20200505-refugee

oleh Letchimi Devi

Banyak keluarga dan individu dalam kalangan komuniti pelarian (pencari suaka), terutamanya mereka yang beretnik Rohingya, telah dihalau keluar dari rumah sewa mereka. Dianggarkan lebih daripada 50 keluarga di kawasan Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan juga Selangor menghadapi masalah ini atas dua sebab utama, iaitu: (i) tidak mampu membayar sewa rumah selama 3-4 bulan disebabkan larangan bekerja semasa Perintah Kawalan Pergerakan yang mengawal pandemik COVID-19; (ii) disebabkan aduan daripada penduduk tempatan, amaran telah dikeluarkan oleh pihak Imigresen dan beberapa Kerajaan Tempatan terhadap pemilik premis yang menyewakan premis kediaman kepada pendatang asing tanpa izin (PATI). Di bawah Akta Imigresen Seksyen 55E (Akta 155), mereka yang didakwa menyewa premis kediaman kepada PATI boleh didenda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM30,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan bagi setiap PATI yang dibenarkan tinggal di premis mereka. Ini menimbulkan kekeliruan. Adakah komuniti pelarian yang diberi perlindungan antarabangsa oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di mana Malaysia juga salah sebuah anggotanya, boleh digolongkan sebagai PATI? Tidak patut!

Keluarga-keluarga ini terpaksa meminta pertolongan daripada pihak Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) dan NGO-NGO yang bersimpati. Ada kemungkinan, jika tiada campurtangan segera daripada pihak Kerajaan Tempatan atau Persekutuan untuk menyelesaikan kekeliruan ini, maka ramai akan menjadi gelandangan dan berteduh di bawah jambatan, di dalam hutan dan kawasan terbiar bersama anak-anak kecil, wanita, orang yang tua dan yang sakit. Atau adakah mereka akan ditangkap dan dimasukkan ke dalam kem tahanan kerana menjadi gelandangan atau meminta sedekah. Ini bukan cerita rekaan, ia pernah berlaku. Cuma kali ini, situasi semakin teruk kerana kita melayan pelarian bagaikan mereka “musuh” negara.

Perlindungan antarabangsa

Keperluan untuk perlindungan antarabangsa timbul apabila seseorang berada di luar negara mereka sendiri dan tidak dapat pulang kerana risiko yang akan dihadapinya di situ, dan negara mereka tidak mampu atau tidak mahu melindungi mereka. Risiko yang menimbulkan keperluan untuk perlindungan antarabangsa secara klasik merangkumi penganiayaan (persecution), ancaman terhadap nyawa, kebebasan atau integriti fizikal yang timbul daripada konflik bersenjata, gangguan awam yang serius, atau situasi keganasan yang juga menyebabkan kebuluran dan sebagainya serta status tiada kewarganegaraan (stateless). Selalunya, unsur-unsur ini saling berkaitan dan dimanifestasikan dalam bentuk perpindahan paksa (forced displacement).

Memberi perlindungan kepada orang-orang yang melarikan diri untuk mencari perlindungan merupakan salah satu tradisi kemanusiaan yang paling lama wujud – nilai bersama yang terdapat dalam banyak tradisi agama dan budaya dan kini sebahagian daripada undang-undang antarabangsa. Ini adalah nilai yang telah bertahan ujian masa, dan baru-baru ini ia didukung oleh kesemua 193 buah negara anggota PBB dalam Perisytiharan New York mengenai Pelarian dan Migran, yang diterima pada bulan September 2016. Malaysia ialah salah sebuah negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu setelah memperoleh kemerdekaannya pada tahun 1957.

Semasa menyambut Hari PBB tahun 2019, Kerajaan Malaysia menyatakan bahawa ia tetap berkomited dalam melaksanakan Agenda PBB 2030 untuk Pembangunan Lestari (SDG 2030). SDG 2030 telah dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (2016-2020) dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030 (WKB 2030), yang bertujuan untuk mengembangkan pengagihan pembangunan ekonomi yang adil dan saksama di semua peringkat pada tahun 2030. Malaysia tetap komited untuk terus bekerjasama dan terlibat dalam PBB, dipandu oleh kedudukannya yang lama dan berprinsip dalam isu-isu yang dibincangkan serta prinsip-prinsip yang termaktub dalam Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Ini bererti Malaysia telah berkomited untuk menghormati hak asasi manusia, termasuk memberi perlindungan kepada komuniti pelarian serta merangkumkan mereka dalam Pembangunan Lestari. Prinsip PBB ini termasuk tidak menghantar pulang pelarian ke negara asal kecuali situasa di negara tersebut selamat dan tiada lagi risiko seperti yang dinyatakan di atas. Jadi, kenapa pelarian-pelarian seperti etnik Rohingya ditahan dalam kem tahanan? Pelarian tidak boleh disamakan dengan PATI atau migran.

Kemanusian di Bumi Malaysia

Kerajaan Malaysia telah berganding bahu dengan UNHCR untuk memberi perlindungan antarabangsa kepada pelarian Vietnam di mana 240,000 orang pelarian mendapat kewarganegaraan melalui penempatan semula di negara ketiga. 9,000 orang pulang ke negara asal selepas peperangan tamat. Malaysia juga pernah memberi perlindungan kepada komuniti Muslim dari Mindanao dan Kemboja. Begitu juga pelarian dari Bosnia diterima status mereka sebagai tetamu, maka tidak perlu visa untuk memasuki Malaysia. Ramai daripada mereka pulang apabila keadaan selamat di negara asal. Antara tahun 2003-2006, ramai pelarian Aceh juga dilindungi dan Kerajaan Malaysia telah memberi mereka permit khas, IMM13 untuk menetap sementara di Malaysia. Lebih kurang 30,000 orang pelarian Aceh menerima permit tersebut yang membenarkan mereka bekerja dan ia boleh diperbaharui setahun sekali. Pada tahun 2015, Kerajaan Malaysia juga melanjutkan bantuan kemanusiaan ini kepada 3,000 orang pelarian dari Syria. Mereka juga diberi permit khas IMM13. Malah Kerajaan Malaysia juga memperkenalkan MyRC untuk pelarian pada tahun 2017 untuk melindungi pelarian dan juga untuk keselamatan Malaysia. Mereka dikenakan bayaran RM500 seorang setiap tahun untuk kad tersebut, lebih mahal daripada pasport Malaysia. Tidak pasti apa status MyRC dan syarikat yang dikontrakkan oleh Kerajaan Malaysia untuk projek ini, namun niat untuk membantu itu ada.

Oleh itu, amatlah besar harapan sekiranya pihak UNHCR dan Kerajaan Malaysia sekali lagi berganding bahu untuk melanjutkan bantuan kemanusiaan berdasarkan prinsip-prinsip yang termaktub dalam Piagam PBB dan terus memberi perlindungan antrabangsa kepada pelarian-pelarian di Malaysia, terutamanya dalam situasi kritikal hari ini dengan pandemik COVID-19 dan kegawatan ekonomi. Kita mahu kesihatan dan keselamatan semua orang yang tinggal di Malaysia dijamin dan dilindungi. Berikan pelarian rumah untuk duduk sementara, bukan kem tahanan.

==========

Letchimi Devi ialah seorang aktivis sosial.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *