20200712 - reuters
(foto oleh Reuters)

Pilihanraya Umum Singapura telah diadakan pada 10 Julai 2020 di bawah bayangan pandemik COVID-19, dengan keputusannya menyaksikan parti pemerintah Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang berkuasa sejak tahun 1959 (iaitu sebelum negara Singapura mencapai kemerdekaan) masih menguasai majoriti selesa dalam Parlimen Singapura, tetapi sokongan pengundi kepada PAP telah merosot secara signifikan dengan parti pembangkang telah memperoleh pencapaian yang terbaik dalam sejarah dari segi kemenangan kerusi parlimen.

Daripada 93 kerusi yang dipertandingkan dalam Pilihanraya Umum Singapura kali ini, PAP telah memenangi sebanyak 83 kerusi. Walaupun jumlah kerusi yang dimenangi oleh PAP kali ini sama dengan jumlah kerusi yang dimenangi dalam Pilihanraya Umum tahun 2015, tetapi jumlah kerusi dalam Parlimen yang dipertandingkan dalam Pilihanraya Umum tahun ini telah bertambah dari 89 kepada 93, maka peratusan kerusi yang dikuasai PAP sudah berkurangan. Parti Pekerja (WP) telah berjaya menambahkan kerusinya daripada 6 yang dimenangi pada tahun 2015 kepada 10 dalam Pilihanraya Umum kali ini.

Pilihanraya Umum Singapura yang terbaru ini merupakan pilihanraya yang ke-18 di Singapura dan pilihanraya umum yang ke-13 sejak Singapura mencapai kemerdekaan. Terdapat 4 pilihanraya diadakan di Singapura semasa zaman penjajah British dan 1 pilihanraya yang diadakan sejurus selepas bergabung seketika dalam Persekutuan Malaysia pada tahun 1963. Di bawah pentadbiran Lee Kuan Yew yang bersifat kuku besi, PAP telah memenangi kesemua kerusi parlimen dalam 4 kali pilihanraya umum dari tahun 1968 hingga 1980, dan kemudiannya masih kekal menguasai majoriti besar dalam parlimen dalam setiap pilihanraya umum.

Screenshot_2020-07-12 Map_of_the_results_of_the_Singaporean_general_election_2020 svg webp (WEBP Image, 450 × 298 pixels)

Walaupun terdapat sekatan untuk mengadakan perhimpunan secara fizikal semasa pilihanraya umum kerana ancaman wabak COVID-19, tetapi pertandingan untuk pilihanraya umum Singapura masih agak sengit. Pilihanraya Umum Singapura kali ini merupakan pilihanraya kedua berturut-turut yang menyaksikan bahawa tiada mana-mana kawasan pilihanraya dimenangi oleh parti pemerintah PAP tanpa bertanding. Sebanyak 192 orang calon daripada 11 buah parti politik (dan termasuk seorang calon bebas) telah bertanding dalam pilihanraya umum kali ini, mencatatkan rekod calon yang terbanyak dalam sejarah pilihanraya Singapura. Terdapat 2 kawasan pilihanraya menyaksikan pertandingan 3-penjuru.

93 kerusi dalam Parlimen Singapura yang dipertandingkan dalam Pilihanraya Umum kali ini dibahagikan kepada 14 Kawasan Undi Perwakilan Perseorangan (SMC) dan 17 Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) yang diwakili oleh 4 atau 5 orang Ahli Parlimen yang dipilih secara undi kelompok. GRC yang diperkenalkan mulai tahun 1988 dengan alasan memastikan nisbah perwakilan golongan etnik minoriti dalam Parlimen, dianggap oleh ramai pengkritik sebagai satu pendekatan untuk parti pemerintah PAP menambahkan kelebihannya dalam pilihanraya. Pengundian adalah wajib untuk semua warganegara Singapura yang berumur 21 tahun dan ke atas.

Parti Pekerja telah mencapai keputusan pilihanraya yang terbaik dalam sejarahnya dengan memenangi 10 kerusi dalam Pilihanraya Umum Singapura kali ini. Selain berjaya mempertahankan kerusi yang dimenangi di kawasan GRC Aljunied (dengan 5 orang Ahli Parlimen) dan kawasan SMC Hougang, Parti Pekerja menambahkan kerusi dengan memenangi kawasan GRC Sengkang (dengan 4 orang Ahli Parlimen). GRC Sengkang merupakan kawasan GRC baru yang dibentuk dalam pilihanraya umum kali ini, dengan menggabungkan dua buah kawasan SMC, iaitu Sengkang Barat dan Punggol Timur, serta Sengkang Tengah yang merupakan sebahagian daripada GRC Pasir Ris-Punggol sebelum ini. Pasukan calon daripada Parti Pekerja meraih sebanyak 60,136 undi (bersamaan 52.13%) di kawasan GRC yang terdapat ramai pengundi muda ini.

Dari segi jumlah peratusan perolehan undi, undi yang diperoleh PAP telah berkurangan sebanyak 8.62 titik peratusan kepada 61.24%. PAP menguasai lebih 89% kerusi parlimen dengan hanya 61.24% undi, menunjukkan terdapatnya kelemahan dalam sistem pilihanraya di Singapura, iaitu sistem “undi pemenang undi terbanyak” (first-past-the-post) seperti yang juga diamalkan di Malaysia dengan tambahan kewujudan GRC. (Dalam Pilihanraya Umum ke-11 di Malaysia yang diadakan pada tahun 2004, Barisan Nasional menguasai sebanyak 90.41% kerusi dalam Dewan Rakyat walaupun hanya meraih 63.85% daripada jumlah undi. )

Peratusan undi yang diperolehi oleh Parti Pekerja di kawasan yang ditandinginya (4 GRC dan 2 SMC) mencecah 50.49%, mencatatkan rekod yang terbaik untuk parti pembangkang dalam sejarah pilihanraya Singapura. Angka ini menunjukkan Parti Pekerja lebih popular ataupun sekurang-kurangnya setanding dengan PAP di kawasan yang ditandinginya. Parti Pekerja memperoleh sebanyak 59.93% undi di GRC Aljunied dan 61.19% undi di SMC Hougang, menunjukkan sokongan yang agak mantap di kedua-dua kawasan pilihanraya yang dimenanginya sebelum ini.

20200712 - EPA-EFE
Penyokong-penyokong Parti Pekerja meraikan keputusan pilihanraya cemerlang yang dicatatkan oleh Parti Pekerja. (foto oleh EPA-EFE)

Sementara itu, Parti Kemajuan Singapura (PSP) yang baru ditubuhkan setahun dahulu oleh bekas anggota PAP, walaupun tidak dapat memenangi kerusi dalam pilihanraya, tetapi pencapaiannya yang berjaya meraih 40.85% undi di kawasan yang ditandinginya, membolehkannya akan ditawarkan dua kerusi untuk Angggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) dalam Parlimen Singapura.

Selain itu, parti-parti pembangkang yang lain, seperti Parti Demokratik Singapura (SDP), Parti Perpaduan Nasional (NSP), Suara Rakyat Singapura (PV), Parti Reformasi dan Parti Kuasa Rakyat (PPP), walaupun tidak dapat mengalahkan calon PAP untuk memenangi kerusi, tetapi peratusan undi yang diperoleh oleh calon-calon parti ini telah meningkat.

Secara umumnya, PAP masih kekal sebagai parti pemerintah yang kuat dengan majoriti selesa dalam Parlimen Singapura, tetapi parti pembangkang, khususnya Parti Pekerja, telah mencatatkan kejayaan pilihanraya yang agak memberangsangkan. Kerajaan PAP pimpinan Lee Hsien Loong cuba mempergunakan peluang krisis wabak COVID-19 untuk mengekalkan kekuasaannya yang sukar dicabar dan menyekat kebangkitan kuasa politik pembangkang, tetapi nampaknya hasratnya tidak begitu berjaya. Usaha untuk mencabar kekuasaan kerajaan PAP dan memperjuangkan pembaharuan politik di Singapura pasti akan diteruskan lagi oleh rakyat Singapura yang inginkan perubahan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *