2020 - Jul - Khas Pandemik

Penerbitan Akhbar Sosialis bercetak telah tergendala sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kini dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan, Akhbar Sosialis diterbit dalam siri buku kecil bentuk PDF atas talian untuk dimuat turun oleh para pembaca secara percuma. Penerbitan Akhbar Sosialis edisi khas secara atas talian ini bertujuan untuk membolehkan para pembaca dapat terus mengakses bahan maklumat dan analisis kiri dalam keadaan negara kita sedang menghadapi pelbagai krisis, sama ada krisis kesihatan awam, krisis ekonomi ataupun krisis politik, yang sedang berlaku kini. Harapan kami adalah Akhbar Sosialis akan kembali kepada bentuk percetakan selepas kita melalui krisis pandemik ini.

Untuk siri pertama dalam edisi khas Pandemik 2020 ini, Akhbar Sosialis akan cuba meneliti hubungan antara penularan wabak penyakit dengan sistem sosio-ekonomi kapitalis. Edisi kali ini juga akan menyentuh tentang krisis ekonomi global yang sedang diburukkan lagi oleh pandemik koronavirus. Adakah pandemik koronavirus yang mencetuskan krisis ekonomi global terbaru ataupun adanya punca lain yang lebih asas dan mendalam?

Kita juga akan berbincang tentang mengembalikan ekonomi negara kepada keadaan normal. Namun, pernahkan kita bertanya bahawa adakah keadaan normal masyarakat yang wujud sebelum ini sesuatu yang kita inginkan? Bukankah patut rakyat biasa menikmati kehidupan yang lebih baik hasil daripada kekayaan masyarakat yang jauh lebih banyak pada masa sekarang berbanding dahulu? Di bawah ancaman krisis yang mendalam dan berterusan, apakah jalan keluarnya? Apakah tindakan yang boleh diambil oleh kerajaan? Apakah dasar yang berbeza dengan sebelum ini dapat diamalkan? Kita akan mendalami persoalan-persoalan ini dalam tulisan Akhbar Sosialis edisi khas Pandemik 2020 ini.

Dunia dalam krisis. Kita tidak boleh duduk diam dan tunggu seorang “penyelamat” yang hebat untuk menyelamatkan kita daripada kemelut krisis ekonomi. Kita hanya dapat membawa perubahan bermakna dengan rakyat menyedari tentang sifat sebenar masalah yang wujud dalam masyarakat, punca sebenarnya dan juga alternatif kepada sistem yang sedia ada untuk mengatasi masalah ini. Adalah penting untuk kita terus menggerakkan kuasa rakyat untuk membina satu alternatif yang mampu mewujudkan keadilan sosial yang sebenar.

Anda boleh baca Akhbar Sosialis Edisi Khas Pandemik 2020 (siri 1) di sini: https://issuu.com/psm.sosialis/docs/sosialis_edisi_khas_2020_-_1

Atau muat turun PDF di sini: https://drive.google.com/file/d/1MU6g7L6BhJu5vrTuGCht9YcP2rC7Rnoa/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *