20200630 - kbes03 (2)

IPOH, PERAK – 30 JUN 2020:  Lebih 30 orang pekerja daripada syarikat Konsortium Bas Ekspres Semenanjung (KBES) telah membuat aduan pada hari ini di Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Ipoh, kerana majikan mereka tidak membayar gaji kepada mereka sejak bulan Mac lalu.

Aduan tersebut dibuat oleh Jawatankuasa Pekerja Konsortium Bas Ekspres Semenanjung (JKPKBES Taiping). Pekerja-pekerja yang tidak dibayar gaji selama 3 bulan yang lalu ini terdiri daripada kakitangan pelbagai bahagian dalam syarikat KBES, seperti pemandu bas, petugas operasi dan bengkel.

Menurut Shazni Bhai, aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang membantu JKPKBES Taiping dalam isu ini, sebahagian besar pekerja yang bekerja dengan KBES yang beribupejabat di Kamunting tidak menerima gaji mereka sejak bulan Mac 2020, iaitu selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sehingga kini. Pihak majikan KBES juga gagal berkomunikasi dengan pekerja-pekerja mengenai masalah tunggakan gaji dan isu caruman KWSP. Adanya pekerja yang cuba menghubungi pihak majikan KBES sama ada secara individu ataupun melalui JKPKBES, namun tidak mendapat apa-apa jawapan yang memuaskan dan masalah mereka masih belum selesai.

Selain isu tunggakan gaji sejak bulan Mac 2020, pekerja-pekerja tersebut juga masih belum menerima bayaran Program Subsidi Upah (PSU) yang diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan. Pekerja-pekerja tersebut difahamkan bahawa pihak PERKESO telah meluluskan bayaran PSU kepada pihak syarikat KBES, tetapi sampai hari ini mereka masih tidak menerima apa-apa daripada bayaran PSU yang berkenaan.

20200630 - kbes (2)

Pekerja-pekerja KBES juga menghadapi masalah caruman KWSP. Menurut JKPKBES, adalah didapati bahawa pihak syarikat tidak mencarum KWSP bagi ramai pekerja walaupun telah dinyatakan potongan untuk caruman KWSP telah dibuat oleh majikan dalam penyata gaji bulanan mereka. Jumlah wang KWSP yang tidak dicarum telah terkumpul sehingga 20 bulan, iaitu sejak tahun 2018. Pekerja-pekerja yang berkenaan sedang mengambil tindakan untuk mengadu kepada pihak KWSP tentang masalah ini.

Walaupun memang mengalami gangguan operasi perkhidmatan bas ekspres semasa tempoh PKP, tetapi adalah tidak munasabah untuk sebuah syarikat operator bas ekspres yang utama di negara kita tidak membayar gaji pekerjanya selama 3 bulan. Lebih-lebih lagi, pekerja-pekerja masih tidak dibayar gaji tunggakan sedangkan pihak syarikat menerima wang bantuan daripada Program Subsidi Upah (PSU) yang sepatutnya bertujuan untuk memastikan pekerja dibayar gaji dalam tempoh PKP. JKPKBES akan terus mendesak supaya pekerja-pekerja KBES menerima gaji yang sepatutnya dibayar kepada mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *