatan Harapan jatuh kerana parti-parti komponen Pakatan Harapan berpecah-belah dan wakil-wakil rakyat lompat parti sana sini.

Rakyat barangkali sangat sedar bahawa dalam arena politik di negara kita, dalam kebanyakan keadaan, seseorang wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat dalam pilihanraya, sama ada Ahli Parlimen ataupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), melompat parti atau mengubah sokongan politiknya kepada sesuatu pihak bukannya disebabkan soal prinsip tetapi lebih kepada kepentingan diri sendiri yang sentiasa dipengaruhi oleh sogokan dan godaan kebendaan. Tindakan wakil rakyat yang melompat parti boleh menimbulkan krisis politik yang serius, seperti yang pernah berlaku di negeri Perak pada tahun 2009 dan di peringkat Kerajaan Persekutuan pada tahun 2020.

Sering kali kita dengar adanya cadangan untuk menggubal akta anti-lompat parti untuk menyekat masalah lompat parti oleh wakil rakyat ini daripada berulang-ulang. Akta anti-lompat parti dikatakan dapat mengelakkan kerajaan yang menang dalam pilihanraya umum daripada ditumbangkan secara tidak demokratik oleh wakil-wakil rakyat yang melompat parti sesuka hati.

Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pernah meluluskan satu enakmen pada tahun 2012 untuk meminda Perlembagaan Negeri supaya mengelakkan amalan lompat parti dalam kalangan ADUN di negeri tersebut. Enakmen tersebut memperuntukkan mana-mana ADUN yang dipilih sebagai calon sesebuah parti politik perlu mengosongkan kerusinya, jika dia melepaskan keahliannya, dilucutkan keanggotaannya atau berhenti daripada menjadi ahli parti politik atas apa-apa alasan. Enakmen tersebut memperuntukkan ADUN yang bertukar parti perlu mengosongkan kerusinya dalam DUN, begitu juga dengan ADUN bebas yang menyertai sesebuah parti politik di negeri itu.

Ketika masih memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang) beberapa tahun dahulu, Mohamed Nazri Abdul Aziz sudahpun pernah menolak cadangan untuk undang-undang anti-lompat parti, dengan alasannya bahawa undang-undang sebegini bertentangan dengan prinsip kebebasan berpersatuan yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Pandangan Nazri itu mungkin ada kebenarannya juga. Ini kerana seseorang wakil rakyat yang dipilih rakyat, sekiranya mendapati parti politik yang dianggotainya melakukan sesuatu yang bertentangan dengan prinsipnya atau kehendak rakyat yang mengundinya, tidakkah dia dibenarkan untuk menarik diri daripada parti itu untuk menjadi wakil rakyat bebas atau menyertai parti yang dapat meneruskan perjuangan berprinsipnya atau aspirasi rakyat itu? Kenapa seseorang wakil rakyat yang berpegang teguh pada prinsipnya patut dihukum dengan undang-undang anti-lompat parti yang mengekang, walaupun wakil rakyat jenis begini merupakan spesies yang sudah hampir pupus di Malaysia? Namun begitu, bagaimana pula kita boleh mengambil tindakan ataupun membendung wakil rakyat yang lompat parti sesuka hati untuk kepentingan politik sendiri?

Wujudkan mekanisme lucut jawatan wakil rakyat bila-bila masa

Undang-undang anti-lompat parti bukannya cara yang berkesan untuk menangani masalah yang timbul daripada gejala wakil rakyat lompat parti. Begitu juga dengan cadangan Nazri untuk melaksanakan “senarai parti” tanpa mengubah sistem pengundian yang sedia ada, tidak akan menyumbang apa-apa kepada pemantapan amalan demokrasi di Malaysia.

Jadi, adakah apa-apa cara yang lebih berkesan dan demokratik untuk menangani masalah ini? Cara yang paling berkesan dan demokratik, adalah kembali kepada undi rakyat melalui proses demokrasi.

Negara kita patut mewujudkan mekanisme yang membolehkan pelucutan jawatan wakil rakyat bila-bila masa melalui proses referendum pemanggilan balik (recall referendum). Mekanisme demokratik sebegini bukannya sesuatu yang baru, dan ia telah diamalkan di beberapa buah negara dalam bentuk yang berbeza. Enam wilayah (canton) di Switzerland telah mewujudkan prosedur pengundian melucutkan ahli eksekutif dan perundangan sejak abad ke-19. Perlembagaan Venezuela memperuntukkan bahawa mana-mana wakil yang dipilih termasuk Presiden boleh dilucutkan jawatan melalui referendum. Banyak pengundian pemanggilan balik juga pernah diadakan di Amerika Syarikat untuk melucutkan jawatan pegawai, walaupun hanya dua orang Gabenor Negeri (jawatan tertinggi yang pernah dibawa kepada pengundian pemanggilan balik) yang dilucutkan jawatan dalam proses ini dalam sejarah negara itu. Di negara jiran kita, Filipina, perlembagaan negara itu membenarkan pengundian perlucutan jawatan untuk pegawai kerajaan tempatan dari peringkat gabenor wilayah hingga ahli majlis barangay (kampung atau kawasan). Di Taiwan baru-baru ini, Datuk Bandar Kaohsiung dilucutkan jawatannya selepas pengundian pemanggilan balik pada 6 Jun 2020.

Jika kita memperkenalkan proses pelucutan jawatan melalui pengundian di Malaysia, ia boleh dilakukan ke atas mana-mana wakil rakyat yang dipilih melalui pilihanraya umum, sekiranya pengundi tidak berpuas hati dengan kerja dan peranan yang dimainkan oleh wakil rakyat tersebut. Oleh itu, kita bukan sahaja boleh melucutkan jawatan wakil rakyat yang lompat parti, malah kita juga dapat melucutkan jawatan wakil rakyat yang langsung tidak buat kerja, yang tidak mengambil bahagian dalam perdebatan Parlimen atau DUN dengan baik, ataupun yang melakukan perkara yang mengkhianati mandat rakyat. Sekiranya proses pengundian berjaya melucutkan jawatan wakil rakyat berkenaan (iaitu jumlah undi mencapai tahap yang diperlukan untuk melucutkan jawatannya), maka barulah kerusi yang dipegangnya dikosongkan dan membolehkan pilihanraya kecil diadakan untuk mengisi kekosongan kerusi itu. Proses sebegini lebih demokratik dan dapat mencerminkan kehendak sebenar rakyat, bukannya sekadar bersandarkan persepsi yang cuba dimainkan oleh golongan politikus.

Bagaimana proses pengundian pelucutan jawatan ini dilakukan?

Satu referendum pelucutan jawatan boleh diadakan bila-bila masa sekiranya dapat mengumpul sejumlah tandatangan yang diperlukan dalam petisyen menuntut pengundian. Perlu tetapkan satu ambang (threshold) untuk jumlah tantadangan petisyen, kerana jika tiada ambang atau ambang itu terlalu rendah, maka pengundian pelucutan jawatan sebegini akan mudah berlaku di merata-rata tempat selagi seseorang wakil rakyat yang dipilih itu mempunyai musuh politik yang sengaja mahu mengganggu; namun ambang itu juga tidak boleh ditetapkan pada paras yang terlalu tinggi, kerana ia akan menghalang hasrat di sebalik proses ini. Oleh itu, mendapatkan tandatangan daripada 10-15% pengundi yang terdapat dalam senarai pengundi berdaftar sebagai syarat untuk mengadakan referendum pelucutan jawatan adalah sesuatu yang munasabah.

Proses pengundian semasa referendum pelucutan jawatan adalah serupa dengan pilihanraya kecil, hanya kertas undinya tertera sama ada anda sokong untuk melucutkan jawatan wakil rakyat berkenaan atau tidak. Untuk menentukan sama ada seseorang wakil rakyat itu perlu dilucutkan jawatan atau tidak, hanya berdasarkan peratusan undi daripada jumlah undi yang dibuang semasa referendum pelucutan jawatan adalah tidak mencukupi untuk menjadikan kayu ukur. Katakan undi yang menyokong seseorang wakil rakyat itu dilucutkan jawatannya adalah 60% daripada jumlah undi yang dibuang pada hari mengundi referendum (iaitu melebihi separuh undi yang dibuang), tetapi peratusan keluar mengundi untuk referendum itu hanya 20% daripada jumlah pengundi berdaftar – ini bermakna hanya 12% pengundi daripada jumlah pengundi dalam senarai pengundi yang menyokong untuk melucutkan jawatannya! Oleh itu, perlu juga menetapkan satu nilai ambang untuk jumlah undi yang diperoleh. Angka yang munasabah adalah, untuk melucutkan jawatan seseorang wakil rakyat itu, perlunya mendapat sekurang-kurangnya undi 25% (atau jika hendak menetapkan paras yang lebih tinggi, maka jadikannya satu pertiga) daripada jumlah pengundi dalam senarai pengundi. Ambang yang diperlukan untuk melucutkan jawatan pegawai di Taiwan seperti dalam pengundian di bandaraya Kaohsiung baru-baru ini, adalah 25% daripada jumlah pengundi yang berdaftar.

Sekiranya seorang wakil rakyat yang diheret ke dalam referendum pelucutan jawatan ingin mempertahankan jawatannya, apa yang dia boleh buat adalah memobilisasi sebanyak mungkin undi yang menyokongnya terus memegang jawatan atau menolak pelucutan jawatan itu. Oleh yang demikian, proses pengundian ini bukan sahaja tidak mencabul hak kebebasan berpersatuan mana-mana orang, malah dapat memperkukuhkan demokrasi kerana mengembalikan hak membuat keputusan kepada rakyat untuk menentukan sama ada seseorang wakil rakyat itu layak terus duduk dalam dewan perundangan atau tidak.

Bagaimana pula dengan idea undi mengikut “senarai parti”?

Ahli Parlimen Padang Rengas Mohamed Nazri Abdul Aziz membawa idea “senarai parti” atau “undi berdasarkan parti” dalam ucapannya dalam Dewan Rakyat, tetapi beliau tidak mencadangkan apa-apa yang bernas kepada pembaharuan sistem pilihanraya di negara kita yang penuh dengan kelemahan dan kepincangan.

“Undi berdasarkan parti” di bawah sistem pengundian “undian pemenang undi terbanyak” (FPTP) tidak membawa makna kerana pengagihan kerusi dalam Parlimen sering tidak akan mencerminkan sokongan undi sebenar yang diperoleh sesuatu parti. Selain pengagihan kerusi tidak akan mencerminkan pecahan undi yang diperoleh mengikut parti, sistem pengundian FPTP mempunyai pelbagai kelemahan lain seperti mewujudkan pembaziran undi yang agak ketara, mendorong pengundian taktikal yang tidak sihat dan penggunaan kaedah “Gerrymandering” oleh parti pemerintah meningkatkan peluangnya untuk memenangi lebih banyak kerusi. Sistem pengundian yang lebih adil ialah sistem perwakilan berkadar (proportional representation).

Di bawah sistem perwakilan berkadar, taburan pengagihan kerusi dalam dewan perundangan akan mencerminkan taburan perolehan undi setiap parti yang bertanding dalam pilihanraya umum. Jenis sistem perwakilan berkadar yang paling kerap digunakan ialah “perwakilan berkadar mengikut senarai parti”. “Perwakilan berkadar mengikut senarai parti” bermakna pengundi akan memangkah parti yang disokongnya dalam kertas undi, dan pengagihan kerusi dalam dewan perundangan adalah berdasarkan nisbah undi yang diperoleh oleh parti-parti yang bertanding.

Sebelum ini, Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) yang dipengerusikan oleh Abdul Rashid Abdul Rahman pernah menyatakan rancangannya untuk mengusulkan kepada kerajaan supaya menggantikan sistem pengundian FPTP dengan sistem perwakilan berkadar untuk kerusi Parlimen. Di bawah cadangan ERC tersebut, setiap negeri akan dijadikan satu kawasan undi yang mempunyai sebilangan Ahli Parlimen, dan pengagihan kerusi adalah berdasarkan peratusan undi diperoleh sesuatu senarai parti dalam kertas undi. Misalnya, negeri Sarawak mempunyai 31 kerusi dalam Parlimen, maka pengagihan 31 kerusi tersebut adalah berdasarkan nisbah undi yang diperoleh oleh parti-parti politik yang bertanding untuk seluruh negeri Sarawak.

Walaupun sistem perwakilan berkadar boleh mewujudkan pengagihan kerusi yang lebih adil mengikut peratusan undi dan mengurangkan pembaziran undi, tetapi ia juga mempunyai kelemahan. Antaranya, adalah berkemungkinan perwakilan dalam Parlimen tidak mencerminkan perwakilan mengikut kawasan geografi, kerana nama calon yang diletakkan oleh sesuatu parti dalam senarainya mungkin hanya tertumpu pada satu kawasan yang kecil sahaja dan mengetepikan kawasan geografi yang lebih besar. Bagaimanakah seorang wakil rakyat yang datang dari satu kawasan geografi tertentu dan mungkin hanya lebih mengetahui isu di kawasannya untuk membawa suara rakyat dari satu kawasan geografi lain yang tidak banyak diketahuinya. Masalah ini mungkin tidak akan berlaku pada negeri yang berkeluasan lebih kecil seperti Perlis dan Melaka. Namun, untuk negeri dengan keluasan yang lebih besar, seperti Selangor, Perak, Pahang, Sabah dan Sarawak, adalah sukar untuk seorang wakil rakyat yang mewakili seluruh negeri itu untuk mengetahui semua masalah di setiap penjuru di negeri itu. Bagaimana seorang wakil rakyat yang menetap di bandaraya Kuching dapat memberi perhatian yang secukupnya kepada segala masalah di kawasan pedalaman Kapit yang berjarak 300 km darinya?

Oleh yang demikian, Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah mencadangkan sistem “ahli-campuran” (mixed member) ataupun sistem pengundian bercampur dalam kertas cadangan yang dikemukakan kepada ERC pada 24 Mei 2019.

Sistem pengundian campuran, ataupun “satu kawasan pilihanraya, dua undi”, merupakan sejenis sistem sistem pengundian yang menggabungkan kedua-dua sistem pengundian FPTP dan sistem perwakilan berkadar sementara mengatasi kelemahan yang wujud dalam kedua-dua sistem pengundian ini. Di bawah sistem ini, untuk seorang pengundi di satu kawasan Parlimen, dia akan menerima dua kertas undi untuk kawasan Parlimen, di mana satu undi untuk pilih wakil rakyat yang mewakili kawasannya, dan satu lagi undi untuk pilih wakil rakyat mengikut parti yang disokongnya. Sebahagian Ahli Parlimen akan dipilih melalui undi kawasan parlimen seperti sistem FPTP yang sedia ada, manakalah sebahagian lagi Ahli Parlimen akan diagihkan mengikut peratusan undi yang diperoleh parti politik yang bertanding dalam undi senarai parti.

Sistem pengundian campuran dalam bentuk yang berbeza telah diamalkan di negara-negara seperti Korea Selatan, Jepun, Itali, Jerman, Bolivia, New Zealand dan sebagainya.

Pembaharuan sistem pilihanraya merupakan satu isu yang begitu lama diperkatakan, malah juga pernah menjadi pencetus kepada gerakan rakyat yang hebat seperti BERSIH. Proses pembaharuan sistem pilihanraya kelihatan dapat mencapai satu tahap yang baru apabila terbentuknya Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) pada tahun 2018 selepasa PRU-14, tetapi nampaknya sudah tergendala dengan perubahan pentadbiran di Putrajaya pada tahun 2020. Apa terjadi dengan segala hasil kerja ERC yang mendapatkan input masyarakat termasuk semua parti politik untuk cadangan pembaharuan sistem pilihanraya di negara kita? Jika pemimpin negara dan kerajaan serius dalam memperbaiki sistem pilihanraya dan memperkukuhkan demokrasi di negara kita, proses ERC tidak patut dibiarkan terbantut begitu sahaja.

Kita perlu melakukan rombakan besar terhadap sistem politik dalam negara kita, termasuk sistem pilihanraya, untuk memperluaskan ruang demokrasi supaya rakyat dapat benar-benar mengambil bahagian dalam segala proses politik yang bakal menentukan nasib dan kesejahteraan masyarakat secara bersama. Mewujudkan mekanisme referendum pelucutan jawatan wakil rakyat dan pelaksanaan sistem pengundian campuran, merupakan antara langkah-langkah yang penting menuju ke arah pembaharuan politik yang bermakna untuk demokrasi masyarakat kita.

One thought on “Biar rakyat tentukan nasib wakil rakyat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *