20180819_165249

oleh Karthiges Rajamanickam

Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengecam kenyataan kerajaan yang mendakwa bahawa penghuni Program Perumahan Rakyat (PPR) malas dan tidak membayar sewa sehingga mengancam menyenaraihitamkan mereka di bawah Agensi Pelaporan Kredit (CRA) termasuk CTOS. Kenyataan sebegini tidak berprihatin pada golongan masyarakat miskin, lebih-lebih lagi pada masa pandemik sekarang ini.

Pada masa yang sama, kerajaan telah melancarkan Kempen Pemilikan Rumah 2020. Di bawah skim ini, pemohon yang berjaya akan menikmati pengecualian duti setem ke atas instrumen pindah milik (Instrument of Transfer) untuk sebarang pembelian rumah kediaman yang bernilai sehingga RM2.5 juta.

Lebih menyedihkan adalah ketika pengecualian duti stem ini diumumkan, kerajaan yang sama juga memberi cadangan untuk mengimplimentasi Akta 757 yang membolehkan pengurusan sesebuah rumah strata untuk memasukkan cukai tanah dan insurans dalam caj penyelenggaraan serta membolehkan pemilik yang tidak membayar sewa dalam tempoh 12 bulan dikenakan faedah.

Persoalan yang sepatutnya di sini adalah , golongan mana yang patut diberi keutamaan dalam sistem perumahan kita? Rakyat biasa yang menghuni PPR atau golongan pemaju/ pemodal yang ‘’susah’’ untuk menjual rumah bernilai jutaan ringgit mereka?

Kedua-dua tindakan kerajaan ini menyedarkan kita bahawa dasar perumahan negara sedang menindas masyarakat biasa dan kerajaan sedang cuba sedaya upaya untuk membantu kaum pemodal yang mengalami kerugian semasa krisis COVID-19 ini.

Kami di PSM menyeru pada kerajaan untuk membuangkan hasrat yang tidak berperikemanusiaan ini yang pasti akan menjurus kepadamengusir keluar secara paksa penduduk PPR dari rumah mereka.

Kami berpandangan bahawa Kerajaan Malaysia gagal menyediakan rumah mampu sewa / mampu milik yang secukupnya kepada rakyat biasa. Rakyat yang gagal atau tidak mampu membayar sewa rumah PPR tidak harus dicopkan sebagai malas dan enggan bayar. Retorik ‘’memalaskan’’ rakyat marhaen untuk menutupi kepincangan dasar kerajaan adalah taktik kuno zaman Tun Mahathir dan tidak perlu dibawa-bawa sekarang.

Maka PSM menuntut agar :

1. Hentikan dengan segera usaha “Pengusiran Paksa” terhadap penduduk PPR yang menyalahgunakan Akta 757 dan Agensi Pelaporan Kredit.

2. Lanjutkan moratarium sewa PPR sehingga bulan Mac 2021.

3. Hapuskan hutang tunggakan sewa Projek Perumahan Awam di negara ini yang dilaporkan mencecah lebih RM58 juta sebagai usaha membantu rakyat marhaen yang terhimpit semasa pandemik COVID-19.

4. Kerajaan melawat PPR dan mengkaji apakah program membasmi kemiskinan yang boleh dibawa dalam kalangan masyarakat PPR termasuk projek menjana pendapatan mereka.

5. Bina lebih banyak rumah sewa PPR untuk rakyat marhaen

Kerajaan Malaysia harus sedar bahawa perumahan ialah hak rakyat yang tidak harus dijadikan komoditi untuk keuntungan korporat dan tiada sesiapa pun harus diusir keluar secara paksa kerana tidak mampu menanggung sewa rumah.

==========

Karthiges Rajamanickam ialah Ahli Jawatankuasa Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Penyelaras Biro Perumahan dan Peneroka PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *