20200720 -Arul3 (2)

KUALA LUMPUR – 20 JULAI 2020: Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) S. Arutchelvan dan dua orang lagi aktivis sosial telah dipanggil untuk dirakamkan keterangan oleh pihak polis pada hari ini di Ibupejabat Polis Daerah Dang Wangi. Mereka disiasat polis kerana kehadiran mereka dalam perhimpunan “Hari Hitam Kematian Dalam Tahanan di Malaysia” yang diadakan pada 16 Julai 2020 di hadapan bangunan Majlis Peguam Malaysia di Kuala Lumpur.

Selain Arutchelvan, dua orang aktivis yang dipanggil untuk soal siasat polis ialah Khalid Mohd Ismath selaku Pengarah Eksekutif pertubuhan “Menghapuskan Penderaan Dalam Tahanan” (EDICT) dan Rama Tamanathan selaku jurucakap ” Kumpulan Tindakan Masyarakat Mengenai Penghilangan Paksaan” (CAGED). Ketiga-tiga orang aktivis ini telah disiasat di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Himpunan “Hari Hitam Kematian Dalam Tahanan di Malaysia” pada 16 Julai 2020 dianjurkan oleh EDICT untuk memperingati mereka yang mati dalam tahanan dan mengetengahkan isu kematian dalam tahanan supaya mendesak kerajaan untuk menghentikan perkara pencabulan hak asasi manusia ini di samping memastikan semua tahanan dapat dilayan secara kemanusiaan.

Tarikh 16 Julai dijadikan “Hari Hitam Kematian Dalam Tahanan di Malaysia” kerana dua orang mati dalam tahanan pada 16 Julai 2009, iaitu Gunasegaran (berumur 31 tahun ketika itu) yang mati di lokap polis di Sentul, dan Teoh Beng Hock (berumur 30 tahun ketika itu) yang mati jatuh dari bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Shah Alam. Sehingga hari ini, masih tiada seorang pun yang dihukum kerana kematian kedua-dua orang yang kehilangan nyawa semasa dalam tahanan pihak berkuasa.

Mengikut anggaran EDICT, sejak hari hitam 16 Julai 2009 sehingga kini, seramai 176 orang telah mati dalam lokap polis, 550 orang mati dalam pusat tahanan imigresen dan 2,838 orag mati dalam penjara. Ramai antara mereka yang mati dalam tahanan pihak berkuasa ini adalah disebabkan oleh layanan yang tidak berperikemanusiaan. Daripada jawapan Menteri Dalam Negeri di Parlimen, dua pertiga kes kematian dalam lokap tidak dijalankan proses inkues. Keadaan lokap yang teruk merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada kematian dalam tahanan polis.

20200720 - EDICT (2)

Penganjuran himpunan “Hari Hitam Kematian Dalam Tahanan di Malaysia” pada 16 Julai 2020 telah menghadapi halangan daripada pihak polis walaupun pihak penganjur telah mengemukakan notis pemberitahuan untuk aktiviti perhimpunan tersebut lebih awal mengikut Akta Perhimpunan Aman. Perhimpunan yang dihadiri oleh aktivis-aktivis masyarakat sivil tersebut telah berlangsung dalam keadaan yang aman dan tenang. Namun, dua hari selepas perhimpunan, pihak polis telah memanggil tiga orang yang berucap dalam perhimpunan tersebut untuk disoal siasat.

Arutchelvan berkata selepas hadir dalam siasatan polis hari ini, “Siasatan ini sesuatu yang membuang masa polis yang mempunyai tugasan yang jauh lebih penting seperti memerangi jenayah sebenar. Tindakan sebegini juga membazirkan wang rakyat ketika kita sedang berada dalam kegawatan ekonomi.”

“Keseluruhan program pada 16 Julai lalu telah dipantau secara rapi oleh pihak polis, termasuk mengambil video dan sebagainya. Sepanjang program tersebut, tiada seorang polis pun yang datang menegur atau memberi amaran untuk bersurai kepada para peserta. Tambahan pula, memandangkan aduan polis terhadap perhimpunan ini bukan dibuat oleh pihak luar tetapi oleh pegawai polis sendiri, maka saya berpandangan bahawa ini memang membazirkan masa polis. Rakyat Malaysia mempunyai hak untuk berhimpun secara aman di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan ini harus dihormati oleh semua pihak,” ulas Arutchelvan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *