Screenshot_2020-07-18 2020_school_term2_0201_1 jpg (WEBP Image, 1000 × 666 pixels) - Scaled (98%)

oleh Sharan Raj

Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dengan mengagung-agungkan Bahasa Inggeris dan Bahasa Eropah merupakan sebuah pemikiran yang diterapkan sejak zaman penjajahan dan memudaratkan negara.

Bahasa Malaysia dan bahasa ibunda merupakan “bahasa minda” mutlak di luar Bangsar, Mont Kiara, Petaling Jaya, Pulau Pinang, Johor Selatan, Kuching dan Kota Kinabalu.

Bahasa Inggeris merupakan satu bahasa eksklusif untuk golongan penduduk bandar khususnya keluarga berpendapatan tinggi.

Pengajaran di luar bahasa minda seperti Bahasa Inggeris menyebabkan ramai pelajar tidak dapat menguasai ilmu teknikal dan kemahiran.

Malah, kebanyakan pelajar bukan Melayu memiliki penguasaan Bahasa Malaysia lebih tinggi berbanding bahasa Inggeris kerana penggunaan Bahasa Malaysia secara umum dalam hal ehwal harian mereka.

Tiada sebarang statistik dan kajian yang kukuh menunjukkan bahawa penggunaan Bahasa Inggeris meningkatkan perkembangan sains dan teknologi.

Negara yang sangat canggih dari aspek teknologi di dunia seperti Rusia, China, Jerman, Perancis dan Sepanyol, memberikan penekanan kepada penguasaan ilmu bukannya Bahasa Inggeris.

Negara Anglo-Saxon (Kanada, Australia, New Zealand, Britain dan Amerika Syarikat) bukannya negara pengeluar teknologi tanpa golongan cerdik pandai dari negara sedang membangun.

Kebanyakan golongan cerdik pandai, penyelidik, jurutera, ahli akademik, pensyarah di negara Anglo-Saxon adalah datang dari negara Asia, Eropah Timur, Afrika dan Amerika Selatan.

Negara sedang membangun yang menekankan penggunaan Bahasa Inggeris seperti Malaysia, Filipina, India dan Pakistan telah hilang ramai golongan cerdik pandai kepada negara Anglo-Saxon.

Pada tahun 2013, kajian Bank Dunia menunjukkan bahawa seramai 308,834 orang warga Malaysia dengan ilmu teknologi tinggi daripada pelbagai kaum telah “dieksport” ke negara lain.

Negara sedang membangun seperti kita telah melaburkan berbilion-bilion ringgit selama 60 tahun untuk mendidik bakat hanya untuk “dieksport” ke negara lain dan ini telah membantutkan perkembangan kapasiti tempatan.

Segelintir individu berasa cemas dengan pemaksaan Bahasa Malaysia kerana ramai ahli politik daripada parti kaum dan agama menggunakan isu bahasa ibunda sebagai modal politik untuk undi.

Komuniti Melayu perlu memainkan peranan untuk mempelopori pendemokrasian Bahasa Malaysia kepada masyarakat umum untuk mengembangkan penggunaannya serta memberi pelindungan kepada bahasa ibunda komuniti lain.

==========

Sharan Raj ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *