oleh A. Sivarajan
Pada ketika kedua-dua gabungan politik Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) sedang bertelagah dalam isu perlantikan Speaker Dewan Rakyat dan siapa yang patut dicalonkan sebagai Perdana Menteri jika PH berkuasa semula, PSM menggesa Kerajaan supaya memfokus semula pada isu-isu yang menjejaskan rakyat pasca COVID-19 dalam sesi persidangan Parlimen yang akan datang. Kami menggesa agar Kerajaan membentangkan satu laporan terperinci mengenai impak pandemik global COVID-19 ke atas ekonomi negara dan kesan sosio-ekonominya ke atas rakyat.
Sidang Parlimen yang dijadualkan untuk bersidang mulai 13h Julai 2020 sehingga bulan Ogos 2020 harus digunakan untuk meneliti isu-isu penting, seperti kehilangan kerja dan kesannya kepada pendapatan isi rumah, sama ada bantuan-bantuan yang disalurkan melalui pakej rangsangan dan program PENJANA dapat sampai kepada sasarannya atau tidak? Sudahkah Kerajaan mengumpul data mengenai bilangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terpaksa gulung tikar? Kenapa bantuan Pakej Rangsangan gagal membantu mereka?
Selain daripada data-data makro seperti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang sering kali gagal untuk menerangkan realiti sebenar permasalahan rakyat biasa, Kerajaan harus secara serius dan telus menganalisis data-data yang dikumpulkan di peringkat akar umbi. Antara info penting yang perlu dikaji adalah , data terkini bilangan pekerja yang hilang kerja dan bilangan pekerja yang berjaya memperolehi bantuan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) daripada PERKESO, data pekerja informal yang hilang sumber pendapatan dan sama ada skim Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dapat meringankan beban mereka atau tidak. Bagaimana pula dengan keluarga yang kehilangan tempat berteduh akibat gagal membayar sewa rumah? Bagaimana pula isu kenaikan harga barang pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditunjukkan melalui Indeks Harga Barang? Sudahkah kita melihat impak ke atas petani, pesawah, pekebun kecil, penternak, nelayan dan kesan ke atas jaminan makanan domestik? Hanya dengan penelitian dan pembentangan data secara telus daripada pihak Kerajaan, barulah keberkesanan segala pakej stimulus Kerajaan PN dapat dinilai.
Adakah Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berani menyahut cabaran ini dan bersikap ikhlas dalam mengutamakan rakyat, atau adakah beliau akan melaporkan satu gambaran seolah-olah segala langkah Kerajaan berjaya dengan cemerlang demi menjamin kestabilan Kerajaan PNnya?
Perdebatan dalam sesi Parlimen bulan Julai akan datang ini haruslah mengutamakan usaha dan perancangan untuk membina semula ekonomi negara, dan memastikan rakyat tidak terjerumus dalam kancah kemiskinan. Selain daripada pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pelaksanaan Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Koronavirus (COVID-19), satu penilaian yang holistik terhadap keadaan sosio-ekonomi rakyat amatlah perlu agar polisi dan perundangan segera dapat diluluskan dan memberikan perlindungan secukupnya kepada rakyat .
Oleh yang demikian, PSM menggesa Kerajaan PN dan juga wakil rakyat PH untuk mengetepikan percaturan politik yang berterusan sekarang ini dan menfokuskan usaha mereka ke arah mengangkat sosio-ekonomi rakyat. Rakyat kini telah muak dengan permainan politik mereka yang tidak berkesudahan ini.
==========
A. Sivarajan ialah Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).