oleh Nik Aziz Afiq

Kita sedang berada dalam mood meraikan ulangtahun kemerdekaan negara kita ke-63. Bagi umat Islam, baru sahaja sampai setengah bulan dari awal tahun Hijrah. Dua peristiwa besar yang dikenang setiap tahun ini dicemari baru-baru ini apabila Ahli Parlimen Pasir Puteh, YB Nik Muhammad Zawawi Salleh, menayangkan keangkuhan dengan menghiris hati komuniti Kristian dalam negara kita apabila mengatakan Kitab Injil (Bible) telah diseleweng di dalam Dewan Rakyat.

Hijrah dan Kemerdekaan sepatutnya menjadi medan untuk menguatkan perpaduan di kalangan seluruh rakyat bilamana dengan hasil kerjasama pelbagai kaum/kabilah mewujudkan negara Islam pertama dan tarikh kelahiran semula negara kita tanpa penjajah. Tetapi saban tahun, sentiasa muncul watak-watak yang menjadi ejen perpecahan masyarakat seperti Nik Zawawi yang tanpa fikir panjang mahu menyinggung semua orang yang berbeza dengannya demi memastikan pandangannya sahaja betul dan mesti diterima.

Keangkuhan ini amat meloyakan.

20200903 - Nik-Muhammad-Zawawi-Salleh-and-Ngeh-Koo-Ham-dewan-rakyat (2)
Nik Zawawi

Sebagai seorang ahli Dewan Rakyat, Yang Berhormat telah mengangkat sumpah menjunjung perlembagaan. Antara lafaz disebutkan adalah;

“…bahawa saya akan menumpahkan taat setia yang sebenar kepada Malaysia, dan akan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaannya.”

Tidakkah Yang Berhormat sedar dengan mengatakan sesuatu ajaran atau kitab suci ajaran agama lain sebagai menyeleweng adalah bertentangan dengan semangat Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan;

“Islam ialah agama bagi Persekutuan ; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.”

Tindakan mencampuri urusan agama lain sekaligus memberikan konotasi negatif terhadap sesuatu kepercayaan agama lain adalah menggugat keamanan dan kedamaian pengamalan penganut agama tersebut. Ia bukan sekadar tidak menghormati atau tidak toleransi, ia menggambarkan ketidakmatangan si pelaku sekaligus menimbulkan rasa terancam penganut agama lain.

Apakah Yang Berhormat dan penganut Islam yang lain tidak tersinggung jika ada Wakil Rakyat penganut Kristian misalnya mengeluarkan kenyataan serupa terhadap Islam? Pasti Muslim akan memprotes marah dan boleh jadi bertindak ekstrim terhadap Wakil Rakyat yang berkata demikian.

Bahasa mudahnya, jangan buat sesuatu yang kita tak suka jika orang berbuat begitu kepada kita. Ini prinsip asas yang saya kira semua orang waras akan lakukan.

Kita tak suka orang mencuri barang kita, maka kita tak boleh mencuri barang orang. Kita tak suka orang mengata agama kita, maka kita jangan mengata agama orang.

Kalau kita semua amalkan sikap YB Pasir Puteh, semua saling mengata agama lain, apakah kesudahan negara kita? Kerana itu ia bukan mendatangkan manfaat kepada rakyat terbanyak bilamana topik sebegini sensitif diperdebatkan dan dipanjangkan.

Ada isu-isu lebih besar yang menjerut rakyat, berapa ramai kehilangan kerja disebabkan wabak pandemik ini? Bagaimana golongan B40 dapat survive dan memenuhi keperluan harian yang begitu mendesak ketika ini. Ini semua contoh isu yang boleh utama yang lebih patut difikirkan. Soal agama siapa lagi betul telah menjadi perbahasan klasik yang tidak menguntungkan sesiapa pun. Akhirnya orang Islam tetap Islam, orang Kristian tetap Kristian, orang agama apa pun tetap dengan agama mereka tetapi kemelaratan rakyat jika tidak difokuskan akan beri kesan buat kehidupan seseorang.

Apa ertinya agama mana lebih benar atau menyeleweng untuk dibincang apabila ada rakyat kita mengambil jalan bunuh diri kerana kehilangan kerja?

Saya dengan penuh merendah diri, selaku seseorang yang pernah mengagumi kuliah-kuliah YB Pasir Puteh ketika saya remaja dahulu, berharap Yang Berhormat memohon maaf dan menghentikan kesia-siaan ini. Seberapa betul dan benar Yang Berhormat rasa pandangan sendiri, lihatlah pada implikasi mendatang buat masyarakat negara ini.

========== 

Nik Aziz Afiq Bin Abdul ialah Ketua Pemuda Parti Sosialis Malaysia (Pemuda PSM).

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *